Tanpa khabar angin dan berita, tahu-tahu saja bekas personaliti TV, Azrinaz Mazhar Hakim sudah pun bernikah. Perkara itu disahkan sendiri Azrinaz menerusi Instagramnya. Alhamdulillah, akhirnya Allah makbulkan doa hambaNya pada waktu yang terbaik. Tahniah!
Turut berkongsi foto majlis pernikahan yang berlangsung pada 1 Mei lalu, jelas terpancar sinar bahagia Azrinaz di samping suami tercinta. Namun, wajah jejaka yang berjaya menambat hati wanita cantik ini masih samar.
Kongsi Azrinaz, “Di kesempatan ini saya mengumumkan pada 1 May lalu bersamaan 15 Syaaban 1439H jatuh pada hari Nisfu Syaaban, saya telah selamat diijabkabulkan bersama sahabat yang dikenali sejak 20 tahun lalu dan hanya menjalinkan hubungan rapat setahun lepas.
Setelah mengenali hati budi, pasangan bujang bernama Fairos Khan Abdul Hamid menjadi ‘mangsa’. Beliau yang memahami rentak kehidupan dan kehendak saya berlatarbelakangkan TV penyiaran sebagai pekerjaan.
Majlis diadakan di kediaman pengantin perempuan secara tertutup dihadiri keluarga terdekat dinikahkan oleh Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jawi Wilayah Persekutuan, Ustaz Hazman Hashim berwalikan bapa saya. Dengan pernikahan ini, saya berharap semua pihak berilah ruang untuk memahami naluri saya yang juga manusia biasa mempunyai kehendak dan perasaan. Izinkan saya untuk hidup berpasangan seperti kalian semua lengkap melengkapi meniti hari tua.
Tidak pernah sesaat sekalipun saya melupakan atau akan melupakan kedua-dua anakanda saya. Malah jika diberi peluang dan kesempatan, tanggungjawab dan kasih sayang sebagai ibu sentiasa sedia dicurahkan.
Bukan material yang dicari, cukuplah seorang insan yang dapat membimbing, menemani, menyayangi, menghargai, menghormati dan menyanjungi diri ini di kala susah senang, cerdas dan sakit, sewaktu kepala masih diliputi rambut mahupun sehelai dua.
Biarlah penyatuan ini selamat selesai semuanya sebelum hebahan tiada kena mengena semata-mata. Hubungan yang terjalin ini saya memilih cara lebih ‘privacy’ begitu juga dalam melayari alam rumahtangga nanti.
Syukur ke hadrat ilahi kerana dengan IzinNya segala usaha telah dipermudahkan dalam setiap perancangan yang hanya memakan masa 2 bulan.”
Moga ikatan perkahwinan ini menjadikan pasangan mempelai hambaNya yang lebih bertakwa dan dikurniakan kebahagiaan berkekalan. Aamin.
This website uses cookies.