Bukan Kerana Pihak Ketiga! Perkahwinan 13 Tahun Terlerai, Pengarah AZIZ M OSMAN Umum Bercerai

Pengarah terkenal Aziz M. Osman yang cukup terkenal mengarah filem-filem hebat seperti XX Ray, Gila-Gila Pengantin dan banyak lagi sah bercerai dengan Puteri Lily Lokman awal bulan lalu. Berita ini disampaikan oleh bekas isterinya itu yang juga seorang pelakon, menerusi Instagram miliknya pada Ahad.

Puteri Lily berkata, tujuannya membuat pendedahan kerana tidak mahu mengelakkan fitnah di masa hadapan.

“Demi mengelakkan fitnah di masa hadapan, saya dengan rasa rendah diri ingin menyampaikan berita, secara rasminya saya dan Aziz telah pun berpisah,” katanya menerusi sebuah hantaran di Instagram Story.

Bagaimanapun Puteri Lily memaklumkan, dia dan Aziz berpisah cara baik pada awal bulan lepas dan tiada kaitan dengan pihak ketiga.

Katanya lagi, hubungan mereka juga masih baik demi anak-anak, Puteri Nur Azzahra, 11 dan Putera Muhamad Aryan, 5.

“Secara rasminya saya dan Aziz telahpun berpisah dengan cara baik pada Awal bulan lepas (bukan sebab orang ketiga).

“Telah ditakdirkan jodoh kami sampai di sini tapi kami masih lagi mempunyai hubungan yang baik demi anak-anak.

“Alhamdulillah, Ara seorang anak yang sangat matang. Dapat terima keputusan ni dengan tenang. Doakan anak-anak saya kuat emosi dan mental mereka. Doakan urusan kami dipermudahkan. I’m trying my best,” luahnya.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga sejak 6 Jun 2010 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua anak.

Untuk rekod, Aziz pernah berkahwin sebanyak tiga kali dan mempunyai enam anak, dengan perkahwinan pertama bersama pelakon Nor Aliah Lee pada 1992 dan bercerai pada 2007. Perkahwinan keduanya ialah bersama Nor Radhiah Ramli.

Sumber: Astro Awani

Share
Published by
Wan Firdaus