Wanita tercantik di dunia tidak semestinya pilihan lelaki terkaya di dunia. Majoriti daripada jutawan-jutawan ini sebenarnya mengahwini pasangan yang ‘sederhana’ di mata tapi bijaksana dan mampu menyempurnakan segala kekurangan mereka.
Seorang lelaki yang jujur tidak memandang kecantikan dan seorang wanita yang ikhlas tidak memandang kemewahan.
(1) Mark Zuckerberg dan Priscilla Chan
Nilai kekayaan: US$75.6bil
Mereka bertemu di Harvard dan berkahwin pada 19 Mei 2012 dalam sebuah majlis kecil-kecilan. Priscilla merupakan seorang wanita hebat yang sentiasa menyokong kerjaya Mark Zuckerberg dan mempercayai segala usaha suaminya.
(2) Warren Buffett dan Astrid Menks
Nilai kekayaan: US$73.5bil
Pasangan ini bertemu pada tahun 1970-an ketika Astrid bekerja sebagai seorang pelayan restoran. Walaupun usia Buffett lebih tua 16 tahun, namun wanita ini cukup matang dan mampu membahagiakan suaminya hingga ke saat ini.
(3) Bill dan Melinda Gates
Ads
Nilai kekayaan: US$107.1bil
Melinda hanyalah seorang kakitangan Microsoft ketika Bill menemuinya di sebuah seminar pada tahun 1980-an. Mereka berumah tangga pada tahun 1994 dan kini mempunyai tiga orang cahaya mata.
(4) Richard dan Joan Branson
Nilai kekayaan: US$4.4bil
Richard menemui Joan di sebuah kedai antik, yang ketika itu masih berkahwin dengan orang lain. Namun setahun kemudian, Joan berpisah dan akhirnya berkahwin dengan Pengasas Virgin Group ini. Kini mereka mempunyai dua orang anak.
Ads
(5) Amancio Ortega dan Flora Perez Marcote
Nilai kekayaan: US$60.6bil
Lelaki yang memiliki empayar fesyen Zara, Massimo Dutti, Pull & Bear, Bershka dan banyak lagi ini mengahwini setiausahanya sendiri. Pasangan itu berkahwin pada tahun 2001.
(6) Stefan dan Carolyn Persson
Ads
Nilai kekayaan: US$15.8bil
Pengerusi kumpulan H&M ini bukanlah seorang lelaki yang gemarkan kehidupan high society. Pasangan ini mempunyai tiga anak dan mereka jarang menonjolkan diri di majlis-majlis glamor.
(7) Bernard Arnault dan Helene Mercier
Nilai kekayaan: US$94.3bil
Pemilik rumah fesyen antarabangsa LVMH – Dior, Givenchy, Maurice Lacroix, Kenzo, Guerlain, Sephora dan banyak lagi ini bertemu isterinya yang sama-sama meminati muzik. Bernard menyukai muzik klasik sementara Helene adalah pemain piano profesional. Mereka berkahwin pada tahun 1991 dan mempunyai lima orang anak – dua daripada perkahwinan pertama dan tiga hasil perkongsian hidupnya dengan Helene.
(8) Michael Bloomberg dan Diana Taylor
Nilai kekayaan: US$57.5bil
Michael Bloomberg adalah seorang ahli politik, usahawan dan bekas datuk bandar New York. Selepas perceraian dengan isteri pertama, beliau mengenali Diana pada tahun 2000 dan masih kekal sebagai pasangan hingga sekarang.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Keputusan meninggalkan kerjaya sebagai Akauntan kira-kira 10 tahun lalu merupakan satu tindakan berani yang dilakukan Azlin Mohd Said. Meskipun pada awalnya ibu kepada dua cahaya mata ini ‘berat’ melepaskan karier impian tersebut namun bersandarkan keyakinan yang tinggi terhadap rezeki Allah SWT yang luas, beliau nekad berhenti kerja demi membina legasi dalam bidang perancangan kewangan dinamakan AMS Empire.
Azlin atau mesra disapa Coach Azlin yang berasal dari Bota Kanan, Perak ialah anak kepada bekas pendidik. Kedua-dua ibu bapanya pernah berkhidmat sebagai guru. Begitu juga dua daripada enam adik-beradiknya yang turut mengikut jejak langkah ibu bapa mereka sebagai pendidik. Sementara dua beradik lain dalam bidang kewangan dan seorang lagi Penolong Pegawai Belia dan Sukan Negeri Perak.
PEMBABITAN AZLIN MOHD SAID
“Selepas tamat pengajian Ijazah Perakaunan di Universiti Malaya (UM), saya timba pengalaman kerja di firma audit dan syarikat pembinaan. Pekerjaan terakhir saya ialah Akauntan di salah sebuah badan berkanun di Malaysia selama 10 tahun.
Latar belakang keluarga saya tak ada seorang pun yang buat bisnes dan saya tak pernah ada cita-cita untuk jadi usahawan. Tapi bila fikirkan kesihatan mental saya dan ada keluarga serta anak-anak yang perlu saya jaga, saya terpaksa lepaskan kerjaya Akauntan yang berdepan dengan banyak cabaran.
Untuk melangkah keluar daripada pekerjaan yang stabil memang kena ada kewangan yang kukuh. Saya tak terus berhenti kerja sebaliknya ambil cuti separuh gaji untuk menjaga ibu dan membawanya mendapatkan rawatan susulan setiap bulan waktu itu.
Sehinggalah pada satu hari, konsultan yang bantu pelaburan saya ajak berjumpa dan beri cadangan supaya saya ambil lesen Perunding Unit Amanah. Mulanya ia sekadar untuk memudahkan saya urus pelaburan sendiri. Tapi bila lulus exam dan lihat bagaimana mereka mengalu-alukan penyertaan saya, rasa seperti dunia baru.
Kata-kata penghargaan dari mereka mungkin nampak kecil di mata orang lain tapi besar maknanya bagi saya. Benda yang saya tak pernah dapat daripada pekerjaan dulu. Mulai saat itu, saya tak menoleh ke belakang dan tekad mendalami ilmu perancangan kewangan di samping berkongsi ilmu dengan orang lain,” ujar Pengasas AMS Empire ini yang melibatkan diri secara serius dalam bidang kewangan sejak Ogos 2014.
AMS EMPIRE
Awal penubuhan AMS Empire kurang daripada 10 orang ahli Perunding Unit Amanah dan sekarang berkembang kepada 38 Perunding Unit Amanah bertauliah dengan nilai pengurusan pelaburan mencecah sehingga sembilan angka. Mengulas lanjut mengenai perniagaan ini, Coach Azlin Mohd Said menjelaskan misi penubuhan AMS Empire.
“Singkatan AMS ini bermula sejak dari sekolah lagi sebab ada dua orang nama Azlin. Jadi kawan-kawan panggil saya AMS iaitu Azlin Mohd Said. Walau baru saja masuk dalam bisnes, saya dah ada misi untuk bina empayar dan terus letak nama AMS Empire.
Salah seorang kawan yang juga klien pernah persoalkan sejauh mana besarnya bisnes saya ini sampai mahu digelar ‘Empire’. Kata-kata itu jadi cabaran buat saya!
Nama AMS Empire itu diterjemah kepada maksud A iaitu ‘Achievers’, M bermakna ‘Millionaire’ dan S sebagai ‘Success’ yang melambangkan Perunding Unit Amanah AMS Empire yang komited dan kompeten,” dedah Coach Azlin yang turut memiliki lesen Islamic Financial Planner.
Berbekalkan usaha gigih dan iltizam untuk membawa AMS Empire ke tahap global, usahawan berusia 49 tahun ini sentiasa mempersiapkan diri menghadapi cabaran ekonomi semasa dengan mempelajari ilmu dan selok-belok dunia perancangan kewangan.
Tambahnya, selaku pemilik perniagaan beliau perlu kreatif dan menunjukkan prestasi terbaik berbanding pesaing industri kewangan yang lain supaya dapat meningkatkan kredibiliti dan kepercayaan klien menggunakan perkhidmatan konsultan AMS Empire.
“Saya upgrade diri saya dengan mengambil certificate sebagai Professional Coach daripada Badan Nasional Sertifikasi Profesi (BNSP) dari Indonesia. Pentauliahan ini merupakan satu level untuk saya bukan saja mengembangkan profesion sebagai perunding kewangan di Malaysia. Malah di luar negara.
Saya juga aktif menghadiri sesi bimbingan daripada coach-coach di Jakarta secara online kerana mahu AMS Empire ada jaringan komunikasi dan sosial lebih meluas yang tidak hanya tertumpu di Malaysia saja.”
PELABURAN SEMBILAN ANGKA
Menjadikan ‘Millionaire Coach’ Dr Niki Shuhada Shukor yang juga salah seorang Mentor beliau sebagai sumber inspirasi usahawan berjaya, penulis buku Jom B.O.S (Bijak Organise Savings) ini mampu tersenyum bangga apabila berjaya memimpin 38 orang Perunding AMS Empire meraih jumlah pelaburan lebih RM100,000,000 dalam tempoh sedekad.
“Cabaran menguruskan klien, team dan staf bukanlah satu perkara mudah. Ada masa kami di atas, ada masa pula di bawah. Saya ialah seorang ketua yang akan selalu tracking figures dan membimbing Perunding AMS Empire supaya jelas dan fokus tujuan mereka mengambil lesen. You don’t know your numbers; you don’t know your business.
Misalnya dua tahun lepas, saya tracking jumlah pelaburan klien yang kami uruskan adalah sebanyak RM80 juta. Setiap bulan kami akan pantau dan bulan Jun lalu sewaktu saya mengerjakan haji dan berdoa di Arafah, saya terima mesej daripada pengurus menyatakan jumlah pelaburan AMS Empire tahun ini melebihi RM100 juta,” ungkapnya sambil mengukir senyuman.
Bagaimana pun Coach Azlin tidak menafikan hakikat bahawa beliau turut diuji dengan dugaan yang menggugat keyakinan diri dan mahu mengalah. Terutama sekali apabila berdepan dengan individu yang cuba menjatuhkan reputasi dan empayar yang dibina. Namun memikirkan tanggungjawab yang digalas selaku ketua, beliau bangkit berjuang.
“Bagi saya bila dah stable macam ini, saya boleh saja stop dan tak perlu kerja keras lagi. Tapi bila fikir tanggungjawab kepada team dan klien, saya tak boleh pentingkan diri. Sepanjang 10 tahun dapat urus pelaburan RM100 juta membuatkan saya emosi kerana bukan mudah untuk sampai ke tahap ini. Ia juga menjadi pencapaian terbesar saya.”
IMPIAN AZLIN MOHD SAID
Bercerita mengenai masa depan legasi perniagaan ini, ada impian besar yang sedang dirancang Coach Azlin.
“Melalui bisnes ini saya harap dapat beri pendedahan tentang pengurusan kewangan kepada lebih ramai masyarakat. Kami sebagai subject matter expert sangat berbesar hati berkongsi ilmu dan pengalaman. Misi saya secara sukarela memberi taklimat dan seminar kepada universiti sebab kebanyakan pelajar kurang pendedahan dan pengetahuan mengurus kewangan.
Saya juga ambil inisiatif mendekati para siswazah untuk menerangkan mengenai ilmu kewangan dengan menghubungi Dekan di universiti-universiti kerana ia adalah salah satu tanggungjawab sosial korporat AMS Empire.
Kalau tidak, generasi muda akan lalui masalah kewangan yang sangat mencabar kelak. Begitu juga kaum wanita khususnya golongan suri rumah. Mereka perlu tahu ilmu menguruskan wang. Lebih-lebih lagi apabila hilang tempat bergantung atau kehilangan suami.”
Jelasnya lagi, beliau mahu menjadikan empayar miliknya sebagai platform menyampaikan ilmu dan tidak berpaksikan kepada keuntungan semata-mata.
“Menyebarkan ilmu perancangan kewangan ini satu fardhu kifayah. Cuma bidang ini tak popular macam bidang lain. InshaAllah, dalam masa lima tahun akan datang, AMS Empire mampu melahirkan future leader yang boleh bawa legasi ini dan menguruskan pelaburan nilai amanah sehingga RM200 juta,” telus Coach Azlin yang menerima anugerah ‘Women in Business-Financial’ daripada Business Professional Woman (BPW) Malaysia.
Sebelum mengakhiri perbualan, Coach Azlin menzahirkan rasa syukur atas doa dan sokongan daripada ibu iaitu Hajah Paizah Haji Anuar, suami beliau Anuar Hasbul’lah Aboo Hashim serta dua anak tersayang, Aiman Hazim dan Adeeb Hafiz sepanjang melalui perjalanan sebagai seorang wanita, pemimpin dan ‘Financial Coach’.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kemunculan penuh bertenaga Ayu Damit dalam program hiburan popular, Gegar Vaganza semalam berjaya menarik tumpuan umum. Vokal mantap dan persembahan bersahaja yang ditonjolkan Ayu nyata membuktikan kredibilitinya sebagai penyanyi yang sudah 12 tahun bertapak dalam industri. Meskipun populariti Ayu tidak begitu bersinar namun ‘comeback’ yang selebriti ini malam tadi meraih sejumlah besar peminat seni tanah air. Tahniah!
Tidak sekadar bergantung harap dengan kerjaya seni, dalam diam Ayu juga sebenarnya usahawan tani berjaya. Selain sibuk menjalani rutin harian sebagai isteri, ibu tiga anak dan penyanyi, Juara One In A Million ini turut menguruskan perusahaan pertanian di samping suami tercinta. Bermula dengan tanaman secara kecil-kecilan, kini Ayu dan suami mampu meluaskan tanaman di ladang seluas 4 ekar!
Terbuka berkongsi perniagaan pertanian ini bersama Nona tidak lama dulu, Ayu dalam nada merendah diri mengharapkan kisah kejayaan dia dan suami dijadikan pembakar semangat buat kaum wanita yang berhasrat mendalami bidang ini kelak.
“Alhamdulillah, Ayu dan suami mengusahakan cili padi sistem fetigrasi selama tiga tahun. Tapi sebenarnya, kami sudah terlibat dalam bidang pertanian hampir enam tahun. Pada mulanya, kami mengusahakan penanaman kelapa mataq dan nanas.
Pun begitu, buat masa sekarang kami lebih fokus kepada penanaman cili padi. Tanaman kelapa masih ada cuma nanas je dah tak ada. Sebab utama pilih cili padi adalah kerana pasaran yang agak tinggi selain Malaysia kekurangan pengeluar cili dan kebanyakan pembekal cili berasal dari negara lain. Sebenarnya suami yang menggalakkan Ayu ceburi bidang ini sebab dia sangat berminat dengan pertanian. Memang dia di kampung pun dia suka bercucuk tanam.”
Terang isteri Syed Fauzi Syed Baharuddin ini lagi, “Setakat ini kami menyewa tanah Orang Asli yang terletak di Pangsoon, Hulu Langat seluas 4 ekar dan di ladang tersebutlah kami usahakan tiga jenis tanaman iaitu cili padi, timun dan terung. Namun sekarang alhamdulillah kami dapat menambah satu lagi tanaman iaitu kacang panjang. Selain tanaman sayur-sayuran berkenaan, Ayu turut mengeluarkan produk keluarannya sendiri seperti cili padi jeruk, cookies dan satay.
Soal pengurusan tanaman dan bisnes pertanian ini dikendalikan sepenuhnya oleh suami. Tugas Ayu lebih kepada membantu dari segi promosi dan penjualan saja. InshaAllah, dalam masa lima tahun akan datang Ayu ingin meluaskan ladang yang ada sekarang ini untuk dieksport ke luar negara. Selain masih aktif bernyanyi, Ayu dan suami juga buat consultant untuk petani-petani baru.”
Pada 12 Julai lalu yang juga hari ulang tahun kelahiran Ayu, wanita berjiwa besar ini turut berjaya membuka satu lagi perniagaan baru iaitu Restoran Ayu Damit X Tok Mak Citarasa Antarabangsa yang terletak di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur.
Sebagai ibu bekerjaya, bukan mudah bagi Ayu untuk membahagikan masa di antara keluarga, perniagaan dan karier seni. Pun begitu, baik Ayu mahupun suami kedua-duanya memilih untuk tidak lagi menggunakan khidmat pembantu rumah selepas berdepan dengan pelbagai dugaan.
“Dulu Ayu memang menggunakan khidmat pembantu rumah tapi banyak kali lalui macam-macam ragam pembantu ni. Jadi, buat masa sekarang Ayu dan suami yang menjaga anak-anak. Kalau Ayu ada kerja, suami yang akan jaga dan begitu juga sebaliknya.”
11 tahun melayari bahtera perkahwinan, pasangan ini dikurniakan tiga orang anak iaitu Syed Nasrul Haikal (10 tahun), Sharifah Alya Adriana (8 tahun) dan Syed Aqif Najmi yang kini berumur 4 tahun.
Kredit: Instagram Ayu Damit
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kagum melihat gaya hidup puteri diraja Thailand, Puteri Sirivannavari Nariratana Rajakanya. Biarpun berstatus puteri diraja namun personaliti beliau yang cantik, merendah diri dan berbakat membuatkan dirinya disenangi ramai. Apatah lagi Puteri Sirivannavari sering mencerminkan teladan dan inspirasi terbaik dalam kalangan wanita Thailand apabila meraih pelbagai kejayaan membanggakan.
Meniti usia 33 tahun pada 8 Januari lalu, tidak keterlaluan jika penulis menyatakan bahawa Puteri Sirivannavari seorang yang bergaya sederhana dalam penampilan. Ini dibuktikan apabila kebanyakan foto-foto beliau memperlihatkan sisi santai apabila gambarnya dirakam ketika mengenakan persalinan ringkas seperti T-shirt dan berwajah polos tanpa solekan.
Malah, rata-rata rakyat Thailand yang melihat gambar Puteri Sirivannavari mengagumi wajah anggun semula jadi anakanda Raja Maha Vajiralongkorn tersebut.
Berkongsi aktiviti pada April lalu ketika Thailand turut dilanda pandemik Covid-19, Puteri Sirivannavari tanpa berselindung mempamer kehidupan peribadi kepada khalayak. Selain menunjukkan bakat memasak dan berkongsi resipi hidangan Thailand di media sosial, beliau turut berkongsi persekitaran kebun sayur di kediamannya. Memang besar, luas dan subur kebun sayur puteri ini. Macam-macam tanaman sayur dan herba ada pula tu!
Seronok tengok beliau petik hasil tanaman antaranya tomato ceri, daun pandan, kacang bendi, cili, terung, rosemary, daun selasih dan sebagainya.
Di samping persekitaran kebun sayur yang tersusun cantik dan menarik perhatian, penampilan Puteri Sirivannavari tanpa mekap, memakai T-Shirt, berseluar jeans dan hanya berselipar pastinya menjadi tumpuan utama rakyat. Ramai dalam kalangan mereka mengagumi cara Puteri Sirivannavari dan menyifatkan ia sisi berbeza puteri diraja Thailand
tersebut kerana sebelum ini beliau sering dilihat bergaya mewah dan anggun di majlis-majlis rasmi.
Enggan hanya menikmati gaya hidup selesa dan mewah di istana, puteri kesayangan Negara Gajah Putih berkenaan lebih selesa mendekati rakyat dan menjalani kehidupan seperti insan normal lain yang bebas bersukan, berkarya dan berbakti kepada negara. Menelusuri latar belakang puteri bertubuh tinggi lampai ini, beliau merupakan puteri hasil perkahwinan Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn dengan isteri keduanya iaitu Sujarinee Vivacharawongse yang juga bekas aktres Thailand.
Raja Maha Vajiralongkorn berkahwin dengan Sujarinee pada Februari 1994 dan mendapat restu Raja Thailand ketika itu, Raja Rama IX. Namun, terdapat desas-desus yang mengatakan perkahwinan tersebut tidak direstui bonda Raja Maha Vajiralongkorn iaitu Permaisuri Sirikit.
Bagaimana pun jodoh di antara Raja Maha Vajiralongkorn dan bekas anak seni berkenaan tidak berpanjangan yang akhirnya membawa kepada penceraian kerana Sujarinee dituduh curang. Ia sekaligus menyebabkan Sujarinee dilucutkan status diraja.
Pun begitu, Puteri Sirivannavari kekal berstatus puteri dan ternyata beliau disayangi ayahandanya yang kini menaiki takhta pemerintahan Thailand. Anak perempuan Sujarinee ini tidak hanya menjadi buruan media tempatan dan antarabangsa bahkan beliau turut disayangi rakyat jelata yang ‘dahagakan’ perkembangan semasa beliau. Percaya atau tidak, Puteri Sirivannavari aktif menceburi bidang sukan dan pernah memenangi pingat emas kategori badminton pada Sukan SEA 2005!
Bukan hanya sukan badminton, beliau juga mewakili Thailand dalam sukan berkuda dan meraih pingat dalam Sukan SEA ke-29 pada tahun 2017 yang lalu. Selain kemampuan bersukan, beliau turut memiliki bakat melukis dan merupakan aktivis hidupan laut serta pemilik label fesyen Sirivannavari.
Pada pertengahan April lalu, Puteri Sirivannavari melancarkan produk hand sanitizer dan mask jenamanya sendiri untuk diagihkan kepada hospital kerajaan terlibat dalam usaha memerangi wabak Covid-19. Melihat kredibiliti, bakat dan pesona Puteri Sirivannavari… terbukti beliau sememangnya seorang puteri berjiwa rakyat, penyayang dan sumber inspirasi wanita Thailand!