Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood, ikon pendakwah wanita yang amat dikagumi. Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah masih terus ‘menyengat’ dalam dunia dakwah sama ada melalui dunia maya dan juga pentas ceramah. Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah aktif di Facebook beliau yang mempunyai pengikut lebih daripada 2 juta.
Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah yang sering membahasakan dirinya dengan panggilan Ustazah mengakui bahawa beliau memang kurang melibatkan diri dalam program-program di layar kaca dan juga radio. Beliau kini lebih selesa bersama cucu-cucu berumur antara 1 hingga 9 tahun.
Dicungkil tentang cabaran sepanjang berkecimpung dalam dunia kerjaya sebagai seorang penceramah, jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah, cabaran datang dalam dua bentuk iaitu luaran dan dalaman.
“Antara cabaran biasa ialah tempat ceramah yang agak jauh sehingga terpaksa memandu antara dua hingga empat jam. Begitu juga cabaran yang agak berat bagi saya iaitu apabila terpaksa meninggalkan anak-anak serta cucu-cucu tiga hingga empat hari dalam sebulan.
“Namun begitu cabaran paling utama ialah Iblis dan syaitan serta manusia yang bersifat mazmumah. Ia merupakan penghalang utama seorang pendakwah selain cabaran daripada fahaman sekularisme yang telah tersebar. Fahaman ini yang dibawa oleh barat sedang melanda umat Islam dan menjadi wabak yang menghakis komitmen kepada nilai-nilai agama,”tutur Datuk Ustazah Nor Bahyah.
Fitrah seorang wanita bergelar isteri dan ibu, amat penting mengagihkan masa antara kerjaya dan juga keluarga. Bagi diri Ustazah Nor Bahyah jika sekiranya tiada aktiviti di luar, waktu pagi sehingga tengahari beliau akan memperuntukkan masa menguruskan rumah seperti menyediakan sarapan untuk keluarga, mengemas rumah dan memasak.
“Di sebelah petang saya akan memberi tumpuan dalam kerjaya seperti menjawab persoalan daripada facebook dan e-mel, persediaan untuk ceramah dan juga menulis untuk majalah dan buku. Pada sebelah malam akan bersama keluarga tercinta.
“Hobi saya sejak dari kecil sampai sekarang ialah membaca. Masa kecil-kecil dahulu saya sanggup berada berjam-jam di perpustakaan awam semata-mata untuk membaca. Alhamdulillah setakat ini tidak ada hari yang berlalu tanpa saya membaca. Saya tidak dapat tidur tanpa membaca terlebih dahulu. Pada masa lapang saya akan menggubah bunga, bercuti, memasak dan membawa keluarga membeli belah,”jelas Ustazah Nor Bahyah yang gemar memasak tomyam, nasi daging, daging masak kicap, kari ikan merah dan sambal belacan kegemaran keluarganya.
RAHSIA KELUARGA BAHAGIA
Keakraban dan kemesraan beliau bersama keluarga agak dicemburui. Sebenarnya banyak aktiviti yang dilakukan oleh Datuk Ustazah Nor Bahyah bersama keluarga bagi merapatkan hubungan kekeluargaan.
“Sekiranya saya tidak berceramah di luar kawasan, kami akan solat berjemaah setiap hari terutama sekali waktu maghrib. Selain itu aktiviti membaca Al-Quran terutama membaca surah Yaasin pada hari Khamis malam Jumaat turut diamalkan. Ia dilanjutkan dengan mengadakan usrah keluarga yang mana saya dan Ustaz akan memberikan nasihat dan panduan kepada anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu.
“Kami juga akan luangkan masa untuk bercuti bersama. Dalam setahun antara dua hingga empat kali. Di samping itu juga sentiasa makan bersama lebih-lebih lagi pada hujung minggu. Resipi keluarga bahagia bagi saya ialah suami isteri dan anak anak mestilah menjadi seorang yang beriman dan bertakwa dan mempunyai sifat kasih sayang sesama ahli keluarga.
“Sifat kasih sayang itu terbentuk melalui lima perkara iaitu sentiasa mengeluarkan perkataan yang baik-baik dan positif, sentiasa memberi hadiah terutama pada tarikh hari kelahiran, melalui sentuhan seperti bersalam salaman, ciuman dan pelukan, sentiasa mengadakan aktiviti bersama seperti solat berjemaah, makan berjemaah dan bercuti berjemaah dan sedia berkhidmat seperti tolong-menolong antara suami isteri, ibu bapa dan anak anak,”kongsi Datuk Ustazah Nor Bahyah yang amat menekankan solat lima waktu dalam mendidik anak-anak dan cucu-cucunya.
Melihatkan kesibukan jadual harian beliau nescaya pasti terdetik dibenak fikiran, bagaimana pendakwah wanita yang wajahnya sentiasa dibungai dengan senyuman ini mengekalkan stamina. Tidak lokek berkongsi rahsia, antara elemen penting ialah mendapatkan tidur yang mencukupi enam hingga lapan jam sehari.
“Saya juga menjaga makan dan minum supaya berat badan tidak bertambah. Di samping itu juga saya sentiasa melakukan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh seperti menyapu sampah, berjalan-jalan dan bersenam,”jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah.
Sebelum menutup kalam, sempat ditanya pendapat beliau tentang peranan wanita sebagai nadi pembangunan dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah, wanita perlu sentiasa menjadikan dirinya teladan yang boleh dicontohi anak-anak dalam segala hal yang dilakukan di dalam urusan rumah tangga.
“Wanita juga berperanan sebagai penolong dan teman hidup pasangannya di kala suka dan duka. Melayani suami merupakan kewajipan sebagai seorang isteri. Isteri juga adalah teman untuk berbincang sebelum sesuatu keputusan diambil oleh suami sebagai ketua rumahtangga. Sebagai isteri mungkin pendapat kadang-kala berbeza tetapi apabila keputusan sudah dibuat oleh suami, isteri harus menyokong keputusan tersebut. Ini kerana di dalam sebuah kapal hanya ada seorang nakhoda dan begitu juga di dalam sebuah rumahtangga hanya ada satu ketua keluarga.
“Pujangga Arab ada mengatakan wanita itu adalah tiang negara. Seandainya wanita itu baik, majulah negara, seandainya wanita itu rosak akhlak maka mundurlah negara. Demikian juga kata penyair Arab, Ahmad Syauqi, ibu itu adalah umpama sebuah sekolah. Jika anda memberikan peluang kepadanya nescaya ia akan memberikan kepada anda satu bangsa yang berakar umbi baik. Jadilah wanita yang hebat dan bijaksana. Cantikkan diri dengan akhlak, bijak menambat hati suami serta mendidik anak-anak dengan iman dan takwa kepada Allah,”ujar Datuk Ustazah Nor Bahyah mengakhiri bicara.
TIP KEKALKAN KEMESRAAN DENGAN SUAMI AGAR RUMAH TANGGA BAHAGIA
1. Curahkan kasih sayang dengan sepenuh hati.
2. Patuhlah kepada suami dengan apa adanya
3. Mendengar kata-kata suami dengan baik disertai ketaatan.
4. Sentiasalah isteri mempertahankan pandangan mata suami dengan memakai pakaian yang baik-baik
5. Sentiasa menjaga ‘hidung’ suami dengan memakai bau-bauan yang wangi.
6. Sentiasa memperhatikan waktu tidur suami
7. Sentiasa menjaga makan minum suami.
8. Jagalah harta benda suami dengan sebaik-baiknya
9. Isteri perlulah menjaga keluarga dan anak anak dengan baik.
10. Jangan sesekali menyebarkan rahsia suami.
This website uses cookies.