Tetap Berbuka & Sahur Dengan Kurma, Siap Buat Biskut Kurma Lagi!

Masuk tahun ini, sudah sembilan tahun Dr Soo Wincci berpuasa bersama-sama umat Islam di bulan Ramadan. Secara jujurnya ramai peminat yang melahirkan rasa kagum dengan semangat dan kesungguhan Miss World Malaysia 2008 ini untuk berpuasa. Sembilan tahun nyata bukan tempoh yang singkat dan kemampuan Wincci menahan lapar dan dahaga selama sebulan membuktikan sikap komitednya terhadap sesuatu perkara. Mesti dia pun merasai perbezaan apabila berpuasa sampai sanggup meneruskan amalan tersebut sehingga hampir sedekad.

Menariknya, Wincci bukan hanya berpuasa malah turut bersahur dan berbuka seperti umat Islam. Paling mencuri tumpuan ialah juadah sahur dan berbuka yang disediakan selebriti cantik ini. Selain buah-buahan, hidangan Wincci bagai tidak lengkap tanpa kurma! Dalam kalangan umat Islam sajian buah kurma memang menjadi kemestian setiap bulan Ramadan kerana khasiatnya yang tinggi serat dan menjadi amalan Nabi Muhammad SAW.

Nona percaya, pasti Wincci ada buat kajian tentang cara hidangan sahur dan berbuka masyarakat Melayu sebab itu dia turut tidak ketinggalan mengamalkannya. Kagum!

Menerusi posting Wincci baru-baru ini, beliau mengakui amalan menikmati buah kurma ketika bersahur adalah yang terbaik. Sampai sanggup buat biskut berasaskan buah kurma. Pandai Wincci bereksperimen dengan makanan!

Walau bukan beragama Islam tapi kemampuan Wincci mengikut amalan umat Islam berpuasa di bulan Ramadan wajar diberi pujian. Iyalah, bukan senang bagi mereka yang berbeza agama dan budaya mempraktikkan gaya hidup Islam. Namun kerana semangat kekitaan sebagai rakyat Malaysia, Wincci sanggup ‘meraikannya’ bersama.

Teringat lagi pengalamannya berpuasa di Sepanyol ketika melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik sekitar dua tahun lalu. Ketika ditanya peminat sama ada dirinya Muslim kerana turut berpuasa, Wincci dengan tenang membalas komen tersebut dengan menyatakan ‘Nope, I’m Malaysian’ dan memuatnaik kapsyen ‘Saya anak Malaysia tanpa kira kaum, bangsa dan agama.’ Difahamkan, sepanjang berada di sana Wincci perlu menjalani tempoh puasa yang panjang iaitu selama 16 jam.

Bergelar model, pelakon dan penyanyi, Wincci dilaporkan mula berpuasa sejak tahun 2012. Bukan sekadar berpuasa di bulan Ramadan, dia juga tidak ketinggalan melaksanakan Puasa Enam!

Yang pasti, insan bernama Dr Soo Wincci ini tidak pernah lelah menyuntik inspirasi kepada masyarakat. Selain memiliki peribadi yang baik, dia juga wanita yang pintar dan berjiwa besar. Julai tahun lalu, namanya terpahat dalam Malaysia Book of Records (MBOR) selepas berjaya mencipta dua rekod iaitu sebagai Ratu Cantik Yang Memiliki Ijazah Akademik Terbanyak dan Artis Rakaman Yang Memiliki Ijazah Akademik Terbanyak.

Dalam tempoh 15 tahun, Wincci menggenggam Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (2007), Sarjana Pengurusan Perniagaan (2008), Doktor Falsafah (PhD) dalam Perniagaan (2016), Sarjana Muzik (2018) dan Ijazah Pasca Sarjana Fellowship dari Berklee Valencia, Sepanyol. Bukan calang-calang! Dengan kejayaan seumpama ini, pada pandangan penulis Wincci sudah layak diangkat sebagai ikon.

Share
Published by
Suzi