Sebelum menyambut hari lebaran, pastinya kita terlebih dahulu melalui bulan Ramadan yang penuh barakah. Ketika sibuk membuat persiapan untuk menyambut hari raya, pernahkah anda terfikir mengenai fesyen yang sesuai untuk digayakan di bulan puasa? Dalam menyambut bulan Ramadan, ada beberapa perkara perlu dititikberatkan agar penampilan kelihatan lebih selesa dan bergaya.
Hal ini penting kerana ia sangat mempengaruhi keselesaan anda saat melakukan aktiviti harian selama menjalani ibadah puasa. Mungkin ia kedengaran remeh namun penggayaan yang tepat dan sempurna di bulan Ramadan mampu memberikan impak yang cukup positif. Istimewa edisi Nona kali ini berkongsikan tip memilih fesyen di bulan Ramadan.
- PAKAIAN MENYERAP PELUH
Elakkan memilih pakaian yang terlalu tebal untuk digayakan di bulan puasa. Pakaian yang diperbuat daripada fabrik tebal hanya membuatkan anda cepat berpeluh. Sebaiknya, pilih pakaian dengan fabrik yang mampu menyerap peluh yang baik buat tubuh anda. Selain berasa lebih nyaman, ia memberikan keselesaan saat anda melakukan rutin harian. Bagi mereka yang memakai hijab, pilihan tudung amat penting. Pilih material tudung yang lebih nipis namun jangan terlalu jarang sehingga menampakkan leher dan rambut anda. Fabrik terbaik yang boleh dijadikan pilihan ialah cotton, sifon dan satin silk yang bersifat sejuk apabila disarungkan.
- SILUET LEBAR
Untuk memberi keselesaan optimum buat penampilan anda, pilih pakaian dengan siluet yang lebih lebar. Selain memudahkan pergerakan, ia juga mampu mengalirkan pengudaraan buat tubuh anda agar berasa lebih nyaman dan selesa. Elak dari memakai pakaian yang terlalu ketat hingga menyukarkan anda untuk bergerak bebas. Sekiranya anda gemar memakai celana yang ketat, anda boleh memadankan ia dengan top yang lebih longgar. Jangan memilih top yang sama ketat dengan celana yang dipilih khuatir akan menyebabkan anda kurang selesa sepanjang hari tambahan pula anda sedang berpuasa dan membuatkan anda cepat berasa penat.
- AKSESORI SEWAJARNYA
Pemilihan aksesori harus disesuaikan dengan rona dan gaya yang telah dipilih. Jika anda gemar memakai subang, padankan ia dengan gelang yang berona lembut dengan jumlah yang tidak berlebihan. Subang yang dikenakan harus disesuaikan dengan busana terlebih dahulu. Jangan memilih reka bentuk subang yang terlalu besar. Cukup bersaiz sederhana dan sesuai dengan anda. Jika anda tidak suka memakai gelang, anda boleh memilih rantai sebagai pilihan. Namun harus diingatkan pilihan rantai janganlah terlalu besar hingga menenggelamkan penampilan anda. Selaian itu, rekaan aksesori yang dipilih juga harus relevan untuk digayakan di abad ini agar anda tidak dilabel sebagai wanita ketinggalan zaman.
- HIJAB YANG LEBIH RINGKAS
Pada bulan Ramadhan, anda disarankan untuk memakai hijab yang lebih ringkas dan minimalis. Mungkin anda mempunyai masa yang terhad di bulan puasa dengan aktiviti-aktiviti harian. Pilihan hijab terbaik yang boleh dijadikan pilihan ialah hijab jenis instant yang amat mudah untuk dipakai. Kini, terdapat pelbagai jenama tudung instant yang boleh didapati di pasaran. Hanya perlu menyarungnya tanpa perlu menggunakan pin atau mengambil masa yang lama untuk bersiap. Cara ini lebih praktikal untuk dilakukan di bulan puasa selain menghasilkan penampilan yang lebih cepat, menarik dan cukup bergaya.
- SEPATU FLAT
Sepatu memainkan peranan yang cukup penting dalam memastikan penampilan anda sentiasa tampak sempurna. Pemilihan sepatu yang fleksibel sangat praktikal digayakn ketika bulan puasa agar langkah anda lebih nyaman dan selesa. Tambahan pula, kasut flat ini mempunyai pelbagai rekaan menarik dan cukup mudah untuk disesuaikan dengan tema pakaian. Pemilihan sepatu jenis flat seperti ala ballerina dan gaya Oxford boleh dijadikan pilihan untuk memberikan penampilan stailo dan trendy.
Apapun tema gaya yang ingin anda serlahkan, pastikan sepatu flat ini paling sesuai untuk ‘event’ ataupun majlis yang ingin anda hadiri di bulan Ramadan. Sepatu flat juga boleh menjadi penunjang gaya yang supertrendy buat anda yang bertubuh tinggi lampai. Anda pasti berasa lebih selesa dengan pemakaian sepatu flat ini tanpa perlu menyakitkan dan menyeksakan kaki!
- SOLEKAN NATURAL
Penggunaan mekap juga harus dititikberatkan agar penampilan anda tidak keterlaluan. Dengan solekan yang tepat dan betul, ia akan membantu anda untuk kelihatan segar saat malakukan tugas seharian meskipun sedang berpuasa. Sebagai contoh, anda boleh menggunakan penggaris mata atau eyeliner untuk mendapatkan kesan solekan mata yang lebih hidup. Seterusnya, anda boleh memilih bedak yang sering anda gunakan. Namun ia harus berpada dan tidak terlalu tebal.
- OUTWEAR UNTUK TAMPIL SANTAI
Saat anda ingin pergi acara yang lebih santai dengan dandanan yang ringkas, anda boleh memilih untuk menyarungkan outwear. Jika anda memakai inner yang sedikit ketat, padankan ia dengan outwear yang sesuai dengan tempat yang ingin dituju. Sekiranya anda ingin ke acara buka puasa bersama, pilihan terbaik ialah dengan memilih kardigan dan jaket labuh untuk menimbulkan kesan santai dan ringkas. Jika anda ingin kelihatan rapid an sedikit formal, anda boleh memakai long fest atau blazer.