
Pelakon cantik Filipina ini memang terkenal dengan keluhuran budi serta sering melakukan kerja-kerja amal di negaranya. Marian Rivera, sebelum ini sering turun padang mengembirakan kanak-kanak sumbing menerusi Smile Train Philippines Foundation.
Sempena sambutan Hari Ibu tahun lalu, selebriti yang berusia 35 tahun ini telah menghasilkan coklat dan hasil jualannya disalurkan kepada yang memerlukan. Salah satunya adalah dengan menyumbang kepada kanak-kanak yang dilahirkan sumbing.
Terbaharu, isteri kepada aktor kacak Dingdong Dantes ini telah menzahirkan penghargaan kepada para petugas hadapan yang bertungkus-lumus memutuskan rantaian pandemik COVID-19. Marian bersama suaminya telah mengambil inisiatif menyediakan makanan untuk mereka yang bertugas di Hospital Besar Quezon City, Filipina.

Ibu kepada dua orang anak yang comel ini masak sendiri resipi istimewa warisan keluarganya untuk 200 orang para petugas barisan hadapan di hospital tersebut. Suaminya turut membantu membungkus makanan istimewa tersebut seperti dalam video yang dikongsinya di laman Instagram.
“Makanan pada malam ini adalah signature dish keluarga saya yang dikenali sebagai Menudo. Resipi ini telah diturunkan kepada saya melalui ibu. Terima kasih frontliners yang banyak berkorban untuk kami semua. Stay safe everyone!” coret pelakon yang mempunyai darah kacukan Sepanyol-Filipina ini.

Marian yang pernah berlakon dalam drama MariMar ini kelihatan turut menulis sendiri nota penghargaan kepada para frontliners yang diletakkan di atas bungkusan makanan sebelum diagihkan.
Selain itu, wanita yang sering melemparkan senyuman manis ini turut mengendalikan perniagaan membekalkan bunga-bunga segar yang dikenali sebagai Flora Vida by Marian.
Foto: Instagram @marianrivera
“Semoga Tristan Jadi Pelindung Keluarga Bila Dewasa” Anak Sulung Genap 12 Tahun, SERINA REDZUAWAN Titip Ucapan Bermakna

Pada 13 September 2022 genaplah usia cucu sulung kepada chef selebriti terkenal, Datuk Chef Wan yang ke-12 tahun. Tristan Tarreef merupakan anak kepada Serina dengan bekas suaminya yang pertama. Serina turut mempunyai seorang anak perempuan iaitu Isabella Saffiya, 11 tahun. Selain bergelar pelakon dan hos, selaku Pengarah Urusan, Serina juga kini ligat menguruskan rangkaian perniagaannya iaitu Serina Food Empire.
Sambutan ulang tahun kelahiran yang diadakan secara privasi dan santai itu diadakan di salah sebuah hotel mewah sekitar Kuala Lumpur dihadiri beberapa ahli keluarga serta kenalan rapat. Turut kelihatan abang kepada Serina iaitu Chef Riz bersama isterinya yang dikenali sebagai Nurul.
Selain meluahkan rasa syukur kerana mereka sekeluarga dapat berkumpul untuk meraikan ulang tahun kelahiran anak sulungnya itu, Serina turut menitipkan ucapan di Instagram yang cukup menyentuh jiwa seorang ibu.
“Syukur Alhamdulillah Anakku Tristan Tarreef dipanjangkan umur hari ni genap 12 Tahun anak bujangku, Thank you Papa @_chefwan58 belanja lunch also belikan Hadiah for Tristan dan Bella juga. You are the best Atok!!
“Ibu doakan selalu Tristan Tareef jadi anak yang soleh, pelindung keluarga bila dewasa aminn.. always jadi anak yang menghormati orang tua, Ibu bangga lahirkan Abang di dunia ni, anak ibu ni anak yang baik taat, tak pernah berkasar dan lawan cakap Ibu.
“Bila Ibu sedih abang peluk ibu dia faham ibu diduga dengan pelbagai ujian. Alhamdulillah tetap tabah dan redha akhirnya selepas hujan ribut Allah kurniakan Pelangi.”
Tidak ketinggalan, Serian turut berterima kasih kepada suami, Meor Mohammad Aidid, kerana menerima anak-anaknya dengan ikhlas.
“Terima Kasih Ayah Aidid terima anak-anak kita dengan Ikhlas hati. Moga Allah SWT beri ganjaran dan pahala di akhirat. Love My family so much!!”
Menurut Serina, anak lelakinya itu seorang yang sopan, pemalu dan sangat manja dengannya. Memang tidak boleh berenggang.
“Nampak kan Tristan ni orangnya jenis sopan malu-malu gitu..tapi manja sangat..kalau tidur mesti nak berkepit bawak ketiak Ibu dia.
“You will always be my baby Tristan Tareef, walaupun abang dah jadi anak bujang. Sekejap je masa berjalan, rindunya zaman masa dia baby.”
Datuk Chef Wan atau nama sebenarnya Datuk Redzuawan Ismail turut menitipkan ucapan ringkas di Instagram buat cucu kesayangannya itu sebelum beliau ‘terbang’ ke luar negara.
Pelakon Salina Saibi turut menitipkan ucapan di ruangan komen Instagram Serina yang mendoakan agar Tristan dapat menjaga ibunya dengan baik.
“Happiest Birthday hero Mana, jaga Mama tau. Syukur, Alhamdulillah..Semoga dipanjangkan dan diberkati umur mu, Sentiasa dimurahkan rezeki dan diberi kesihatan yang baik. Hidup aman, bahagia dengan keluarga tersayang. Sentiasa dalam rahmat dan lindungan Allah SWT.. Dipermudahkan segala urusan dunia dan akhirat…Aamin Allahuma Aamin…”
Kredit Foto: Instagarm Serina Datuk Redzuawan
“Dulu Saya Nak Jadi Polis Tapi Tak Kesampaian,” LATIF ROMLY Dedah Cita-Cita Kalau Tak Jadi Atlet

Laungan ‘Terbang Latif, Terbang’ umpama suntikan semangat buat atlet para ini setiap kali menyertai kejohanan dunia. Mula mencipta nama sejak memenangi pingat emas di Sukan Paralimpik Rio 2016, Abdul Latif Romly sekali lagi mengharumkan nama negara selepas berjaya mengulangi kejayaan sama di pentas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 lalu dalam acara Lompat Jauh T20 (masalah pembelajaran).
Kejayaan Latif dalam arena sukan bukan hanya menceriakan seluruh rakyat Malaysia bahkan turut menarik perhatian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Memiliki ketinggian 1.77 meter, Latif yang tiba tepat di studio penggambaran berseluar jeans biru dan T-shirt hitam serta beg silang Gucci mesra menyambut salam penulis. Nona sebelum ini pernah mengadakan sesi fotografi bersama Latif pada tahun 2016 selepas berjaya merangkul emas di Sukan Paralimpik Rio. Kini setelah empat tahun berlalu, Latif tidak hanya kelihatan berbeza dari segi penampilan. Malah semakin matang dalam berbicara.
Tatkala ditanya bagaimana dia boleh menceburkan diri dalam bidang sukan, Latif sambil tertawa membuka rahsia. “Saya mula serius ceburi sukan lompat jauh ini ketika di Tingkatan 3, umur 15 tahun. Banyak sukan yang saya masuk sebelum ini dan saya pilih lompat jauh atas saranan cikgu. Mungkin cikgu nampak fizikal saya yang tinggi, sesuai dengan kategori sukan ini. Jadi, cikgulah yang nampak bakat saya di situ.
Ikutkan dulu semua sukan saya main. Bola sepak, bola baling, bola tampar dan untuk olahraga pula saya pernah turut serta larian 100 meter, lompat kijang dan lompat tinggi. Lepas jurulatih nampak potensi saya, mereka bawa pergi buat ujian kecergasan sama ada layak masuk Majlis Sukan Negara (MSN) atau tidak.
Alhamdulillah saya diterima masuk MSN pada bulan Julai 2014. Dua tahun lepas tu, nama saya tersenarai sebagai atlet untuk Sukan Paralimpik Rio,” katanya yang menjadikan jaguh lompat jauh dunia, Aleksandr Menkov dan Datuk Wira Lee Chong Wei sebagai sumber inspirasi.
CABARAN COVID-19
Tambahnya lagi, sepanjang bergelar atlet dia turut berdepan pelbagai cabaran. Salah satu daripadanya ialah soal disiplin. “Ya, cabaran paling susah untuk menjaga disiplin. Pada awalnya memang susah hendak sesuaikan diri terutamanya apabila melibatkan waktu tidur, makan, senaman dan latihan intensiti tinggi. Saya akui nak jaga disiplin dalam semua ini bukan mudah. Selain sokongan jurulatih, atlet itu sendiri perlu ada ketahanan mental dan fizikal.”
Lebih memberi kesan kepada Latif apabila dia terpaksa ‘bertarung’ dengan diri sendiri sepanjang musim pandemik Covid-19 sejak hampir dua tahun lepas. Bukan dirinya sahaja tetapi semua atlet menjalani latihan dan kuarantin di MSN dalam persediaan menghadapi Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
“Lapan bulan saya tak jumpa keluarga sebab berlatih waktu Covid-19. Setiap hari kami hanya training dan tak boleh keluar ke mana-mana langsung. Memang susah dan mental kena kuat sebab hari-hari hadap benda sama. Terkurung dan kuarantin sesama kami saja. Sebelum ini kalau waktu cuti rehat bolehlah juga keluar untuk release tension dan jalan-jalan.
Ini 100 peratus fokus kepada latihan ditambah pula dengan tak berjumpa keluarga berbulan-bulan. Jadi waktu itu, saya cuma main game atau tengok orang main bola di padang saja untuk lepaskan stres. First time jadi situasi macam ini sebab penularan wabak Covid-19. Apa-apa pun saya bersyukur pengorbanan selama lapan bulan ini ada hasil dan berbaloi,” ujar anak bongsu kepada Romly Mat dan Salmah Yatim ini.
Mengulas lanjut mengenai amalan diet sebagai atlet para lompat jauh, Latif mendedahkan tiga bulan sebelum menyertai kejohanan dia perlu mengikuti gaya pemakanan yang disarankan pakar nutrisi. “Memang saya jaga diet harian. Gula saya tak ambil langsung kecuali cheat day atau hari Ahad. Tiga bulan sebelum kejohanan biasanya saya elak makan daging untuk elak lemak.
Tambahan pula daging nak proses dalam badan lambat. Saya lebihkan pengambilan protein seperti ikan. Buat jus buah-buahan pun tanpa gula dan pergi ke gim seminggu dua kali iaitu pada pagi hari Selasa dan Khamis selama kira-kira satu setengah jam.”
Diaju soalan mengenai dirinya jika tidak menjadi ahli sukan, ini jawapan jujur Latif. “Saya pun tak terfikir. Mungkin saya kerja di kedai makan atau tolong mak mengusahakan bisnes kerisik. Mak berniaga kerisik di kampung secara kecil-kecilan dan buat jika ada tempahan. Dulu saya bercita-cita nak jadi polis tapi tak kesampaian.
Impian dalam bidang sukan saya berhasrat nak buat lompatan sejauh 8.03 meter dan memecahkan rekod milik Andre Anura Anuar selain berjaya masuk Sukan Olimipik. Buat masa ini sepenuh tumpuan saya hanya kepada karier sukan. Saya target untuk terus aktif dalam kerjaya sukan dalam tempoh 10 tahun lagi.
Apa-apa pun saya amat berharap agar akan ada pelapis sukan lompat jauh ini yang boleh meneruskan kesinambungan legasi yang pernah saya sertai ini. Bukan hanya bakal atlet para yang berbakat dalam sukan ini tetapi juga dalam sukan lontar peluru menggantikan Muhammad Ziyad Zolkefli, jaguh lari pecut Mohammad Ridzuan Puzi dan lain-lain,” tegas Latif yang turut merancang mengakhiri zaman bujang pada hujung tahun 2022.
Kisah Cemas Bakal Juruterbang Muda Ini Dipukul AWAN HUJAN Memang Mendebarkan. Tapi Itulah BAYARAN KEBEBASANNYA!

Kehadiran bulan Ogos ini menyemarakkan rasa cinta terhadap negara dengan sambutan hari kemerdekaan ke-60. Buat jurulatih pesawat simulator, Fatin Nabilah Musa, 22, dia mendefinisikan kemerdekaan sebagai lambang sebuah kebebasan.
Gadis muda yang sedang menanti tawaran untuk berkhidmat dalam syarikat penerbangan ini begitu teruja bercerita tentang dunia awan biru yang dicintainya.
“Kepuasan terbang di awan biru adalah ketika saya dapat melihat bumi dari sisi yang berbeza. Tidak semua orang mampu memiliki pengalaman ini dan secara tidak langsung membuatkan saya rasa lebih bersyukur.
Menakluki dunia sambil membawa penumpang menuju destinasi impian dengan selamat merupakan tugas murni seorang juruterbang. Sebenarnya cita-cita ini tercetus selepas saya jatuh hati dengan watak sebuah filem yang ditonton ketika kecil.
Berkisarkan legenda juruterbang Amerika bernama Amelia Earhart, filem berjudul Amelia lakonan Hilary Swank itu benar-benar memberi kesan sejak dari saat dia duduk di tempat duduk juruterbang.
Saya kagum melihat keberaniannya… Amelia menjadi wanita pertama yang terbang secara solo merentasi Atlantik dan wanita pertama yang mengelilingi dunia dengan kapal terbang. Ia benar-benar menjentik hati kecil ini,” terangnya.
Walaupun belum bertugas sebagai juruterbang tetapi gadis manis ini pernah mengemudi kapal terbang sepanjang tempoh pembelajarannya. Berkongsi cabaran yang pernah ditempuhi, “Saya belum pernah mengutip cabaran yang hebat dalam dunia penerbangan ini. Namun, ada beberapa pengalaman mencemaskan ketika berada di sekolah penerbangan dahulu.
Seingat saya, pengalaman paling mencabar ialah ketika mengendalikan kapal terbang semasa dual flight bersama instruktor saya, Kapten Zulkifli Hassan dari Langkawi ke Pulau Pinang (Navigation, Cross Country Flight). Ketika itu kami berdepan dengan cuaca yang amat buruk sehingga menyebabkan kami masuk ke dalam awan hujan. Dalam dunia penerbangan, situasi ini adalah musuh yang paling cuba dielakkan.
Walaupun agak gugup ketika itu, merentasi suasana hujan lebat dan gegaran kuat, tapi cabaran itu menaikkan semangat saya untuk terus berkhidmat,” ungkap gadis yang pernah mengambil Foundation In Science di Mahsa University College untuk bidang Pergigian sebelum memasuki sekolah penerbangan.
Menurut Fatin, ahli keluarganya sentiasa memberi sokongan atas apa sahaja pilihan kerjaya yang dipilihnya. “Selepas mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ibu mahu saya menjadi seorang doktor gigi.
Namun, saya tidak mampu untuk meneruskan pengajian kerana tidak minat bidang pergigian. Saya tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian ketika belajar dan akhirnya atas pertolongan kakak saya dapat merealisasikan cita-cita untuk menceburi bidang penerbangan.
Saya meneruskan pengajian dalam bidang penerbangan di Halim Mazmin Aerospace Sdn. Bhd. di Langkawi dan memperoleh Lesen Pesawat Terbang PPL, CPL/IR with Frozen ATPL. Pendorong utama saya sudah tentu kakak dan ibu saya.
Kakak sangat berjasa kerana telah menyakinkan ibu untuk menceburi bidang penerbangan ini. Saya juga berterima kasih atas dorongan semangat dan tunjuk ajar ketua di Sky Simulator. Beliau telah melatih saya agar sentiasa bersedia untuk proses pengambilan juruterbang syarikat penerbangan nanti,” katanya. Hamizatul Maizan Mohamed