Ketua Pegawai Operasi rangkaian produk tenusu Farm Fresh ini semakin glamor sejak menjadi penaja utama program Gegar Vaganza (GV) 6. Ramai yang memuji sikap Azmi Zainal yang lebih popular dengan nama ‘Boss Susu’ ini sewaktu mempromosikan barangan produknya. Lebih terkesan apabila beliau sendiri pergi mencari penyanyi-penyanyi lama untuk segmen Kongsi Rezeki.
Namun, rupanya ‘Boss Susu’ ini mempunyai kisah menarik untuk dikongsikan kala mula bertatih dalam perniagaan sehingga tercetusnya program CSR ini. Kongsinya, “Mungkin tidak ramai yang tahu kisah saya dan Loi memulakan bisnes kecil kami sehingga berjaya ke tahap ini. Kami bermula dengan 60 ekor lembu dan membeli susu dari penternak.
Kami hantar susu-susu tu naik bas ekspres kerana tiada lori yang nak heran pun setakat nak hantar susu 10-20 kotak ke Kuala Lumpur (KL). Saya tunggu bas ekspres di Petronas Sungai Besi. Kami jual di kedai-kedai kecil dahulu sebelum masuk ke supermarket.
Bila petang saya akan jual sendiri di pasar malam dan pasar tani. Kami rasa perit dan susah bukan hanya air mata saja yang mengalir, maruah juga diinjak-injak.
Kami tidak pernah kenal erti tewas dan ramai yang mentertawakan kami. Malah competitor kami kata pada buyer supermarket, “Biarlah itu company kecik, kita tak payah usik. Nanti dia sendiri mati,”.
Kami simpan itu sebagai semangat dan dengan ‘dendam kesumat’. Bila nak cari promoter pulak, ramai promoter yang ketawakan saya. “Betul ke kau boleh bayar gaji ni, kau pun pakai selipar je,”. Kami telan semua itu dan kami terus berusaha dan berdoa. Kami tahu bagaimana perasaannya menjadi orang susah yang memerlukan dan atas dasar keinsafan dan sedar asal-usul kami. Kami tidak pernah lupa dan sentiasa ingat hari-hari kami bermula dulu dan sebab itu lah kami buat GV Farm Fresh CSR ini,” kata Azmi Zainal.
Jenama Farm Fresh yang dikendali ‘Boss Susu’ bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Loi Tuan Ee kini memiliki jualan ratusan juta ringgit setahun dan ada beribu ekar ladang di Malaysia serta Australia. Malah punya kilang tercantik dan tercanggih dalam bidang penternakan lembu. Team ladang terdiri daripada anak-anak lepasan universiti tempatan yang dilatih.
Walaupun kini ‘Boss Susu’ dikenali ramai tetapi tidak mahu mendongak ke langit, “Setiap kali berhenti R&R mesti ada yang tegur ‘Boss Susu’. Tapi saya selalu ingatkan diri sendiri supaya tak hanyut dan ini cumalah kerja tambahan selain daripada tugas utama sebagai ketua dan leader untuk Team Farm Fresh.
Jangan bila ada kerja lain kita tinggalkan kerja utama kita, itu tak akan menambah apa-apa dalam bisnes kita jangan jadi ‘Nakhoda buluh kasap dapat hujung pangkal lesap’,” coret Azmi Zainal di laman Facebooknya.
Kredit: Facebook Azmi Zainal