Buat Pelaburan? Anda Tergolong Daripada Kumpulan Yang Mana?

Dalam berhadapan pendemik COVID19, ramai di kalangan individu terjejas dari segi pendapatan sama ada terpaksa dipotong gaji atau elaun, cuti tanpa gaji ataupun diberhentikan kerja.

Pastinya ia memberi kesan terhadap pengurusan kewangan apatah lagi jika mempunyai keluarga untuk ditanggung. Inisiatif kerajaan mengumumkan Program i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baru-baru ini disambut dengan rasa kelegaan khususnya bagi individu atau ahli yang menghadapi masalah kewangan.


Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, seramai lapan juta pencarum KWSP layak untuk mengeluarkan wang mereka sehingga RM10,000. Manakala had pengeluaran i-Sinar juga dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM10,000 membabitkan peruntukan RM70 bilion.

Namun begitu, setiap individu harus bijak menguruskan kewangan supaya wang yang diterima dapat disalurkan atau digunakan sebaik mungkin untuk memenuhi keperluan menjalani kehidupan dalam saat sukar ini. Antara perkara yang boleh diberi perhatian khusus adalah menanamkan tabiat menabung dan seterusnya melabur bagi kegunaan di masa hadapan.


Secara umumnya golongan pelabur ini terbahagi kepada beberapa kumpulan. Sebelum anda melangkah lebih jauh dalam dunia pelaburan, anda perlu tahu dalam kumpulan mana anda berada. Carilah di mana letaknya diri anda, analisis diri dan buat perancangan yang sesuai untuk anda.

PENDATANG BARU

Mereka yang berada dalam kumpulan ini adalah golongan yang baru berjinak-jinak dengan dunia pelaburan dan memiliki pengalaman melabur yang agak cetek. Kesedaran untuk mencapai matlamat kewangan menerusi tabungan dan pelaburan memang ada. Namun, dalam keghairahan membuat pelaburan, mereka ada kalanya mendapatkan panduan daripada sumber maklumat atau orang yang salah. Memulakan langkah dengan gerak yang songsang akhirnya menjuruskan diri menjadi mangsa skim penipuan.
Tip:
Dapatkan panduan melabur daripada pakar atau sekurang-kurangnya mereka yang berpengalaman, misalannya daripada mereka yang berlesen. Sentiasa berhati-hati dengan peluang pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi, terutamanya dengan kadar yang segera, jangan cepat “gelap mata”. Bersabarlah, jangan bertindak terburu-buru terutama bila wujudnya sebarang keraguan. Sebaliknya, ambil masa untuk belajar dan membuat analisis mengenai pelaburan yang bijak.


PELABUR BERWASPADA
Pelabur jenis ini akan mengelakkan diri daripada pelaburan yang berisiko tinggi. Mereka mengambil masa untuk memahami sesuatu produk. Seterusnya membuat analisis dan berfikir panjang sebelum membuat sebarang keputusan. Pilihan pelaburan mereka adalah produk yang stabil. Mereka biasanya tidak mengharapkan pulangan yang tinggi dalam pelaburan, cukup sekadar jaminan pulangan dan dapat memelihara modal mereka.
Tip:
Jangan cepat percaya dengan janji “pulangan terjamin” atau “modal terpelihara”. Telita setiap tulisan pada prospektus syarikat kerana setiap pelaburan itu pasti mempunyai risiko tersendiri. Anda perlu berhati-hati dengan tawaran yang menjanjikan pulangan terjamin yang tinggi tanpa berhadapan dengan sebarang risiko.


PELABUR PASIF
Setelah membuat pelaburan, golongan ini biasanya menyerahkan segalanya kepada mereka yang bertanggungjawab. Mereka tidak ambil peduli untuk memantau perkembangan pelaburan mereka. Segala penyata kewangan, laporan tahunan, nota kontrak dan pelbagai dokumen pelaburan yang dihantar tidak langsung diambil endah, apatah lagi untuk memfailkan sebagai rujukan akan datang. Sikap tidak acuh dan lepas tangan pelabur ini akan mengundang kesan negatif terhadap pelaburan mereka. Apabila segalanya jatuh merudum, tiada apa lagi yang dapat dibuat melainkan gigit jari.
Tip:
Pantau pelaburan anda! Jangan ambil mudah dan mengharapkan agen kewangan anda semata-mata. Ianya duit anda, jadi anda perlu lebih prihatin terhadap pelaburan anda. Jangan sesekali mempunyai persepsi bahawa setiap pelaburan itu akan bergerak sendiri dengan lancar setiap masa. Sensitiviti anda terhadap keadaan pasaran dan prestasi pelaburan akan membolehkan anda menilai semula pelaburan anda terutama jika ianya tidak menguntungkan.

KAKI JUDI
Golongan ini biasanya berani mengambil risiko tinggi. Mereka mudah tertarik dengan khabar angin dan ramalan panas pasaran. Kerugian dalam pelaburan bukan satu yang menggerunkan mereka. Keuntungan cepat dan pelaburan tambah nilai adalah agenda utama dalam pelaburan. Membuat keputusan pelaburan berdasarkan instinct dan bukannya maklumat yang tepat boleh menyebabkan mereka membuat pelaburan yang salah yang akhirnya membawa kerugian yang besar.
Tip:
Bergantung kepada naluri dan ramalan panas bukan cara yang bijak dalam membuat pelaburan. Anda perlu ingat keandalan fakta dan angka dalam pelaburan tidak boleh disangkal dengan khabar angin yang tidak tentu kesahihannya. Jangan salah guna keberanian anda dengan mengambil risiko menbuta tuli. Setiap maklumat yang diterima perlu disusuli dengan penilaian bernas. Fahami risiko yang bakal dihadapi dan perlengkapkan diri sebelum berhadapan dengannya.

PELABUR BIJAK
Golongan ini sentiasa memantau setiap pergerakan pelaburan mereka. Setiap keputusan dalam pelaburan yang dilakukan berdasarkan maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai. Keputusan mereka tidak dikuasai emosi tetapi berdasarkan penilaian tentang keburukan dan kebaikan pelaburan yang bakal dilakukan. Golongan ini sentiasa mendapatkan nasihat daripada mereka yang arif dan berlesen dalam bidang pelaburan. Peka dengan keadaan pasaran dan bersedia menukar strategi pelaburan asalkan matlamat kewangan mereka dapat dicapai.
Tip:
Inilah tabiat pelabur yang berjaya. Jangan patah semangat kalau anda tidak tergolong dalam kumpulan ini. Teruskan menimba ilmu daripada mereka yang berpengalaman dan berjaya. Langkah awal penting dalam menentukan kejayaan masa hadapan. Peka terhadap pasaran dan rajinlah belajar. Pelaburan bukanlah sesusah yang disangka, bila anda sudah mendapat “tune” dunia pelaburan, segalanya akan berjalan lancar. Sikap memainkan peranan utama dalam setiap kejayaan.

Share
Published by
Rosmah Idayu