Tatkala kebanyakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terus menunjukkan penguncupan sejak tersebarnya wabak COVID-19, ada satu perniagaan Bumiputera yang mencatatkan pertumbuhan luar biasa. Mamasab International milik Siti Noor Sabrina Soobri mencipta fenomena baru apabila syarikat itu merekodkan jualan tujuh ke lapan angka sebulan sepanjang PKP 2020 lepas.
Dalam pertemuan Nona dengan Mamasab yang merupakan penyandang Nona Best Networking Business Award di Nona Superwoman Award 2020 ini, beliau sudi berkongsi rahsia kejayaan bisnesnya.
“Alhamdulilah sejak penularan wabak dan perintah PKP berkuatkuasa, kami dapat beroperasi seperti biasa. Tempahan yang masuk juga terlalu banyak. Tak menang tangan kami melayan permintaan,” cerita Mamasab yang kini menguruskan dua perniagaan di bawah Mamasab International iaitu Mamasab Bakery dan Mamasab Cosmetics.
Berbicara lebih lanjut tentang strategi yang diatur Mamasab bagi menghadapi cabaran krisis ekonomi, tonton video SUPERWOMAN TALK ini.
“Dalam bisnes Mamasab, kami bina satu sistem online yang memudahkan para usahawan. Kami dah bersedia ‘mendigitalkan’ bisnes sebelum penularan wabak COVID-19 lagi. Modul Mamasab juga membantu mereka uruskan perakaunan dari skala kecil hingga skala besar.
Ada juga sistem runner atau posmen bagi melancarkan proses penghantaran. Semua sistem ini kami bangunkan tanpa meniru mana-mana tempat, ia dilahirkan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang timbul secara efisien,” ujar beliau.
Prihatin terhadap nasib segelintir individu yang kehilangan pekerjaan atau penutupan bisnes sewaktu PKP, Mamasab tidak teragak-agak untuk membantu.
Bagi menggalakkan lebih ramai usahawan baru memulakan perniagaan, Mamasab menyediakan modul dan trainers bagi melatih mereka. Inilah antara usaha bekas graduan Universiti Malaya itu memberi semula kepada masyarakat pada waktu-waktu sukar ini iaitu dengan memberi peluang untuk menjana pendapatan tanpa melibatkan modal langsung.
RAHSIA JADI JUTAWAN
Pada tahun 2020, Mamasab berjaya melahirkan lebih daripada 61 orang usahawan yang membuat jualan lebih daripada RM1 juta.
“Sebenarnya semua orang pun boleh jadi jutawan PKP. Caranya, pastikan bisnes anda telah di-online-kan. Jika sebelum ni customer beli secara offline dan terpaksa ke kedai untuk beli barang kita, sekarang tiba masanya untuk ada sistem online sendiri supaya barang boleh terus sampai ke rumah mereka,” dedah Mamasab.
Mengulas isu rasuah testimoni yang sengaja dibuat bagi ‘memancing’ prospek pelanggan baru, Mamasab dengan tegas menyelar perbuatan tersebut.
“Apa guna kalau jualan kita banyak tapi kita tak dapat keberkatan rezeki. Keberkatan tu datang apabila kita tulus, tunjukkan testimoni dan result yang sebenar bukan yang dipalsukan demi menarik perhatian customer. Kejujuran itu penting,” akhiri ibu kepada tiga cahaya mata tersebut.
This website uses cookies.