Kagum dengan pendekatan usahawan kosmetik, Ili Zawani Ismail merencana dan menguruskan empayar niaga miliknya, Farmasi Color Cosmetics (FCC). Dia bukan hanya mementingkan kualiti dan keuntungan semata-mata. Malah turut memastikan setiap pekerja mendapat ilmu agama secukupnya melalui kelas yang diadakan di pejabat FCC. Tergamam seketika mendengar pengakuan Ili. Dalam kesibukan mencari kesenangan dunia… Pengarah Urusan FCC ini tidak lupa menambah bekalan akhirat!
“My mom adalah tunggak utama yang selalu ingatkan anak-anak mengenai agama. Kita ni nakal-nakal juga, tapi bukanlah jahat sebab ada mak yang selalu ingatkan dan pantau. Sesungguhnya islam agama indah… lebih-lebih lagi bila kita dapat menjadikan ia sebagai panduan dalam hidup,” ujarnya memulakan bicara.
Mengagumi dakwah ulama terkemuka seperti Mufti Menk, Ili turut menjadikan Profesor Muhaya sebagai sumber inspirasi. “Mereka ini banyak memberi gambaran sisi menarik tentang Islam. Mereka juga buat kita mahu kejar kejayaan dunia tapi dalam masa sama ultimate purpose adalah untuk kejar akhirat.
Bagi saya sendiri… bila bisnes yang diusahakan kian berkembang, ia sekaligus membuka peluang kepada saya untuk ambil lebih ramai orang bekerja, boleh tolong orang yang susah dan sebagainya.
Kalau tak ada source of income, macam mana nak tolong. Islam tu mudah, jalan semua dah ada. Cuma macam mana kita faham dan amalkan.”
Tambah ibu tiga anak ini lagi, “Pernah dulu saya jemput seorang ustaz datang ke office. Saya peruntukkan selama sejam untuk semua team berhenti kerja sekejap dan pergi attend kelas ustaz ini.
Dalam kelas tersebut, kami buat kelas mengaji Al-Quran, tadabur, baca sejarah Rasulullah SAW dan bila dah habis baca buku tu… kami belajar tauhid pula. Setiap hari.
Kami baru stop kelas ini pada hujung tahun lepas bila ustaz beritahu dia pergi mengerjakan haji. Rasanya memang kena terus buat kelas ini balik. Bak kata my mom, kalau kita busy je dengan dunia… bila pula hendak cari akhirat.
Kalau mati tengah sibuk dunia macam mana. Dan dia juga pesan kalau susah sangat hendak pergi kelas, dia minta ustaz untuk datang ke pejabat. Jadi tak ada lagi alasan.”
Memulakan perniagaan ketika masih menyambung pengajian dengan The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), ayahnya iaitu Ismail Kamin memilih Ili meneruskan legasi minyak wangi yang diusahakan ketika itu.
“Pada usia 20 tahun, apalah sangat pengalaman yang ada. Waktu itu juga saya masih dalam pengajian tahun akhir di kolej. Tanpa berbekalkan ilmu perniagaan, saya sahut cabaran ayah dengan niat untuk membantunya. Di situlah segalanya bermula.
Daripada satu lawatan di sebuah ekspo kecantikan membuatkan saya tertarik untuk membawa jenama FCC ke Malaysia. Ketika itu FCC sudahpun mencipta nama di Istanbul, Turki. Di situlah juga jenama FCC dilahirkan dan mula mendapat tempat di kalangan rakyat Timur Tengah.
Setelah diteliti dari segi kualiti produk dan harganya yang berpatutan, saya semakin tertarik serta memikirkan cara untuk membawanya ke pasaran Malaysia.”
Jelas isteri Mohd Aminolrasyid Mohd Fauzi yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Perakaunan Universiti Oxford Brookes, “Awal-awal dulu, saya berdepan dengan cabaran komunikasi yang besar. Jurang usia menyukarkan lagi rencana perniagaan saya dengan orang yang lebih berusia. Apa yang mereka fikir tidak sama dengan apa yang saya mahukan.
Pun begitu, dorongan dan semangat yang diberikan oleh keluarga dan orang sekeliling menjadi pemangkin kepada saya agar melangkah lebih baik lagi. Saya perlu buktikan bahawa amanah yang dipikul ini mampu dipikul sebaik mungkin. Kata orang, biar kalah berusaha daripada terus mengalah.”
Ili merupakan penganjur utama dan juri tetap program realiti digital pertama pencarian makeup artist Fabulous MUA Nona x FCC.