Isu doktor gigi haram sudah berlarutan bertahun-tahun lamanya. Semakin banyak aduan mengenai doktor palsu diterima Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hasil laporan pelanggan yang tidak berpuas hati. Pada tahun 2017 sahaja, KKM menerima 54 laporan dan meningkat ke 130 aduan pada tahun 2019.
Menurut Dekan Fakulti Pergigian Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) Profesor Seow Liang Lin, rawatan pergigian yang diberikan pihak yang tidak berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan bukan pemegang Sijil Perakuan Pengamalan Tahunan (APC) atau Sijil Perakuan Pengamalan Sementara (TPC) yang sah untuk memberikan rawatan pergigian di Malaysia adalah dianggap sebagai haram.
“Lazimnya, terdapat golongan doktor gigi haram yang membuka gerai bukan sahaja di pasar malam, tetapi di pasar-pasar pagi juga.
Mereka menawarkan rawatan pergigian seperti menggantikan gigi patah kepada pengunjung pasar-pasar ini yang biasanya dalam lingkungan usia pertengahan dan yang lebih berusia.” Prof Seow Liang Lin
Satu lagi golongan beroperasi di salon-salon kecantikan. Mereka menawarkan perkhidmatan estetik seperti pemutihan gigi dan venir. Berdasarkan pemerhatian, pelanggan mereka terdiri daripada orang yang lebih muda yang selalu mendapatkan perkhidmatan pergigian begitu di salon-salon kecantikan.
Walaupun prosedur-prosedur berkenaan nampak ringkas dan biasa, namun tidak sepatutnya seorang pendandan kecantikan diberikan kepercayaan untuk menjalankan prosedur pergigian.
Ada juga golongan yang menguar-uarkan perkhidmatan mereka di media sosial dan mempunyai klinik sementara di bilik-bilik hotel. Kadang-kadang, mereka turut menawarkan perkhidmatan dari rumah ke rumah.
Lebih mengejutkan, ramai di kalangan mereka hanya belajar kemahiran pergigian melalui tontotan video-video di YouTube dan melakukan rawatan seperti memasang pendakap gigi sehinggalah ke prosedur venir!
UMPAN
Agak pelik apabila ada sesetengah orang yang sanggup mendapatkan rawatan pergigian di pasar-pasar, tetapi khidmat ini biasanya ditawarkan sebagai satu cara yang mudah dan cepat untuk menangani masalah kehilangan gigi.
Pengunjung berjumpa ‘doktor gigi’ yang menjanjikan sesuatu seperti menggantikan gigi yang patah pada kadar segera. Hakikatnya apa yang mereka dapat adalah doktor gigi haram yang hanya menyambungkan gigi palsu kepada gigi asal dengan menggunakan dawai atau seumpamanya.
Buat jangka masa singkat, pelanggan berpuas hati kerana mereka tidak perlu membuat gigi palsu. Tetapi apa yang mereka tidak sedar adalah gigi palsu tersebut sebenarnya tidak berfungsi dan akan menyebabkan kerosakan kepada gusi dan gigi asal di sebelah gigi palsu itu.
“Gigi asal akan mereput dan menyebabkan radang gusi apabila makanan terselit.” Prof Seow Liang Lin
Rawatan pergigian di salon-salon kecantikan pula menawarkan keselesaan yang menjadi penarik utama. Dengan menggunakan ‘umpan’ suasana yang menenangkan berbanding di klinik gigi, pelanggan terpedaya untuk membuat rawatan pemutihan atau venir sebagai sebahagian pakej kecantikan.
Namun begitu, sebab utama yang yang membolehkan perkhidmatan pergigian penuh tipu daya ini terus-menerus ditawarkan adalah kerana kurangnya pendidikan dan kesedaran akan akibat jangka panjangnya.
“Orang ramai tertarik dengan gambar-gambar sebelum dan selepas yang menjanjikan penyelesaian yang mudah dan cepat. Mereka terperangkap dengan promosi jualan yang meyakinkan.
Walaubagaimanapun, ia hanya nampak baik untuk jangka masa yang pendek tetapi kesudahannya anda menderita untuk jangka masa yang panjang.” Prof Seow Liang Lin
HAKIKAT
Apakah proses sebenar dalam rawatan-rawatan pergigian ini?
Pemutihan Gigi
Prosedur pemutihan melibatkan pemutihan gigi dengan menggunakan krim atau gel yang mengandungi bahan-bahan kimia seperti hidrogen peroksida atau karbamida peroksida. Gel tersebut disapu pada permukaan gigi selepas proses menggilap dan penskaleran, di mana keseluruhan proses mengambil masa satu jam ke satu jam setengah.
Ia boleh dilakukan di klinik pergigian atau melalui preskripsi (pemutihan di rumah). Rawatan pemutihan di rumah akan dinilai terlebih dahulu di klinik, Kemudian, pesakit dibimbing menggunakan gel pemutih selama beberapa jam di rumah untuk tempoh satu ke tiga minggu dengan cara yang betul. Keseluruhan proses akan dipantau doktor gigi.
Sementara itu, di salon-salon kecantikan pula, anda berisiko menerima gel pemutih yang tidak menepati piawaian dan boleh memudaratkan gigi dan gusi. Tiada proses penilaian yang betul diberikan bagi memastikan gigi sesuai menjalani proses pemutihan. Anda mungkin membayar untuk rawatan yang tidak sesuai dengan anda. Jadi, anda tidak mendapat hasil rawatan yang baik.
Venir
Satu lagi rawatan popular di salon-salon kecantikan adalah venir. Menurut Profesor Seow, venir digunakan dalam beberapa keadaan tertentu yang mana salah satu daripadanya adalah apabila gigi yang kuning tidak sesuai menjalani prosedur pemutihan.
Contohnya, akibat kesan tetrasiklina yang berlaku apabila seorang ibu mengambil antibiotik tetrasiklina semasa hamil, menyusukan anak atau apabila kanak-kanak mengambilnya semasa gigi sekunder dan utama sedang tumbuh.
“Kesan berwarna hitam kelabu ini tidak boleh dirawat melalui proses pemutihan kerana ianya dari dalam gigi.” Prof Seow Liang Lin
Dalam situasi lain pula, venir sesuai digunakan jika gigi tidak rata dan pesakit tidak mahu memakai pendakap gigi, dan ini termasuklah keadaan di mana gigi rosak teruk.
Proses yang terlibat termasuklah mengikis nipis struktur gigi dan menampal venir. Proses ini dinamakan venir tidak langsung. Ada juga venir langsung di mana doktor gigi akan menggunakan bahan tampalan berwarna gigi untuk menutupi gigi yang kuning lalu mengubah bentuk dan saiz gigi.
Dengan doktor gigi yang sah, venir jenis tidak langsung dibuat khas dan dihasilkan di makmal pergigian, manakala venir langsung memerlukan kerja tangan yang mahir kerana gigi perlu dibentuk dan digilap dengan betul bagi memastikan ia kelihatan cantik.
Memberikan kepercayaan kepada pendandan kecantikan untuk melakukannya seringkali membawa kepada pelanggan mendapat venir yang tidak sepadan hingga menyebabkan gusi bengkak dan berpenyakit.
Rawatan Jambatan Pergigian / Bridges
Bagi prosedur memasang jambatan pergigian bagi mengganti kehilangan gigi, pertama ia melibatkan proses pemangkasan barisan gigi atau gigi bersebelahan yang jarang. Kemudian, acuan gigi yang telah dipangkas dihasilkan. Acuan ini dihantar ke makmal pergigian yang akan membikin jambatannya.
Rawatan oleh doktor gigi haram pula hanya melibatkan pendawaian gigi palsu ke gigi sebelahnya.
“Membenarkan doktor gigi haram menggunakan set gigi yang tidak dibuat khas untuk pemakainya dengan hanya menggunakan dawai membawa risiko gigi reput, masalah gusi dan masalah lain akibat pemakaian gigi yang tidak sepadan.” Prof Seow Liang Lin
Rawatan Braces / Pendakap Gigi
Satu lagi rawatan popular yang dicari ramai orang adalah pendakap gigi. Ada dua jenis pendakap gigi. Kaedah konvensional menggunakan pendakap dan dawai logam. Kaedah terbaharu menggunakan penjajaran lutsinar. Penjajaran lutsinar sudah berada di dalam pasaran sejak 20 tahun yang lalu dan pesakit diberikan satu set 40 ke 50 penjajaran plastik lutsinar.
Setiap tujuh ke sepuluh hari dalam tempoh satu setengah tahun, penjajaran lutsinar itu akan diganti secara berurutan sehinggalah gigi akan beranjak perlahan-lahan.
“Pendakap gigi untuk membetulkan gigi tidak rata yang ringan dan tidak serius boleh dilakukan doktor gigi yang sudah meningkatkan kemahiran diri dengan menghadiri kursus-kursus pendek. Namun begitu, bagi kes yang rumit, anda perlu berjumpa pakar ortodontik.” Prof Seow Liang Lin
WASPADA
Semua doktor gigi perlu berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia. Sijil Perakuan Pengamalan Tahunan (APC) perlu dipamerkan di klinik.
Kegagalan berjumpa doktor gigi yang betul untuk mendapatkan rawatan pergigian boleh menyebabkan kerosakan gigi dan gusi yang tidak dapat dipulihkan. Berjumpa doktor gigi haram boleh merosakkan struktur sokongan gigi. Faktor kebersihan dan kurangnya penggunaan peralatan yang betul dalam situasi ini juga menjadi persoalan.
This website uses cookies.