Dia baru berusia 21 tahun tapi sudah ada segala-galanya. Empayar bisnes yang maju, terkenal, cantik, ada suami penyayang dan anak yang comel serta memiliki semua yang diidamkan seorang wanita muda. Mengakui bukan mudah mendaki puncak kejayaan seperti sekarang, usahawan yang lebih dikenali sebagai Asyalliee tidak terkecuali mengharungi laluan hidup penuh liku.
Selain pernah ditipu, difitnah dan pelbagai lain tohmahan lain… wanita berkulit putih kemerahan yang tengah sarat hamil anak kedua nyata seorang yang tabah dan berjiwa besar. Enggan mengalah dengan sindiran negatif, Asyalliee yang suatu ketika dulu dikenali sebagai Syasya Solero cekal mengejar impian hidup bersama suami tercinta, Eboy Arbaain.
Dua tahun melayari alam perkahwinan dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Haider Mikael, Asyalliee berkongsi kisah suka duka dia dan suami sebelum dikurniakan rezeki meruah seperti sekarang. Salah satunya ialah memori motorsikal kesayangannya dan suami.
“Motor saya dulu saya guna untuk pos barang-barang yang saya memula berniaga dengan suami sebelum kami kahwin. Kami guna motor skuter ni la untuk pos barang, untuk cari makan dan duit untuk kahwin. Siapa masih ingat perniagaan kami dulu jual tudung rossa? Alhamdulillah dengan duit tu la kami kumpul duit untuk kahwin tapi malangnya tak lama sebab kami kena tipu dengan supplier.
Kami banyak kena tipu bila nak mula business, biasalahkan budak mentah lagi tak tahu pasal business masa tu, tapi atas kesilapan kami percayakan orang sangat-sangat yang mematangkan kami sekarang. Alhamdulillah Allah SWT jauhkan kami dari orang-orang yang betul-betul bantu kami sekarang,” telusnya.
Berkat dari jualan motor kesayangan suami dan keikhlasan untuk mengubah taraf hidup, pasangan romantis ini akhirnya dibukakan peluang untuk terus maju ke hadapan. Tambah Asyalliee, “Dan motor suami saya, suami saya sangat sayangkan motor scrambler dia. Tapi demi fikirkan masa depan anak kami Haider Mikael, suami saya sanggup jual motor kesayangan dia untuk buat modal buka business kami sendiri buka Loveliee dan alhamdulillah dengan duit modal jual motor la kami bangkitkan Loveliee dan keluarga kami. Kami both suami isteri bukan dari keluarga yang senang tapi kami mempunyai semangat yang kuat untuk berubah selepas kelahiran putera sulung kami Haider Mikael.”
Kredit: Instagram Asyalliee