Keampuhan auranya tidak boleh disangkal lagi. Lunak suara emasnya kekal mengulit rasa siapa yang mendengar. Dengan lantunan vokal yang tetap berbisa, padanlah wanita ini ibarat legenda muzik seni tanah air yang cukup dipandang tinggi. One and Only… Ziana Zain.
Melewati tempoh tiga dekad dalam industri seni, beliau terus unggul di dalam kelasnya yang tersendiri. Walau penyanyi bersilih ganti, Ziana tetap menjadi pujaan sama ada mereka yang membesar dengan lagunya mahupu generasi muda yang baru mengenalinya.
NILAI EKSKLUSIF
Umpama resmi padi, makin tunduk makin berisi begitulah jua Ziana Zain ketika ditemui yang menzahirkan rasa terharunya kerana bakatnya masih lagi dihargai terutama sekali oleh Majalah NONA. “Saya sangat bersyukur dan terharu kerana sekali lagi diiktiraf NONA. Bagi saya anugerah ibarat permata dalam karier, apatah lagi merasa diri masih dihargai setelah penat lelah dalam industri sejak sekian lama, terima kasih,” ujar Ziana membuka bicara.
Namun untuk mengekalkan populariti bukan suatu yang mudah, apatah lagi di zaman media sosial yang serba canggih ini. Sesiapa saja boleh ke hadapan dan berlumba-lumba untuk dikenali ramai.
“Bagi saya, nilai eksklusiviti itu sangat penting dan perlu dijaga rapi. Kalau boleh saya enggan muncul selalu dan dilihat setiap hari terutama sekali di media sosial, sudahnya tiada apa yang dinanti-nanti oleh peminat. Saya faham kita ingin mendekati peminat, namun bagi saya tidak semua perlu dan selalu dikongsi.”
Namun sebagai orang lama di dalam industri, akui Ziana Zain terbit sedikit kegusaran dan kekecewaan di dalam hati melihat industri seni yang disayanginya kian dilacurkan pihak tertentu demi wang dan harga sebuah populariti.
“Memang ada yang bagus, ramai tapi dalam ramai-ramai itu ada pula yang menyelit, mencipta lagu bukan atas dasar cintakan pada seni atau untuk berkarya tapi lebih kepada ingin mengaut keuntungan dan kepuasan diri. Nasihat saya, nak buat lagu biarlah berkualiti, sarat masej, intipati dan cerita yang berhemah. Nak beraksi di hadapan kamera pula biarlah beradab dan berpada-pada. Jangan gadaikan maruah demi keseronokan semata, kelak terlampau suka akhirnya boleh membawa duka.”
Istimewanya insan seperti Ziana Zain ini sudah pasti terletak pada nilai bakat yang dimiliki walaupun sudah menganjak usia 50-an, dirinya tetap gah dan masih menyanyi. Mengekalkan vokal dan nada lagu yang susah, lebih-lebih lagi nyanyian bernada tinggi dengan tenaga yang sama bukan semua mampu untuk buat.
“Seni ibarat satu kecintaan, kalau tak menghiburkan hidup tak sempurna. Menyanyi pun dah sebati, dah jadi darah daging dalam diri. Kita sebagai seorang penyanyi kadang rasa dah macam YB. Kita menyanyi sehingga sampai ke segenap pelusuk, melawat kawasan yang tidak pernah kita pergi.
Dan bila ada peminat datang menyapa, menghargai bakat kita sampai jadi inspirasi kepada mereka, mendengar lagu-lagu kita untuk teruskan kehiduapan masya-allah betapa luasnya skop kerja seorang penyanyi ini. Peminat adalah energi, dan menyanyi adalah bateri untuk saya.”
Melihat pada susuk tubuh Ziana Zain yang sedikit susut ketika menjalani pengambaran, dirinya dilihat kekal berstamina dengan suara yang masih menyengat sehingga kini, namun rupanya Ziana Zain juga pernah melalui detik hitam berhubung masalah kesihatannya yang tidak semua tahu.
“Saya pernah diserang gastrik sekitar tahun 2018/2019. Selalu sesak nafas, kembung perut, muntah dan menyebabkan badan tak selesa. Awal dahulu, ingatkan saya ada masalah jantung. Lalu saya berjumpa dengan pakar perut dan beliau menasihatkan saya untuk menjalani prosedur kecil. Waktu itu memang takut, tapi saya bersyukur dengan teknologi yang ada, dan alhamdulillah I’m getting better, and my singing also getting better,” imbas Ziana Zain sekaligus membuktikan betapa besarnya pengorbanan yang harus dilalui seorang anak seni sejati.
Baca artikel penuh penerima NONA Legend Award – Ziana Zain di majalah NONA edisi Januari 2023 yang sudah pun berada di pasaran.
Saksikan video temubual eksklusif NONA bersama Ziana Zain menerusi pautan di bawah:
Konsep: AZNIZA AZIZ | Arahan Seni: KIFFY RAZAK | Teks & Penyelaras: WAN MOHD FIRDAUS | Foto: AZFARINA SULAIMAN | Solekan: BOBO CINTA | Hijab: VEE MUHAMMAD | Tajaan Lokasi: RITZ CARLTON KL
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***