Bayangkan secawan aiskrim yang dilimpahi sirap gula apong asli, taburan cornflakes rangup dan boba kecil menyempurnakan hari yang panas terik. Sedapnya Mokti’s Ice Cream, patutlah jenama ini jadi fenomena di Malaysia!
Bukan aiskrim biasa, tapi aiskrim Mokti’s terus laris dan kukuh di pasaran kerana diformulasikan kemanisannya menggunakan 99% gula apong asli.
Menurut Pengasas dan Pengarah Urusan PMA Rich (M) Sdn Bhd, Siti Fatimah Adnan, 31 tahun, bisnes yang dijalankan bersama suami, Pengiran Muhammad ‘Adil Bin Awang Iskanderndzulkarnein itu bukan sekadar mempertaruhkan keenakan aiskrim gula apong semata-mata bahkan beberapa produk lain.
“Sebenarnya kami juga mempunyai sijil pengesahan halal daripada JAKIM dan kelulusan Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).
Yang terbaru, Mokti’s juga merupakan player artisanal gelato Muslim pertama di Malaysia yang mana mempunyai lebih 40 jenis artisanal gelato tanpa pengawet, tanpa pewarna tiruan dan tanpa perasa tiruan!
Selain itu, aiskrim Mokti’s juga pernah mendapat beberapa penganugerahan antaranya The Brandlaureate The World Best Brands (Bumiputera) 2022, The Brandlaureate The World SME’s Best Brands 2022 serta International Women’s Day Outstanding Young Woman Entrepreneur Award 2022 pada tahun lepas.” Siti Fatimah
Untuk mencapai ke tahap ini, cerita Siti Fatimah bukan semudah yang difikirkan. Terlalu banyak kenangan pahit manis pernah berlaku sepanjang beliau mengusahakan bisnes aiskrim yang diasaskan pada tahun 2020 itu.
Namun yang paling terkesan sekali adalah kenangan membuat aiskrim sendiri yang mana hampir setiap hari aiskrim buatannya terpaksa dibuang kerana resipinya tidak menjadi. Sehinggalah akhirnya membuahkan hasil berkat kegagalan yang dialami itu, aiskrim Mokti’s diterima ramai.
“Saya juga suka untuk mengimbau zaman dimana saya bersama adik berjualan di belakang bonet kereta. Masa tu kami perkenalkan aiskrim kon serendah RM1. Seronok melihat orang tua dan kanak-kanak berulang-alik beli aiskrim kerana kesedapannya.
Bagi saya aiskrim Mokti’s memberikan senyuman dan ketenangan ketika memakannya. Ia merembeskan hormon gembira dan ceria kerana rasanya yang tradisi. Kebanyakan aiskrim kami juga mengekalkan rasa Malaysia yang autentik dan boleh diterima kebanyakan peringkat umur.”
Empayar Mokti’s Ice Cream kini mencapai 93 outlet di serata Malaysia dan 6 buah kilang di Perlis. Paling membanggakan, mereka juga mengambil keputusan drastik dengan mengembangkan sayap bisnes ke Turkiye baru-baru ini.
Mokti’s Türkiye beroperasi secara rasmi di Lüleci Hendek Cad. Hacımimi Mah, Istanbul pada Mac 2023. Saksikan majlis perasmian ringkas yang diadakan ini… Membanggakan!
Tambah pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Perladangan Dan Agroteknologi dari UiTM Kota Samarahan, Sarawak itu, beliau berharap agar bisnes Mokti’s terus berkembang dengan pesat dan dapat membantu peniaga-peniaga aiskrim Mokti’s memberi peluang pekerjaan kepada orang lain.
“Ya, kami baru saja membuka sebuah outlet antarabangsa di sana. Ini adalah langkah pertama kami dalam membuka peluang perniagaan antarabangsa.
Bukan kerana di Malaysia tidak memadai, tapi kami mencabar diri kami untuk berani melangkah jauh dan membawa aiskrim buatan Malaysia ini ke mata dunia.
Kita juga ada beberapa produk baru sepanjang tahun 2023. Jadi untuk peminat-peminat aiskrim bolehlah ke outlet Mokti’s berdekatan untuk mencuba.
Antaranya kolaborasi dengan jenama Famous Amos untuk fasa pertama. InsyaAllah aiskrim tersebut akan berada di outlet Mokti’s sehingga hujung bulan April.” Siti Fatimah
Berbeza daripada ahli perniagaan lain yang kebanyakannya workaholic atau overthinking, Siti Fatimah bijak memainkan peranan mengikut keadaan. Kalau di rumah sebagai isteri dan ibu, kalau di kilang juga sebagai pekerja agar beliau sendiri tahu dan menghargai nilai-nilai kesusahan team Mokti’s yang bekerja.
“Bagi saya yang paling penting dalam perniagaan ini adalah kesefahaman dan bekerja dalam pasukan. Kita tidak boleh terlalu rigid atau tidak mempercayai orang lain.
Untuk berkembang dalam perniagaan mestilah ada sifat mempercayai orang lain tapi mesti juga berhati-hati. InsyaAllah bila kita gajikan pekerja, rezeki lain akan datang kepada kita.”
Mengakhiri temu bual, wanita yang merupakan penerima Nona Best Halal Ice Cream Award di acara berprestij Nona Superwoman Award 2022 lalu gemar membaca dan bermain dengan anak-anak itu terus-terang mengakui bahawa keluarga adalah penenang dan pemberi kekuatan kepadanya. Merekalah prioriti hidup Siti Fatimah dan suami tercinta.