Bonda Rozita Simpati Nasib Peniaga, “Jual Makanan Ni Untungnya Tak Seberapa”

Pengalaman itu universiti kehidupan. Bagi usahawan spa resort Rumah Hutan Terapi Alam yang juga Pengasas Jamu Ratu Malaya dan Sendayu Tinggi iaitu Bonda Rozita Ibrahim, cabaran yang menimpa para peniaga bazar waktu pandemik ini cukup memberi kesan kepadanya.

“Wallahi, kesian sangatlah dengan peniaga bazar. Saya pernah lalui saat tu, masa hujan tak laku jualan. Payung tumbang habislah makanan rosak. Tak laku pun pernah, walaupun saya masak sedap!” Bonda Rozita

Kesusahan meniti hidup sebagai ibu tunggal dan tidak berpelajaran tinggi banyak memberi motivasi kepada wanita berusia 50-an ini untuk memajukan diri. Biarpun empayar perniagaannya kini sudah berdiri kukuh, namun beliau tidak segan berkongsi kenangan menjadi penoreh getah, bekerja kilang, menjadi penyambut tetamu serta menjalankan bisnes direct selling

dari rumah ke rumah.

Bahkan sebelum membina empayar perniagaan kosmetik, Bonda Rozita juga berniaga kecil-kecilan dengan menjual surat khabar, majalah dan nasi lemak. “Hikmahnya, survival jiwa harus kuat. Jangan mudah koyak…” tulisnya.

Resort Rumah Hutan Terapi Alam dikelilingi kehijauan

 

Noor Hayati dan Aliff Syukri bersama ibu tersayang

 

“Kenangan masa Yati dan Kri kecik-kecik, saya taknak orang hina mereka. Saya rajin kerja dan latih mereka kerja lasak. Bila miskin sangat anak-anak takde pilihan, ikut jelah walau merungut.

Kami menjual kuih, laksa. Penat jangan cakaplah. Ada masa rugi tak balik modal pun. Kami teringin nak makan pakai dan setahun sekali pegi jalan, jadilah. Tak pernah terlintas nak hidup kaya pun. Memadai hidup sederhana dan tak menyusahkan orang lain.

Rugi banyak kali sebab jualan makanan ni untungnya tak seberapa. Walaupun saya ada kafe di Rumah Hutan tapi jual makanan ni susah dan selalu rugi. Jadi kami makan apa yang tak habis jualan tu je.”

ERTI KESUSAHAN

Bonda Rozita yang merupakan ibu kepada jutawan kosmetik, Dato’ Seri Aliff Syukri dan Yatie Sendayu Tinggi turut mengimbau kenangannya menggadai emas semata-mata untuk menyewa rumah.

“Banyak pengalaman mencabar dalam membesarkan anak-anak seorang diri. Tapi yang penting, usaha, walaupun hasilnya tak pasti lagi. Niat saya mereka tak merempat macam saya waktu zaman muda,” kongsi Bonda Rozita yang pernah melalui episod kegagalan perkahwinan semasa muda.

Kemiskinan itu ujian, Allah bagi segalanya pada manusia untuk meneruskan kehidupan. Namun siapa yang berusaha lebih, berdoa lebih dan bertawakal, maka Allah tidak akan sia-siakan pengorbanan mereka. Resipi kejayaannya adalah kerajinan.

Aktif mengusahakan perniagaan frozen food

 

Meskipun kini hidup senang-lenang, wanita cekal ini masih mengusahakan perniagaan frozen food seperti karipap daging, karipap ayam dan karipap kentang melalui platform @dapurkayubybonda.

“Saya jual makanan frozen ni sebagai latihan minda supaya sifat insaniah tinggi. Ia mengingatkan saya tentang orang lain yang lebih memerlukan” Bonda Rozita

Sumber: Facebook Bonda Rozita Ibrahim

Share
Published by
Norzalina