Melihat keharmonian kehidupan pasangan selebriti Ussy Sulistiawaty dan suami tersayang, Andhika Pratama, siapa sangka sudah 10 tahun pasangan ini melayari bahtera rumahtangga. Walaupun terdapat perbezaan usia di mana Ussy enam tahun lebih berusia dari Andhika, ia tidak sedikitpun menjadi ‘penghalang’ buat pasangan ini mengecapi bahagia sebagai pasangan suami isteri.
Andhika sendiri tidak menyangka jatuh cinta terhadap Ussy Sulistiawaty ketika dirinya baharu menginjak angka 21 tahun. Malah, bukan kecantikan Ussy yang membuatkan Andhika jatuh cinta pandang pertama, tetapi hatinya terpaut tatkala melihat Ussy melayan dua orang cahayamata hasil perkahwinannya yang terdahulu.
“Bukan karena Ussy tampil cantik dengan dandanan atau pakaian. Tapi hati Andhika langsung terpaut saat melihat Ussy menggendong kedua anaknya,” ujar Andhika yang mengagumi sifat keibuan yang dimiliki oleh isteri tersayang.
Menyingkap perjalanan cinta pasangan ini, siapa sangka Andhika pernah berbohong tentang usia sebenarnya semata-mata kerana ingin mendekati Ussy yang enam tahun lebih berusia dari dirinya. Menganggap caranya itu sebagai usaha untuk mendekati Ussy, ternyata keserasian yang dimiliki oleh pasangan ini akhirnya membawa mereka ke ikatan perkahwinan yang sah pada 21 Januari 2012. Pasangan ini sempat menjalani hubungan cinta selama 5 tahun sebelum mendirikan rumahtangga.
Benarlah kata orang rezeki orang yang berkahwin ini sememangnya melimpah ruah. Sejak mendirikan rumahtangga, pasangan sehati sejiwa ini membangunkan beberapa perniagaan bersama dan kebanyakan usaha sama yang mereka jalankan berjaya dan meletakkan pasangan ini layak digelar millionaire di kalangan selebriti Indonesia.
Selain terlibat sebagai pengacara dan penyanyi, pasangan selebriti ini turut mengusahakan perniagaan kosmetik yang diberi nama Dissy yang laris di pasaran. Selain itu, Ussy turut melancarkan produk wangiannya sendiri yang dikenali sebagai “IN BED WITH USSY” yang turut melonjakkan lagi nama pasangan ini sebagai jutawan. Malah pasangan ini turut memiliki beberapa rangkaian restoran beberapa lokasi popular di Jakarta.
Bukan hanya bergiat dalam perniagaan berasaskan kecantikan, kekayaan pasangan ini juga semakin hangat diperkatakan apabila mereka melibatkan diri dalam perniagaan hartanah. Melalui akaun Instagramnya, baik Andhika mahupun Ussy sering mempromosikan perniagaan hartanah yang mereka gelar Dissy Desari Residence. Baru-baru ini, Ussy juga mengikuti trend berniaga kueh ole-ole khas Cirebon yang diberi nama Cirebon Kelana.
Baik Ussy, mahupun Andhika mempunyai cara tersendiri untuk memastikan ikatan cinta dan kebahagiaan yang mereka miliki berkekalan sehingga ke akhir hayat. Ibu kepada lima cahayamata itu sering mengutamakan keluarga di dalam apa jua situasi dan amat berterima kasih terhadap suami yang amat memahami dirinya.
“Bahagia itu ketika kita bisa tertawa bersama, menangis bersama, melakukan smua bersama Dia yg kita cinta,” tulis Ussy Sulistiawaty, di akaun Instagram miliknya.
Walaupun terdapat perbezaan usia, namun sifat matang yang dimiliki oleh Andhika Pratama Subagyo banyak memberi kelebihan dalam mengemudi rumahtangga sebagai bapa ‘segera’ kepada dua cahayamata disamping tiga lagi cahayamata yang dimiliki hasil perkahwinan bersama isteri tersayang.
This website uses cookies.