Benarkah wajah yang bersih, licin dan tegang, lebih memudahkan kerja-kerja close deal berbanding wajah yang kedut seribu?
Bukan wanita sahaja yang mahu kekal cantik, lelaki tidak terkecuali mengambil berat soal ketampanan dan penjagaan wajah. Dalam dunia serba material, kebanyakan lelaki berpendapat mereka perlu mempertahankan rupa paras agar sentiasa sedap dipandang mata.
Biarpun fenomena botoks agak lama menyepi, tetapi masih ada lelaki yang berkeinginan melakukannya kerana sindrom takut tua dan mengubah penampilan wajah agar lebih meyakinkan.
Alasan yang diberikan lelaki, mereka perlu kelihatan menarik di mata orang tatkala berurusan terutamanya atas motif perniagaan. Penampilan menarik penting agar kehadiran mereka sentiasa disenangi orang sekeliling.
Ada juga berpendapat, wajah yang bersih, licin dan tegang, lebih memudahkan kerja-kerja close deal berbanding jika wajah telah kedut seribu, atau ada kesan bertompok-tompok pada wajah akibat pigmentasi yang teruk.
Melakukan rawatan wajah seperti spa atau berurut atau menggunakan krim mahupun urutan elektronik mendatangkan kesan yang lambat dan ia selalunya tidak digemari. Akhirnya botoks dipilih berdasarkan kesan yang menakjubkan berbanding memikirkan kesan sampingannya.
Di Amerika Syarikat, tinjauan terbaru yang dibuat mendapati jumlah lelaki yang mendapat suntikan botoks pada bahagian dahi dan bawah mata meningkat tiga kali ganda berbanding 2001, apabila hanya 100,000 lelaki di AS mengambil suntikan anti kedut ketika mula-mula botoks dikomersialkan hingga mencetus fenomena baru dalam dunia kecantikan.
Kebanyakan suntikan ini dilakukan oleh lelaki perpendapatan atau berjawatan tinggi dan berusia 40 ke atas kerana mulai mengalami masalah wajah dan kedutan.
Selain itu, prosedur suntikan botoks yang amat mudah – kurang daripada 15 minit mendorong lelaki menempah sesi bersama pakar kosmetik. Selain tempoh suntikan singkat di mana anda boleh pulang dan menyambung tugas di pejabat selepas disuntik, prosedur suntikan botoks yang tidak menyakitkan juga mendorong lelaki mengamalkan suntikan ini.
Walaupun muka akan membengkak dengan sesetengahnya memberikan kesan calar, namun kesakitan ini tidak berlarutan sebaliknya akan hilang dalam tempoh beberapa hari saja.
Selaras dengan itu, Majlis Fatwa Kebangsaan mengatakan suntikan botoks untuk tujuan kosmetik adalah haram kerana didapati mengandungi bahan yang meragukan. Fenomena ini nyata semakin berleluasa di negara Asia dan tidak terkecuali di Malaysia.
Nyata, masih ramai yang tidak begitu mengendahkan larangan ini, sebaliknya masih lagi cenderung untuk melakukan terus penyuntikan pada wajah.
Jika anda memikirkan risiko yang akan dihadapi, berfikirlah seribu sekali sebelum mengambil keputusan melakukannya kerana masih ada banyak cara lain untuk kelihatan menarik seperti menjalani gaya hidup sihat berbanding melakukan sesuatu pada hari ini yang bakal dikesali kemudian hari.
Bahaya Botoks Kepada Tubuh Manusia
This website uses cookies.