Perjalanan seorang pendidik bukan sekadar mengajar, menulis dan membaca, tetapi mendidik anak-anak agar menjadi insan berguna. Tanggungjawab dan amanah perlu dilaksanakan dengan sepenuh jiwa dan raga, berlandaskan keikhlasan dalam membina generasi yang terbaik. Puan Farisha Arwati binti Ahmad berusia 44 tahun, merupakan founder iSmart Eduworld.
Memiliki pusat perkembangan minda bagi kanak-kanak berkeperluan khas dan juga kanak-kanak biasa, Puan Farisha berkhidmat secara aktif dalam usaha melahirkan pelajar yang berilmu pengetahuan dan kemahiran.
“Di sini kami ingin membentuk generasi yang berdisiplin, berakhlak mulia, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri yang unggul. Kami mahu melahirkan pelajar yang berfikiran kritis, kreatif dan inovatif.
Pada masa yang sama kami ingin mewujudkan dan membina kesedaran ke arah penghayatan budaya ilmu yang terancang dan sistematik. Kami menyediakan pelajar berkeperluan khas dalam asas pembelajaran iaitu membaca, menulis dan mengira serta kursus asas EIP (Early Intervention Program).”
Begitu kata Puan Farisha yang memiliki Pusat Pendidikan One Stop Centre (iSmart Eduworld), Pengasas Tadika Bestari Cerdas (Berdaftar dengan KPM-Institusi Swasta), Pengasas Taska Bestari Cerdas (Berdaftar dengan JKM-Institusi Swasta), Pengasas iSmart Outdoor Equestrian (iSODE) dan merupakan Pengerusi Persatuan Autisma Perak (PAP).
“Saya mula mengajar sejak berumur 26 tahun. Jiwa pengajar telah menjadi sebahagian dalam diri saya, walaupun saya merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Undang-undang). Saya memilih dunia pendidikan untuk memenuhi impian saya memiliki dua dalam satu iaitu saham dunia dan akhirat. Malah, ibu dan suami juga menjadi sumber inspirasi yang kuat untuk menjadi guru dan pendidik.
Mengimbas kenangan lapan tahun lalu, seorang pelajar saya didapati mempunyai kecenderungan ciri-ciri autisme. Ibu bapanya menyatakan masalah ini kepada saya dan mereka telah pun ke beberapa pusat pembelajaran lain dan juga kelas terapi. Namun keluarga ini lebih yakin tentang kebolehan saya untuk menguruskan pembelajaran anaknya. Keluarga ini juga risau tentang pendidikan agama anaknya.
Daripada saat itulah saya memberi cabaran kepada diri saya dan team guru-guru untuk membantu anak-anak syurga ini. Pendekatan yang saya gunakan alhamdulillah memberi respon yang positif terhadap perkembangan yang baik untuk pembelajaran anak-anak ini,” bicara Puan Farisha yang merasakan ratio pelajar autisma yang semakin meningkat dan betapa pentingnya pembelajaran autisma untuk diberi keutamaan dalam usaha membantu anak-anak syurga ini.
“Saya sebenarnya mengajar pelbagai peringkat umur pelajar iaitu pelajar sekolah menengah, rendah, tadika serta taska dan pelajar bekeperluan khas iaitu autisma. Antara pengalaman menarik saya adalah ketika mengajar pelajar autisme yang berusia 6 tahun. Namun ibu bapanya tidak pernah mendengar anaknya memanggil nama mereka ‘Mama’ atau ‘Papa’.
Alhamdulillah selepas mengikuti pembelajaran di pusat pendidikan kami iaitu dalam program The Great Caliphs, satu hari di depan saya sewaktu ibunya datang mengambil di sekolah, anak ini tiba-tiba memanggil ibunya dengan panggilan ‘Mama’.
Ibunya terus mengalirkan air mata sebab itulah kali pertama beliau mendengar anaknya memanggil beliau. Sekarang anak pelajar ini sudah boleh membaca dan menguruskan diri,” cerita Puan Farisha dengan senyuman bermakna.
Hakikatnya sebuah kegembiraan itu sukar dibayangkan kerana cabaran dalam mengajar anak-anak istimewa ini memerlukan ilmu, kefahaman serta kesabaran yang tinggi. Situasi pelajar sentiasa tidak sama serta memerlukan diagnostik dan pendekatan yang berbeza.
“Ini mungkin cerita kecil bagi kebanyakan kita. Namun inilah realiti dalam keluarga yang mempunyai anak autisme. Mereka juga inginkan anak-anak ini boleh melakukan perkara-perkara asas dalam pembelajaran iaitu membaca, menulis dan mengira serta boleh menguruskan diri dengan baik termasuk boleh solat dengan baik.”
Siapa yang menjadi tulang belakang di sebalik kejayaan selama Ini? “Suami merupakan pemangkin semangat utama saya. Beliau merupakan seorang pendidik iaitu seorang pensyarah yang mengajar di peringkat pra universiti.
Beliau memahami kerjaya saya dan sering menjadi sumber rujukan. Mengajar pelajar autisme memerlukan banyak ilmu psikologi dan kaedah pendekatan berbeza serta pelbagai. Alhamdulillah suami sering memberikan buah fikiran dan perbincangan yang membina untuk membantu.
Menguruskan pusat pendidikan juga tidak mudah disebabkan berorientasikan sosial dan pendidikan. Oleh itu suami menjadi pembakar semangat dan motivasi untuk meneruskan dan mencemerlangkan pusat pendidikan ini. Guru adalah hak masyarakat dan anak-anak pelajar ini memerlukan kita untuk membina karektar diri dan masa depan yang cemerlang untuk mereka,” jelas Puan Farisha.
Apakah cabaran-cabaran sebagai seorang peniaga sekarang dalam mengharungi pandemik COVID-19?
“Dalam keadaan sekarang, antara kekangan yang kita lalui seperti masalah kewangan oleh ibu bapa menyebabkan ada pembayaran yuran bulanan tertunda. Kos operasi setiap bulan tidak berubah namun pendapatan bulanan terjejas. Selain itu, pendekatan pembelajaran perlu disesuaikan dengan keadaan pembelajaran situasi semasa.”
Prinsip hidup yang dipegang oleh Puan Farisha, “Saya mempunyai tiga prinsip utama. Pertama, buat apa yang Allah suka, insyaallah Dia mudahkan perjalanan sebagai seorang pendidik.
Kedua, berniaga kerana Allah dulu, amalkan bersedekah selalu, alhamdulillah rezeki sentiasa ada walau dalam keadaan sukar. Terakhir sekali, ‘the Great Caliphs’, saya percaya semua pelajar mempunyai kehebatan dan kebolehan masing-masing.
Kita sebagai pendidik mesti mampu mencari ruang dalam membantu mencemerlangkan anak-anak pelajar yang perlu bimbingan dan perhatian kita sepenuhnya,” ujar Puan Farisha yang sering mengadakan aktiviti bersama masyarakat berkaitan dengan dunia pendidikan.
Bagaimana cara membahagikan masa antara kerjaya dan menguruskan keluarga? “Keluarga tetap merupakan keutamaan saya. Namun suami dan anak-anak sangat memahami kerjaya ini. Kerjaya mendidik juga saya tanamkan dalam diri anak-anak supaya mereka juga mempunyai jiwa mendidik. Kita perlu bijak menyeimbangkan masa mengikut keperluan serta keutamaan di antara keluarga dan kerjaya.
Harapan yang ingin dicapai oleh Puan Farisha di masa hadapan? “Saya impikan sebuah pusat pembelajaran yang serba lengkap dan kondusif untuk aktiviti kurikulum dan ko-kurikulum. Di pusat ini juga nanti ada menyediakan keperluan yang lengkap untuk pelajar bekeperluan khas seperti pelajar autisme,” ujarnya yang sering mengamalkan makanan sunnah seperti minum 2 sudu minyak zaitun dan sedikit habbatus sauda serta madu setiap hari.
This website uses cookies.