‘Kehilangan’ adik tersayang sejak kehilangan ibu tersayang dalam kemalangan jalan raya sememangnya sesuatu yang pahit untuk ditelan. Namun itulah yang dilalui oleh anak perempuan pengasas kosmetik Dnars Skincare, Irdiena Hakim Jasman dan keluarganya sejak pemergian ibu tersayang, Allahyarhamah Faziani Rohban Ahmad tiga tahun yang lalu.
Anak perempuan pengasas kosmetik Dnars Skincare ini telah memfailkan tuntutan hadhanah ke atas adik bongsunya di Mahkamah Tinggi Syariah, Kota Bharu, Kelantan minggu lalu.
Tuntutan tersebut dibuat oleh, Irdiena Hakim Jasman, 20, neneknya, Khatijah Mirdin, 71, dan ibu saudaranya, Faradilla Rohban Ahmad, 36, sebagai plaintif yang diwakili peguam, Naimah Saupi dan Shaharuddin Mohamed, manakala Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 46, sebagai defendan.
Hadanah bermaksud penjagaan kanak-kanak yang masih kecil dan belum berupaya untuk
menguruskan dirinya sendiri, sama ada lelaki atau perempuan, sama ada dalam tempoh
perkahwinan atau selepas perceraian.
Mereka memfailkan tuntutan hadhanah (hak lawatan, bermesra dan bermalam) terhadap Qaseh Khadija Ahmad Shah Rizal, 10, yang juga adik bongsu kepada Irdiena Hakim.
Memetik Sinar Harian, Irdiena Hakim mendakwa kali terakhir berjumpa adik bongsu daripada empat beradik itu adalah pada Aidilfitri yang lalu iaitu di kubur Allahyarhamah ibunya, Faziani Rohban Ahmad, 43.
Katanya, perjumpaan itu hanya beberapa jam sahaja dan selepas ibunya meninggal dunia, adiknya itu terus tinggal dengan bapa tirinya, Ahmad Shah Rizal.
“Sejak ibu tiada, adik tidak dapat bermalam dengan kami. Begitu juga ketika abang sulung, Mohamed Aqbar Hakim Jasman, 23, berkahwin tahun lalu tetapi adik tidak dapat datang.
“Saya tahu adik rindukan kami, namun dia tidak dapat datang kerana disyaki dihalang daripada berjumpa. Saya membuat tuntutan ini (hadhanah) kerana mahu berjumpa dengan adik, di samping nenek juga selalu sakit dan teringin berjumpa dengan cucunya.
“Dengan permohonan ini, saya berharap keputusan dapat dibuat oleh adik melalui mahkamah sama ada mahu tinggal bersama saya dan adik beradik yang lain atau bapa tiri,” katanya.
Irdiena Hakim berkata, dia amat terkesan apabila tidak dibenarkan berjumpa dengan adik bongsunya itu, sedangkan ketika ibunya masih hidup mereka tinggal bersama dan amat rapat.
Beliau berkata, akibat perkara itu dia juga perlu berjumpa dengan pakar psikologi untuk mendapatkan rawatan.
Sementara itu, Naimah berkata, pihaknya memfailkan permohonan mengikut Seksyen 82 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Kelantan Tahun 2002 iaitu anak itu diberikan peluang untuk memilih sama ada tinggal bersama plaintif atau defendan berdasarkan hukum syarak dan Seksyen 85(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Kelantan Tahun 2002.
Katanya, prosiding ‘sulh‘ pada hari ini yang membabitkan kedua-dua pihak yang terbabit dalam pertikaian terhadap satu atau beberapa tuntutan gagal dicapai ekoran defendan tidak hadir.
Al-Sulh di dalam bahasa Arab bererti `putus pertengkaran’ yang membawa maksud kompromi manakala pengertian syarak membawa maksud suatu perjanjian yang dimeterai bagi menyelesaikan perselisihan / pertikaian di antara pihak-pihak yang beragama Islam. Di dalam amalan perundangan sivil ianya disebut mediation.
Dengan kata lain, para ulama fiqh mentakrifkan al-Sulh sebagai satu ikatan perjanjian atau kontrak bersama untuk mencapai kompromi perdamaian antara dua atau lebih pihak yang berselisih faham / bertikai.
Pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Faziani Rohban Ahmad meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan di Thailand pada Mei 2019. Ahli keluarga terdekat pengasas Dnars Skincare, Faziani Rohban Ahmad yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Pattani, Thailand pada Mei 2019 lalu, mengesyaki terdapat terdapat unsur meragukan berhubung kematian usahawan produk kecantikan itu.
SUMBER: SINAR HARIAN.
This website uses cookies.