“Bonda Pakai Semasa Umur 23 Tahun,” Persalinan Puteri Bongsu TUNKU AZIZAH Curi Tumpuan!

Ketika berlangsungnya Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, busana warna putih gading yang disarung Yang Amat Mulia Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah nyata mencuri tumpuan tetamu. Semuanya kerana persalinan puteri bongsu KDYMM Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ini mengingatkan kembali nostalgia semasa pertabalan nendanya 35 tahun dahulu.

Meskipun usia busana tradisi berkenaan sudah lebih tiga dekad namun ia masih terletak cantik tatkala Tengku Puteri Jihan memakainya dan yang lebih penting memiliki nilai sentimental tersendiri.

Mana tidaknya, persalinan yang diperbuat daripada satin Dutch bersulaman renda Perancis itu merupakan persalinan bondanya, Tunku Azizah ketika menyaksikan pertabalan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan pada November 1984.

Tengku Puteri Jihan (kiri)
Nostalgia Tunku Azizah mengenakan persalinan sama ketika pertabalan ayahanda Almarhum Sultan Iskandar

Maknanya sejarah sama kembali berulang. Dahulu, Tunku Azizah yang menyaksikan ayahanda ditabalkan Yang di-Pertuan Agong… tapi kini giliran Tengku Puteri Jihan pula mengulangi momen serupa dan memakai persalinan sama bonda tersayang!

Tengku Puteri Jihan yang berusia 17 tahun berkata beliau berasa bangga dan selesa mengenakan baju kurung milik bonda yang mempunyai nostalgia tersendiri. “Saya rasa bangga. Menurut bonda, kain (baju kurung) ini dibeli di London. Bonda pakai semasa berumur 23 tahun. Perlu besarkan sedikit sahaja di bahagian pinggang,” katanya.

Sementara itu, pereka fesyen terkenal Datuk Rizalman Ibrahim yang berpengalaman selama 15 tahun sebagai ‘tukang jahit’ busana Tunku Azizah dan anakanda-anakanda baginda, diberi tanggungjawab mengubah suai saiz baju kurung Tunku Azizah itu untuk disesuaikan dengan saiz pinggang Tengku Puteri Jihan.

Lensa kamera pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 turut berjaya merakam kelibat putera dan puteri baginda. Kelima-lima puteri baginda tampak cukup manis dengan persalinan baju kurung tenun Pahang dan dihiasi dengan selendang putih serta mahkota di kepala.

Istimewanya, persalinan indah yang dipakai adalah dari Tenun Pahang Diraja yang ditenun oleh banduan-banduan terpilih dari Penjara Penor dan Penjara Bentong.

Manakala putera-putera baginda pula segak menggayakan busana songket dengan corak jalur menegak.

Istiadat yang berlangsung dengan gilang-gemilang penuh tradisi Raja-raja Melayu itu secara rasmi menandakan pemerintahan Sultan Abdullah sebagai Ketua Utama Negara untuk tempoh lima tahun.

 

Sumber: BERNAMA / Kredit foto: Instagram Malaysia Royal Family & Istana Negara

Share
Published by
Suzi