
Awas, jangan biarkan diri anda diancam oleh kanser payudara! Periksa dan kesan dari awal dengan melakukan rutin PSP (Pemeriksaan Sendiri Payudara) yang mudah di rumah.
Lakukan PSP setiap bulan, kira-kira 7 – 10 hari selepas bermulanya hari haid pertama anda. Jika menstruasi sudah terhenti (menopaus), tetapkan tarikh yang khusus untuk memeriksanya.
Masa terbaik untuk membuat PSP ialah semasa atau selepas mandi.
Boleh juga dibuat secara berdiri, berbaring atau duduk di depan cermin untuk melihat jika ada kelainan pada rupa bentuk payudara anda.
Cara-caranya
(a) Angkat lengan ke atas dan letakkan tangan di belakang kepala.
(b) Menggunakan tiga jari tengah anda, mulakan pemeriksaan dengan tekanan yang solid.
(c) Tekan payudara dari atas ke bawah, secara membulat dan dari luar menuju ke tengah (puting).
(e) Rasa jika ada kelainan saiz atau bentuk, dan periksa jika ada ketulan ganjil di sekitar payudara.
(f) Lihat jika ada perubahan tekstur kulit seperti kedut atau bengkak.
(g) Periksa puting jika termasuk ke dalam, gatal-gatal atau mengecut.
(h) Akhir sekali, picit puting untuk memeriksa jika keluar cecair (selain susu) jernih, kekuningan, darah atau menyakitkan.
Jika anda mengesan tanda-tanda ganjil pada payudara sepanjang melakukan PSP ini, segera berjumpa doktor sebelum terlewat. Dapatkan nasihatnya dan buatlah ujian untuk mengesan kehadiran kanser, jika ada!
Wanita BERPAYUDARA BESAR Lebih Senang Hidap Kanser Payudara? Rupa-Rupanya Ini Yang Kita Tak Tahu

Benarkan ukuran payudara yang besar membuatkan seseorang wanita lebih mudah mengalami kanser payudara berbanding mereka yang berpayudara kecil?
Menurut penelitian yang diterbitkan dalam jurnal BMC Medical Genetics, seramai 16,000 wanita diminta menyatakan ukuran bra yang dipakai selain merekodkan sampel gen mereka.
Di akhir penelitian, keputusan mendapati kelompok wanita yang menggunakan bra berukuran D atau lebih berisiko mengalami kanser payudara berbanding wanita yang menggunakan bra berukuran A atau lebih kecil daripada itu.
Pakar perubatan menyatakan bahawa ukuran payudara pada wanita dipengaruhi oleh gen dan DNA yang mengaturnya. Gen yang membuat ukuran payudara besar pada wanita juga mempengaruhi pertumbuhan kanser.
Teori lain pula menyatakan bahawa wanita yang memiliki berat badan berlebihan juga mempunyai ukuran payudara yang besar kerana kandungan lemak yang bertimbun di situ. Pengaruh obesiti atau kegemukan turut meningkatkan risiko penyakit kanser payudara.
Pelbagai penelitian telah membuktikan bahawa wanita obesiti cenderung mengalami kanser payudara. Penelitian Journal of Clinical Oncology menyatakan bahawa risiko kanser meningkat hingga 30% pada wanita yang bertubuh besar.
Sebelum membuat sebarang kesimpulan, tonton video ini untuk memahami penyakit kanser payudara secara menyeluruh. Penjelasan infografik tersebut membuktikan bahawa kanser payudara TIDAK BERKAITAN dengan saiz payudara seseorang kerana sesiapa pun berisiko untuk menghidapnya.
Tindakan Awal Menyelamat Nyawa
Bagi anda yang memiliki ukuran payudara besar, jangan cemas lagi. Sebenarnya terdapat banyak faktor lain yang menyebabkan sel kanser berkembang pada payudara.
Berikut adalah faktor risiko menurut American Cancer Society:
(a) Sejarah keluarga
Tidak kira berapa pun ukuran payudara anda, tapi jika memiliki sejarah keluarga yang mengalami kanser payudara tetap akan meningkatkan risiko hingga 2 kali ganda.
(b) Usia
Semakin berusia, maka semakin meningkatlah risikonya. Kebanyakan pesakit kanser payudara sudah mengalami menopaus saat didiagnosis penyakit ini. Oleh itu, penting untuk melakukan mammogram ketika memasuki usia 47 tahun.
(c) Pernah mempunyai tumor
Jika sebelum ini anda pernah mempunyai tumor pada payudara, risiko untuk mendapat kanser payudara meningkat hingga 3 kali ganda.
(d) Memiliki anak pertama di usia matang
Seorang wanita yang lambat memiliki anak atau tidak memiliki anak sama sekali, berisiko lebih tinggi untuk mengalami kanser payudara.
(e) Mengalami menopaus awal ataupun lambat
Wanita yang mengalami menopaus atau haid pertama kurang dari usia 12 tahun, maka berisiko terkena kanser payudara. Sama juga dengan wanita yang menopaus pada usia melebihi 55 tahun. Norzalina Mohd Alias
Jawapan Vivy Yusof Tentang BARAH PAYUDARA Ini Pasti Buat Anda Tersentak! Ambil Tahu Sekarang

Berdasarkan kajian Cancer Research Malaysia (CRM) hampir 5, 000 wanita berusia di antara 30 dan 60 tahun didiagnosis kanser payudara setiap tahun dengan 18 peratus daripadanya dikesan berada pada tahap ketiga atau empat. Merujuk kepada situasi tersebut, Perunding Klinikal Onkologi Institut Kanser Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Mastura Md Yusof mendedahkan keadaan ini berlaku kerana masih terdapat golongan wanita yang kurang maklumat mengenai kanser selain gemar melengah-lengahkan rawatan.
Berpeluang bertentang mata dengan Pengasas FashionValet, Vivy Yusof baru-baru ini, dia yang juga ibu kepada dua orang anak turut meluahkan rasa khuatir tentang bahaya kanser berkenaan.
Sebagai wanita yang sudah bergelar ibu, adakah Vivy membuat pemeriksaan payudara?
“Mula-mula saya takut. Saya dengar macam-macam cerita, sakitlah hendak check. Tapi saya buat juga sebab ia sangat penting dan lebih baik kita tahu lebih awal kalau ada masalah atau sebaliknya supaya sempat dirawat.
Ada sejarah keluarga yang menghidap kanser?
“Saya bersyukur kerana tak ada sejarah keluarga yang menghidap kanser. Tapi ada genetik diabetes. Tidak kira ada sejarah atau tidak, saya atau anda semua pun mesti jaga kesihatan diri.”
Nasihat Vivy kepada seluruh wanita sempena sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara
“Saya rasa ramai wanita yang tahu mengenai kanser payudara, Pink Oktober dan sebagainya. Tapi setakat itu saja. Kita patut belajar lagi tentang kanser ini dan bukan hanya membuat pemeriksaan diri kita saja tetapi juga keluarga tersayang. Sebab daripada kita tahu lambat dan tak boleh buat apa-apa, adalah baik kita dapat tahu sekarang.
Mahu atau tidak, kena atasi rasa takut dan teruskan menjalani pemeriksaan yang sepatutnya. Lebih-lebih lagi dengan usia yang bakal memasuki 30 tahun membuatkan saya lebih sedar tentang kepentingan menjaga kesihatan. Saya mahu ada kehidupan yang lebih baik dari segi pemakanan dan amalan gaya hidup sihat.”
Tanda-tanda kanser payudara
- Kulit menjadi berkedut seperti kulit limau
- Lelehan keluar dari puting berwarna kekuningan atau berdarah selain susu
- Ketulan di bahagian ketiak
- Bengkak pada bahagian payudara
- Puting atau kulit payudara berubah warna kemerahan atau berkeruping
Bagaimana kanser payudara dikesan?
- Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) – wanita patut melakukan PSP secara berkala bermula dari umur 20 tahun. Belajar daripada jururawat dan jika ada ketulan dikesan, jumpa doktor segera.
- Mamogram – ujian x-ray payudara. Semasa ujian mamogram, payudara ditekan antara 2 keping plet dan boleh menyebabkan rasa tidak selesa. Kadar radiasi x-ray adalah rendah dan tidak meningkatkan risiko kanser payudara.
- Pengambilan tisu daripada payudara – Semasa ujian ini, sel dari kawasan yang disyaki diambil dan diuji di makmal.
Pusat Mamogram & Ultrasound Yang Disediakan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)
Selangor
- Columbia Asia Bukit Rimau
- Pantai Klang Specialist Medical Centre
- Selangor Specialist Hospital
- Beacon International Specialist Centre Sdn Bhd
Kuala Lumpur
- Cancer and Health Screening Clinic National Cancer Society Malaysia (NCSM)
- Pantai Cheras Medical Centre
- Tung Shin Hospital
Sumber: Laman Rasmi LPPKN
Nak Jaga PESAKIT KANSER, CAREGIVER Perlu Lebih SIHAT!

Ramai yang terpilih menjadi penjaga atau caregiver kepada pesakit kanser. Tentunya persiapan mental dan fizikal sangat penting walaupun berita kesakitan itu datang tiba-tiba. Cubalah perhatikan kesihatan diri dan pastikan anda sangat fit dan sihat agar anda tidak stres saat menjaga pesakit kanser.
Saat kesakitan menyerang, pesakit bagaikan tiada daya untuk melawan, tetapi orang-orang tersayang menjadi penguat semangat untuk terus bangkit. Sebagai caregiver kepada pesakit kanser, kita sendiri lebih memerlukan kekuatan agar keupayaan itu tidak menipis dek masa. Ambil tahu langkah-langkah penjagaan kendiri sebelum anda mula menjaga pesakit kanser.
UBAH RUTIN MEMASAK DARI RUMAH
Walau bagaimanapun, pencegahan kanser seharusnya bermula dari rumah, setepatnya daripada pemakanan kita setiap hari. Meskipun terdapat banyak faktor penyebab kanser ini, namun tidak dinafikan salah satunya bermula daripada bahan kimia yang masuk melalui makanan diproses.
Antaranya Aspartame yang didapati dalam pemanis sintetik (bijirin sarapan, yogurt, gula-gula getah), BHT & BHA atau antioksidan sintetik (daging diproses, minyak sayuran), MSG atau perisa tiruan serta Pewarna Tiruan (Blue 1, Yellow 5).
Selain itu, faktor alam sekitar yang bertoksin juga menyumbang kepada risiko kanser payudara. Malah tanpa disedari, semua punca di bawah sentiasa berada di sekeliling kita. Antara yang perlu dibimbangkan adalah:
- PARABENS
Digunakan secara meluas dalam produk kosmetik seperti losen, anti-perspirasi, syampu dan semburan badan. Kajian klinikal menemukan sejumlah kandungan paraben yang tinggi dalam tisu wanita yang menghidap kanser payudara.
- PHTHALATES
Ditemui dalam produk pembersihan rumah dan alat kosmetik. Ia dikaitkan dengan pertumbuhan kanser payudara, penyakit neurologi dan disfungsi sistem imunisasi.
- FORMALDEHYDE
Merupakan sejenis karsinogen berbahaya yang wujud dalam pelbagai produk pembersihan komersial.
- BPA
Atau bisphenol A sering digunakan dalam industri membuat botol plastik, makanan dalam tin, penampal gigi dan resit juruwang. Kompaun ini juga menyumbang kepada pelbagai masalah kesihatan termasuklah kanser payudara.
- PFOA
Asid Perfluorooctanoic sering ditemui dalam alat perkakas memasak, karpet kalis kotoran, pembersih karpet, pakaian kalis air dan air minuman.
KAEDAH PENCEGAHAN NATURAL
Bagi mengurangkan peluang mendapat kanser payudara secara semula jadi, terdapat pelbagai kaedah yang boleh dilakukan. Selain berniat untuk mencegah penyakit, amalan di bawah juga sesuai diaplikasikan untuk menjaga kesihatan keluarga secara keseluruhan.
- ELAKKAN SEGALA MAKANAN BERKIMIA
Diri anda ialah apa yang anda makan. Cuba kawal dan hindari pengambilan makanan berproses serta tinggi kandungan kimia. Gantikan dengan makanan segar dan organik seperti kekacang, biji-bijian, produk tenusu, buah-buahan, sayuran, ayam, daging dan ikan yang didapati melalui habitat asal mereka. Lebih kuat sistem imunisasi anda, maka lebih bersedialah sistem pertahanan tubuh untuk melawan kanser.
- CIPTA SUASANA HIJAU
Kini perhatikan pula suasana di sekeliling anda. Semak label pada kosmetik serta produk pembersihan rumah yang selalu digunakan. Sedarilah bahawa kebanyakan produk-produk ini boleh menjadi penyebab kanser payudara serta pelbagai penyakit berbahaya lain. Gantikan barang kosmetik harian seperti mekap, rangkaian penjagaan kulit dan rambut yang berkimia ini dengan produk berasaskan mineral atau organik. Anda juga boleh membersihkan rumah dengan mudah menggunakan cuka, jus lemon dan sabun kastil.
- LAKUKAN URUTAN LIMFATIK PAYUDARA
Gaya hidup yang bertoksik dan sedentari (duduk setempat) boleh mendedahkan kita kepada pelbagai toksin. Justeru, lakukan urutan payudara di rumah dengan tujuan nyah toksin dan melancarkan peredaran darah.
- TINGKATKAN PENGAMBILAN VITAMIN D3
Kebanyakan pesakit kanser payudara sering mengalami masalah kekurangan vitamin D3. Tanpa bekalan vitamin D mencukupi, anda terdedah kepada pertumbuhan pelbagai jenis kanser termasuk kulit dan payudara. Dos optimum yang disyorkan untuk orang dewasa adalah sekitar 2000-5000 IU serta bertambah penting untuk mereka yang tinggal dalam iklim sejuk atau tidak mendapat dedahan matahari secukupnya.
LENGKAPI DIRI DENGAN INFUSED WATER
Menjaga ahli keluarga yang sakit lebih-lebih lagi melibatkan penyakit kanser boleh mengubah 360 darjah kehidupan anda. Kanser sebenarnya bukan sahaja mengubah si pesakit dari segi mental dan fizikal malah ia turut dirasai caregiver yang bertanggungjawab untuk menjaga mereka. Tentunya, persediaan dari segi mental dan fizikal amat penting supaya boleh terus fokus dan tubuh sentiasa segar.
Pilihan infused water dengan campuran buah-buahan misalnya amat membantu caregiver memberi tumpuan yang baik kepada rutin harian. Minuman bergas, termasuk air soda diet sememangnya tidak baik untuk tubuh badan. Kalorinya yang tinggi bukan sekadar menjejaskan kesihatan, malah ia sarat dengan pengawet, pemanis dan pewarna tiruan. Menggantikan minuman harian anda dengan infused water sememangnya satu pilihan yang tepat kerana tidak seperti jus, ia lebih rendah kalori dan gula untuk mengekalkan kesihatan yang baik.
Di antara kebaikannya:
- Buah strawberi dan kiwi dapat menjaga kesihatan jantung, menguatkan sistem imun, menurunkan gula darah dan melancarkan pencernaan.
- Teh hijau, daun pudina dan limau nipis bermanfaat untuk membakar lemak, melancarkan pencernaan, meredakan sakit kepala, mengatasi sembelit dan menyegarkan nafas.
- Timun, limau nipis dan lemon dapat mengawal selera makan, melancarkan pencernaan dan mencegah kembung perut.
- Lemon kaya dengan vitamin C dan antioksidan polifenol. Ia dapat menjaga keseimbangan pH tubuh, menguatkan sistem imun, menjaga kesihatan ginjal dan mencegah influenza.
- Lemon dan halia dapat melicinkan tekstur kulit dan membersihkan organ hati.
BAHAN RENDAMAN
Untuk membuat infused water yang paling berkesan, fikirkan resipi yang paling menepati selera anda. Eksperimentasi dengan bahan-bahan berikut untuk memaksimumkan khasiatnya.
Buah sitrus: limau gedang, lemon, limau nipis atau limau bali.
Buah beri: strawberi, raspberi, beri biru, beri hitam atau ceri.
Buah melon: melon atau tembikai.
Buah tropika: pear, delima, mangga, nanas, pisang, kiwi, belimbing, epal, anggur, plum atau pic.
Sayuran: timun, lobak, seleri atau paprika.
Daun herba: pudina, sage, rosemary, basil, thyme, stevia atau lavender.
Rempah: halia, kayu manis atau lada.
TIP MINUMAN
- Minum segelas besar infused water sebelum makan, TANPA ALASAN.
- Minum air dalam masa 15 minit selepas bangun tidur.
- Buat satu jug infused water dan simpan di dalam peti sejuk pada setiap masa.
- Beli botol infused water khas untuk kembara dan bawa ia ke tempat kerja, sekolah, gimnasium atau ke mana sahaja.
- Pesan teh tanpa kafein jika teringin minum di luar.
- Variasikan resipi infused water sama ada untuk panas atau sejuk.
- Bahan-bahan yang direndam dalam infused water hanya segar selama 2 hari sahaja. Buang sisanya jika ia tidak sempat dihabiskan.
Apabila anda mula meminum infused water, anda pasti menyedari betapa banyaknya kebaikan yang bakal dinikmati. Tubuh kita memerlukan air untuk kekal segar dan hidrat, malah kulit juga akan memancarkan tekstur yang lebih mulus, rambut dan kuku yang lebih kuat serta rasa minuman lazat tanpa kalori! Jadikan ini sebagai ‘tenaga’ supaya anda dapat menjalankan tanggungjawab dengan lebih baik!