“Sikap saya yang periang, sekelip mata berubah kerana bimbangkan seluar dibasahi air kencing. Pantang ketawa kuat sedikit, saya terus hilang kawalan untuk menahannya dari keluar. Hidup saya benar-benar muram dan tertekan.”
Aktiviti hariannya kian berubah dan terbatas kerana perlu berjaga-jaga setiap waktu. Kisah benar ini nyata memberi gambaran jelas terhadap masalah yang ditanggung oleh kebanyakkan wanita dewasa di Malaysia berusia 35 tahun ke atas. Rasa malu dan enggan mendapatkan rawatan membuatkan masalah lemah kawalan pundi kencing ini semakin jarang diperkatakan secara terbuka.
Pelbagai perkara kecil yang lain seperti bunyi percikan air, terbatuk, terbersin, senaman atau sebagainya mampu merangsang pesakit membuang air kecil tanpa disedari. Tinjauan mendapati 65% wanita yang ditemui tidak mahu mendapatkan rawatan dan 64.5% daripadanya tidak mengendahkan kerana menganggap ia perkara biasa selepas meningkat usia.
Mereka lebih rela menderita dalam diam, malah mencari penyelesaian sendiri dengan mengambil ubat-ubatan tertentu di kedai-kedai ubat. Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan keyakinan diri, malah menyekat aktiviti menyeronokkan, termasuk kedinginan seksual dan hubungan sosial.
ANATOMI PUNDI KENCING
Masalah kebocoran air kencing terjadi kerana otot lantai pelvik menjadi lemah atau tidak cukup kuat untuk menahan air kencing dari melimpah keluar. Organ pundi kencing amat penting untuk menapis bahan kumuhan (urin) dari darah dan ia mampu untuk menyimpan kapasiti air kencing kira-kira 300ml dalam satu masa.
Di tandas, kita akan mengendurkan otot lantai pelvik (di bawah pundi kencing) dan otak akan mengirim isyarat untuk otot-otot mengecut lalu memerah keluar air kencing melalui uretra, yakni sejenis tiub dari pundi kencing ke luar badan.
Sayangnya, kebanyakan wanita yang mengalami masalah lemah kawalan pundi kencing mempunyai otot yang lemah atau rosak, sekaligus menyebabkan mereka gagal merasa pundi kencing penuh dan menyebabkan masalah untuk mengawal pengalirannya.
FAKTOR
- Proses kehamilan dan kelahiran.
- Kegemukan atau penambahan berat badan.
- Batuk atau bersin yang berpanjangan.
- Pengambilan ubat-ubatan tertentu.
- Paras hormon menurun atau menopaus.
- Sembelit.
JENIS-JENIS
Ketidakmampuan membuang air kecil atau dalam istilah perubatan dikenali sebagai urinary incontinence merupakan kebocoran air kencing di luar kawalan individu. Masalah ini boleh dibahagikan kepada beberapa kumpulan seperti berikut:
- Inkontinens stres
- Kebocoran air kencing yang sedikit, contohnya apabila bersin, batuk, ketawa atau mengangkat benda berat.
- Kerap berlaku di kalangan wanita, iaitu kira-kira 35% dari warga tua wanita.
- Berlaku akibat otot dasar pelvik yang lemah atau rosak.
- Juga sering berlaku di kalangan wanita yang mempunyai ramai anak, mungkin disebabkan kerosakan di dasar pelvis ketika bersalin.
- Boleh berlaku di kalangan lelaki yang pernah menjalani pembedahan prostat dan telah kehilangan sfinkter uretra.
- Inkontinens desakan
- Kebocoran air kencing yang lebih banyak apabila seseorang itu tidak sempat ke tandas ketika muncul keinginan untuk membuang air kecil.
- Sebahagian dari bentuk pundi kencing yang terlampau aktif, yang merupakan gabungan dari masalah kekerapan membuang air kecil (lebih dari lapan kali dalam 24 jam), desakan segera (keinginan yang amat kuat untuk membuang air kecil) dan juga disebabkan desakan.
- Berlaku di kalangan kira-kira 38% dari wanita dan 33% dari lelaki yang mengalami masalah pundi kencing yang terlalu aktif dan ini merupakan corak atau pola yang paling lazim (60 – 70%) di kalangan warga tua.
- Inkontinens limpahan
- Merupakan 10 – 15% dari keseluruhan masalah inkontinens membuang urine.
- Dikaitkan dengan peningkatan isipadu saki baki air kencing (disebabkan salur pundi tersumbat) dan gangguan pada keupayaan pundi kencing untuk mengecut.
- Pesakit tidak tahu kenapa air kencing tersebut bocor dan menitis keluar.
- Seringkali hilang sensasi atau tidak terasa yang pundi kencing telah penuh dan pengaliran air kencing menjadi lemah.
RAWATAN
- SENAMAN DASAR PELVIS
Bagus untuk pengecutan dan pengenduran otot di sekeliling dasar pelvis. Anda hanya perlu mengemutkan otot-otot dasar pelvis seolah-olah seperti cuba menahan diri dari terkencing atau terbuang air besar. Tahan selama 10 saat dan rehat seketika. Ulangi kaedah ini sebanyak 10 kali dan lakukan tiga kali sehari. Untuk mengelakkan kebocoran air kencing pula, cuba angkat dasar pelvis ke atas setiap kali anda ketawa, batuk, bersin, bersenam, mengangkat atau menolak benda berat.
- PENDIDIKAN SEMULA MEMBUANG AIR KECIL
Rangka suatu carta pundi kencing. Pesakit diminta supaya menahan dari membuang air kecil pada masa yang ditetapkan, contohnya setiap sejam. Apabila beliau berjaya menahan kencingnya selama sejam, maka masanya untuk membuang air kecil ditingkatkan. Ulangi sehingga individu itu dapat mengawal selama masa 4 jam tanpa wujud ketidakmampuan mengawal air kencing.
- MENGGUNAKAN LAMPIN ATAU PAD KHAS
Sejenis pad khas untuk penyerapan air kencing (bukan haid) seperti Poise atau lampin amat berguna untuk pengurusan yang pasif, termasuk penggunaan baju dalam yang tahan kebocoran. Pad Poise juga turut berupaya menyerap bau tidak menyenangkan dari tersebar di sekitar anda.
- TINGKAT PEMAKANAN SIHAT
Adalah salah untuk mengurangkan pengambilan air anda kerana ingin mengawal aliran air kencing. Anda dinasihatkan supaya meningkatkan pengambilan cecair sebanyak 6 – 8 gelas sehari (1500 ml) dalam bentuk minuman jus buah, sup dan air kosong. Sentiasa tambahkan serat dalam pemakanan seperti mengambil bijirin gandum, beras, roti, sayuran, ulam, kekacang, lobak merah dan buah-buahan untuk mengatasi sembelit.
- LAKUKAN SENAMAN
Amalan bersenam seperti berjalan setiap hari membantu mempercepatkan pergerakan najis melalui usus dan menguatkan otot perut.