Bangga melihat inisiatif anak tempatan membuka banyak peluang pekerjaan merentasi sempadan negara. Kalau dulu bisnes sekadar jaguh di tempat sendiri, mengapa tidak kini dikembangkan ke negara jiran? Inilah yang diusahakan tiga wanita hebat iaitu Fauziah Husain, Sitinur Mokhtar dan Ais Rashid.
Bulan Mac 2023 membuka lembaran baru buat tiga wanita hebat dari JNJ Management Consultants Sdn Bhd atau JNJ Group ini apabila menjalin kerjasama dengan OK OCE yang berpangkalan di Indonesia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Fauziah Husain; Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Sitinur Mokhtar; dan Timbalan Presiden, Ais Rashid tiba di Jakarta untuk sesi menandatangani memorandum kerjasama disaksikan oleh Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia Sandiaga Salahuddin Uno.
Kerjasama ini bagi membentuk platform komuniti digital keusahawanan yang dikenali sebagai Digital Serumpun, yakni platform yang menyediakan kepakaran dan infrastruktur untuk membantu membangunkan usahawan Malaysia dan Indonesia dalam merintis bisnes masing-masing.
Ditubuhkan pada 2017, OK OCE ialah gerakan sosial yang mencipta peluang pekerjaan dan perniagaan mikro, dengan menyasarkan belia Indonesia.
“Kami menyesuaikan dan melengkapkan struktur yang dilaksanakan oleh OK OCE, yang mana mereka memberi tumpuan kepada pembangunan sosial dikuti oleh komuniti sebelum membangunkan perniagaan.
Manakala di pihak Malaysia, kami akan membawakan perniagaan yang berpotensi untuk bekerjasama dengan komuniti sebelum menjana gerakan sosial.” Fauziah Husain
Sementara itu, Sandiaga optimis perjanjian tersebut akan meningkatkan kapasiti usahawan khususnya dalam industri kreatif dan pelancongan.
“Perkongsian ini akan member manfaat kepada kedua-dua pihak kerana kami menvediakan sokongan untuk lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan. Kami juga mengharapkan pemulihan ekonomi yang lebih pantas.”
JNJ Group ialah syarikat perunding swasta dengan pengalaman industri selama 15 tahun dalam membimbing usahawan tempatan di Malaysia untuk mengembangkan perniagaan mereka.
Bahaya Di Sebalik KANTA LEKAP Harus Anda Tahu Terutamanya Jika Abai Aspek Penjagaan!
Ramai wanita yang mengenakan kanta lekap sebenarnya mengundang risiko tertentu terhadap kesihatan mata. Bukan untuk menakut-nakutkan tetapi realitinya sudah ramai di antara mereka mengalami masalah penglihatan akibat kesan penggunaan kanta lekap yang tidak diiktiraf dan kurang peka terhadap aspek kebersihan.
Berdasarkan kajian yang dijalankan Jennifer Cope iaitu pegawai perubatan di Waterborne Disease Prevention Branch of the Centers for Disease Control and Prevention dan pasukannya mendapati 81 peratus belia dan 88 peratus orang dewasa terjebak dengan sekurang-kurangnya satu kesalahan penggunaan kanta lekap sekali gus meningkatkan risiko jangkitan mata.
“Amalan kebiasaan yang dilakukan kebanyakan individu sehingga mengalami jangktian mata termasuk tidur dengan kanta lekap, tidak menggantikan bekas dan kanta lekap itu sendiri dengan cara yang betul di samping gemar memakai kanta lekap ketika berenang,” ujar Jennifer.
Penggunaan kanta lekap sebenarnya tidak membahayakan pengguna namun langkah pencegahan daripada terkena jangkitan mata harus diutamakan. Ini kerana pemakaian kanta lekap adalah cukup sensitif terhadap mata lebih-lebih lagi apabila menyentuh soal kebersihan. Cara terbaik untuk melindungi mata anda dan memelihara penglihatan adalah menerusi rutin penjagaan kanta lekap yang sempurna.
Cara Untuk Memastikan Kanta Lekap Selamat Dipakai
- Jika terasa jangkitan pada mata, segera tanggal kanta lekap. Mata merah, sakit dan gatal merupakan antara tanda berlakunya jangkitan pada mata. Elakkan memakainya selama beberapa hari dan jika masih mengalami perkara sama, segera berjumpa pakar mata
- Jangan sesekali tidur bersama kanta lekap. Ia antara penyebab utama yang mengundang jangkitan. Meskipun hanya tidur sebentar dalam keadaan masih memakai kanta lekap, ia tetap meningkatkan risiko jangkitan sehingga enam ke lapan kali ganda. Ingat, mata memerlukan oksigen dan kegagalan menanggalkannya sewaktu tidur mengehadkan kemasukan oksigen untuk mata
- Tukar kanta lekap ikut tempoh ditetapkan. Jika ‘jangka hayat’ kanta lekap hanya sesuai dipakai untuk seminggu atau pun 30 hari, pastikan anda tidak menggunakannya melepasi tempoh tersebut. Penggunaan kanta lekap lebih lama daripada yang sepatutnya akan menggalakkan pembiakan bakteria dan meningkatkan risiko jangkitan
- Jangan basuh kanta lekap dengan air sinki. Ini kerana ia mengandungi parasit yang mampu menjejaskan penglihatan dikenali sebagai acanthamoeba keratitis. Untuk langkah selamat, elakkan mandi atau basuh muka anda ketika masih memakai kanta lekap. Situasinya sama jika membasuh kanta lekap dengan menggunakan air sinki. Tangan juga harus bersih dan kering sebelum menyentuh kanta lekap
- Jangan memakai kanta lekap ketika berenang. Kepelbagaian mikroorganisma yang hidup dalam air kolam renang adalah sama seperti yang ditemui dalam air sinki. Untuk itu, pastikan anda menanggalkannya terlebih dahulu sebelum berenang.
- Guna fresh solution setiap hari. Jika lihat cecair pembersih kanta lekap dalam bekas berkurangan, jangan hanya menuang dan menambah cecair tersebut ke dalamnya semata-mata. Sebaliknya, anda perlu pastikan bekas itu kosong dan bersih terlebih dahulu setiap kali menanggalkan kanta lekap dan isikan dengan cecair baru apabila ingin menyimpannya ke dalam bekas semula.
- Tukar bekas kanta lekap secara berkala. Sebaiknya, tukar bekas kanta lekap yang baru apabila tempoh penggunaan kanta lekap sudah tamat. Ia baik untuk mengelakkan pembiakan bakteria di dalamnya.
Didik Anak Berpuasa? Umur Berapa Tahun Perlu Dimulakan? Persoalan Yang Sering Berlegar Di Fikiran Ibubapa
“Tahun ni adik dah kena mula puasa tau. Tak dapat puasa penuh satu hari, setengah hari pun boleh. Nanti bila adik dah besar sikit kena puasa penuh ya.”
Bila tiba bulan Ramadan, bagi ibubapa yang mempunyai anak kecil dalam lingkungan 5 hingga 8 tahun pasti akan mengungkapkan dialog di atas untuk menggalakkan anak-anak untuk belajar mengerjakan rukun Islam ketiga iaitu berpuasa di bulan Ramadan.
Sebenarnya pada umur berapakah kanak-kanak perlu diberi pendedahan tentang ibadat puasa? Laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melalui artikel Irsyad Fatwa Ramadan merungkai perkara tersebut.
Para ulama bersepakat bahawa kanak-kanak yang belum baligh tidak diwajibkan berpuasa, berdasarkan hadith yang menyebut bahawa tidak terdapatnya taklif dan tanggungjawab ke atas seorang kanak-kanak sehinggalah dia baligh. Saidina Ali bin Abi Tolib meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلاَثَةٍ عَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَبْلُغَ وَعَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ وَعَنِ الْمَعْتُوهِ حَتَّى يَبْرَأَ
Maksudnya: Terdapat tiga golongan yang amalan mereka tidak dicatat: seorang kanak-kanak sehinggalah dia baligh, orang yang tidur sehinggalah dia terjaga dan seorang yang hilang akalnya sehinggalah dia kembali waras.
Sunan Abi Dawud (4402)
Namun, jika seorang kanak-kanak yang telah mumayyiz itu berpuasa, maka hukumnya adalah sah. Kata Imam al-Qalyubi:
(وَالْعَقْلُ) أَيْ التَّمْيِيزُ فَيَصِحُّ صَوْمُ الْمُمَيِّزِ
Maksudnya: (Dan salah satu syarat sah puasa itu) ialah beraqal, dalam erti kata tamyiz, iaitu mampu membezakan antara baik dan buruk; maka sah puasa seorang kanak-kanak yang sudah mumayyiz. (Rujuk Hasyiyata al-Qalyubi wa ‘Umairah 2/76)
Timbul pula persoalan, pada umur berapakah seorang kanak-kanak itu perlu diajar dan dididik untuk berpuasa? Menurut Imam Zainuddin Ahmad al-Malibari dan Syeikh Dr. Muhammad Hassan Hito, ibu bapa atau wali perlu menyuruh kanak-kanak untuk berpuasa seawall umur tujuh tahun, dan mendidiknya dengan ‘pukulan kecil’ yang tidak menyakitkan ketika dia berumur sepuluh tahun jika dia engggan. Hal ini diqiyaskan dengan hadith suruhan mendidik anak-anak untuk solat:
مُرُوا الصَّبِيَّ بِالصَّلاَةِ إِذَا بَلَغَ سَبْعَ سِنِينَ وَإِذَا بَلَغَ عَشْرَ سِنِينَ فَاضْرِبُوهُ عَلَيْهَا
Maksudnya: Ajarilah kanak-kanak untuk solat setelah dia berusia tujuh tahun, dan apabila dia berumur sepuluh tahun, pukullah dia (dengan pukulan yang tidak menyakitkan dan melukakan dengan tujuan untuk mendidik).
Sunan Abi Dawud (494) (Rujuk Fath al-Mu’in bi Syarh Qurrah al-‘Ain bi Muhimmat al-Din, hlm. 38 dan Fiqh al-Siyam hlm. 23)
Namun, ibu bapa atau wali hendaklah memastikan puasa itu tidak menyebabkan kemudaratan kepada kanak-kanak tersebut, dan menilai sejauh mana kemampuan mereka untuk meneruskan puasa.
Tuntasnya bahawa ibu bapa atau wali perlu mengajar dan menyuruh anak-anak supaya berpuasa seawal umur tujuh tahun, dan mendidik dengan pukulan yang ringan ketika dia berumur sepuluh tahun jika dia enggan. Hukum ini diqiyaskan dengan hadith mendidik anak-anak untuk solat yang dinyatakan di atas.
Wallahu a’lam.
Artikel disediakan oleh Unit Buhuth,Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan https://www.muftiwp.gov.my/ Foto: Pixabay.com
RUMAH TERBUKA Mengajar Kita Merawat Jiwa! Fahami Konsep Sebenar Penganjurannya
Apakah perasaan kita bila menerima jemputan ke majlis rumah terbuka? Jawapan yang pasti, tentunya gembira, walaupun barangkali ada yang berduka jika jemputan tidak dapat ditunaikan atas sebab bertindih jadual atau sudah ada perancangan lain. Maklum konsep, ‘puasa sebulan maka berhari raya pun mestilah sebulan… Makan sakan, kata orang sekarang. Siapa yang tak suka makan percuma?
Persoalan seterusnya, apa yang kita dapat setelah menghadiri rumah terbuka tersebut, selain kenyang dan bertambah berat badan? Adakah kemesraan yang ikhlas bertambah, atau sekadar memaparkan ‘senyum kamera’ pada tetamu yang ditemui, atau mahu menunjuk baju raya termoden, ataupun… menunjuk muka pada tuan rumah agar tidak dikatakan tak sudi pula datang ke rumahnya?
Bagi tuan rumah pula, apa yang meningkat? Adakah ikhlas memberinya meningkat atau sekadar belanja majlis, sombong dan riak yang meningkat? Walau apa pun jawapannya, paling tidak tuan rumah sudah dapat penghormatan daripada tetamu yang dijemput dan sudah mampu tersenyum kerana masih ramai tetamu yang sudi datang ke rumahnya dengan pelbagai ucapan maaf yang dilontarkan.
Jika meneliti sejarah hari raya sejak kita kenal konsep hari raya masa dulu, kita dapat melihat sudah ada kelainan besar dalam cara berhari raya. Jika dulu hari raya ialah hari kunjung-mengunjungi secara bebas, tanpa perlu ada makanan yang disediakan terlebih dahulu, tanpa menunggu jemputan khusus, tanpa ada tarikh khusus, yang pasti di setiap rumah kita tetap dapat sambutan hangat daripada tuan rumah hingga dirasakan senyuman dan maaf yang diberikan sangat ikhlas dan segar dalam ingatan ketulusan dan kewangian keakraban antara tetamu dan tuan rumah amat terasa.
Tiada istilah rumah terbuka kerana semua rumah adalah tersedia dan terbuka untuk dikunjungi oleh semua tetamu dan sanak saudara dengan satu tujuan paling kudus iaitu mencari kemaafan dan ampunan antara sesama kerabat dan sahabat. Bila masa berlalu, sekali air bah sekali pasir berubah, maka sambutan hari raya sudah ditukar kepada merayakan hari rumah terbuka. Dilaksanakan dalam bentuk yang berbeza sekali, perlu ada barisan tetamu yang dipilih, ada menu yang tersedia mengikut jumlah tetamu yang dijemput dan ada tarikh dan masa tertentu, ada atur cara tertentu, dan kadang–kadang ada hidangan yang tidak sesuai dengan semangat hari raya.
Rumah terbuka sudah jadi satu mini kenduri yang juadahnya juga macam kenduri dan juru saji tertentu mengikut status tuan rumah. Jika tinggi status, tinggi pendapatan dan tinggi kedudukan maka rumah terbukanya juga “ada klaass gitu”. Lagi banyak jenis makanan yang disajikan maka lagi tinggilah sanjungan yang diterima tuan rumah daripada tetamu, terutama sanjungan daripada tetamu kehormat (VIP dan VVIP).
Ini kerana tetamu bukan lagi jiran tetangga (40 rumah di keliling rumah) malah bukan juga jiran, tapi orang jauh, dari jabatan, kenalan perniagaan, rakan sekerja, rakan sekelab, dan rakan kongsi perniagaan dan orang yang mampu memudahkan kepentingan di masa depan dan paling sedikit sanak-saudara dan ipar-duai dan jiran terdekat dan mungkin terselit sedikit anak yatim yang dilayan ala kadar dan seadanya dengan bertalikan salaman duit raya yang kadang-kadang tidak di hulurkan dengan mesra dan kasih sayang… dengan alasan rumah terbuka dianjur untuk mereka yang ada kepentingan dalam urusan kerja sahaja.
Lalu lunturlah kasih sayang sejati, gugurlah keberkatan kerana beratnya rasa riak kerana pujian menggunung, malah huluran kemaafan bukan lagi atas dasar minta ampun dosa silam kerana Allah tapi sudah jadi sebagai gaya tetamu kepada tuan rumah, salam hujung-hujung jari bertemu, namun mata entah ke mana fokusnya. Akhirnya ada tetamu kecil yang pulang tanpa ucapan terima kasih kepada tuan rumah kerana tuan rumah sibuk melayan tetamu VIPnya. Ada pula makanan yang dipesan dengan jangkaan ramai tetamu yang datang, akhirnya membazir kerana terlalu banyak berlebih.
Adakah ini buah daripada ajaran agama atau hasil peniruan budaya open house Barat yang kita tahu sangat berbeza tujuannya dengan amalan rumah terbuka kita yang beragama Islam. Kerana sambutan hari raya kita bukan ‘upacara budaya’ tapi ‘upacara agama’ yang sangat berkait dengan ibadah ‘berpuasa’. Hari raya hari kembali kepada fitrah jiwa yang suci, serta merayakan kejayaan mengawal diri dengan sempurna di masa ibadah puasa. Makanya perayaannya seharusnya tidak bercanggah dengan matlamat menyucikan diri dari segala kekotoran minda, emosi dan hati untuk terus berjuang memburu jawatan hamba Allah dan gelaran calon syurga Allah.
Dimana dalam amalannya kita dilatih berjimat, dilatih berjuang melawan hawa nafsu yang mendorong kepada mabuk makan, dilatih jujur sejujurnya, dilatih melakukan semua aktiviti kerana Allah dan di ampun semua dosa dan di janjikan syurga. Oleh itu mari kita semak ibadah puasa kita dan amalan rumah terbuka yang kita adakan selama ini sama ada menjadi tetamu atau menjadi tuan rumah. Adakah ia digunakan untuk mendapat ampunan dari semua jiran tetangga dan sanak saudara terdekat dan jauh atau sekadar menunjuk-nunjuk kekayaan kita atau kita memburu pujian manusia lalu melupakan pujian Allah, mahu digelar pemurah oleh manusia tapi dinilai ibadah oleh Allah.
Setelah kita sedar mari kira bina ukhuwah dengan jiran tetangga, bukan hanya ‘orang ternama’. Mari kita bina muhibah dengan orang yang paling dekat dengan rumah kita dan dekat dengan hati kita, mari kita perkenalkan cara kita menyayangi Allah dalam semua atur cara dan majlis rumah terbuka tanpa ada salam terbuka yang tidak halal, muzik yang tidak dibenarkan dan atur cara yang bercanggah dengan bulan kesucian dan kesucian ibadah puasa yang baru selesai kita laksanakan, tiada riak dalam hidangan dan hiasan, hapus bangga dengan taraf tetamu yang hadir hingga ada tetamu yang terasa terabai, jangan sampai ada hidangan berbeza antara VIP dan tetamu biasa, jangan sampai kita terasa bahawa rumah terbuka kita terhebat, lalu membanding dengan rumah terbuka orang lain, dan jangan sampai kita mahu orang datang ke rumah kita kerana jawatan lalu melupakan jemputan yang datang dari orang bukan kenamaan.
Kerana kita sama–sama berhak masuk syurga dan kita sama di sisi Allah, sama-sama masuk ke dalam enam kaki bawah tanah. Jadi rendahkan hati separas rumput agar kehangatan persahabatan tidak disandarkan pada gelaran, kedudukan, lokasi rumah dan jenis menu yang tersaji tapi hidupkan rasa ikhlas agar semua usaha diterima sebagai pembersih dosa masa silam hingga kita benar-benar kembali kepada fitrah suci bersih berjumpa Allah nanti.
Salam Ukhwah,
DR. ROBIAH KULOP HAMZAH