Bimbang Banyak Penyakit Meningkat, DAVID BECKHAM Seru Rakyat Malaysia Amalkan Gaya Hidup Sihat

Aura pemain bola sepak terkenal England ini masih lagi menyinar. Ke mana sahaja kaki melangkah pasti menjadi sorotan lensa kamera dan melarik setiap mata yang memandang.

Kehebatannya beraksi di padang bola sentiasa memukau peminat bola sepak dunia malah telah memaut hati ramai wanita untuk menyaksikan pertandingan bola sepak yang disertainya.

Kehadiran David Beckham di Kuala Lumpur baru-baru ini benar-benar mencuri tumpuan seluruh peminatnya. Kelibat susuk tubuh yang sasa ini tidak pernah kalah dek gaya. Kali ini kehadiran ikon bola sepak ini adalah dalam rangka lawatan AIA Healthy Living Tour.

Lawatan yang dijadualkan ini adalah sesi bertemu dan menyeru orang ramai untuk membantu orang ramai hidup lebih lama, lebih sihat dan lebih baik. Beckham akan berada di Hong Kong, Korea Selatan dan Singapura, diadakan sempena perasmian kempen ‘What’s Your Why?’

, kempen utama AIA di rantau Asia Pasifik yang menyaksikan kerjasama antara Beckham dan syarikat insurans tersebut.

Beckham merupakan duta kempen ‘What’s Your Why?’ dan beliau telah merasmikan majlis ini di Hotel Mandarin Oriental Kuala Lumpur. Kempen ‘What’s Your Why?’ menampilkan sebuah video yang diarah dan difilemkan oleh pemenang Anugerah Akademi, Wally Pfister, di Bangkok.

Video tersebut memaparkan kisah-kisah peribadi individu serta mengapa mereka dan Beckham mempunyai motivasi untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif AIA Bhd., Anusha Thavarajah, mereka berbangga kerana dapat bekerjasama dengan Beckham untuk memberi inspirasi dalam mengamalkan gaya hidup sihat kepada orang ramai di rantau Asia Pasifik, termasuk di Malaysia.

Kempen ‘What’s Your Why?’ memaparkan pelbagai sebab mengapa orang ramai perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat kerana jumlah penyakit berkaitan dengan gaya hidup semakin meningkat.

Selaku penyokong tegar amalan kesihatan di Malaysia, AIA berharap agar rakyat Malaysia juga akan mendapat ilham dari pesanan ini dan seterusnya mula mencari sebab-sebab mereka tersendiri untuk mula mengambil langkah mengamalkan gaya hidup sihat.

Tambah Beckham, “Saya amat berbesar hati kerana dapat menyertai kempen ‘What’s Your Why?’ dan berharap kempen ini akan mendapat sambutan baik daripada rakyat Malaysia yang berniat untuk menjaga serta mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Saya amat bersyukur kerana kerjaya saya telah membenarkan saya mengekalkan tahap kecergasan yang tinggi. Kini, kehidupan orang ramai terlalu sibuk. Mudah-mudahan, kami dapat membantu seisi keluarga mengekalkan kehidupan cergas dan sihat dengan cara-cara yang mudah.”

Lawatan Beckham ke Kuala Lumpur adalah turut bersempena dengan ulang tahun pertama AIA Vitality di Malaysia. Untuk meraikan pencapaian ini, AIA telah menganjurkan pelbagai acara dan aktiviti yang memberi tumpuan kepada kesihatan dan kesejahteraan.

Beckham turut meluangkan masa untuk bertemu kanak-kanak penerima manfaat AIA Touching Lives, iaitu program tanggungjawab sosial korporat AIA. Dalam program tersebut, Beckham bekerjasama dengan kanak-kanak AIA Touching Lives untuk menyiapkan satu kerja seni serta menjawab beberapa soalan yang diajukan kepadanya.

Sebagai pengiktirafan bahawa penjagaan pemakanan adalah sama penting dengan senaman bagi menjamin kesihatan, AIA turut mengambil peluang untuk mengetengahkan subjek pemakanan sihat pada awal hari tersebut.

Syarikat insurans itu telah menganjurkan cabaran AIA Vitality Healthy Nasi Lemak Challenge, dengan menjemput tiga jenama unggul industri makanan dan minuman tempatan iaitu The Good Co., dah makan dan Meal in Box, untuk mencipta hidangan nasi lemak sihat versi masing-masing.

Beckham ditemani Ketua Pegawai Pemasaran AIA Bhd., Eric Chang, dan pemenang Masterchef Selebriti Malaysia, Dato’ Fazley Yaakob untuk mencuba versi sihat hidangan kegemaran rakyat Malaysia yang disediakan oleh setiap cef. Hamizatul Maizan Mohamed

IKLAN
Share