“Bukan Sebab Nak Tunjuk Kaya, Tapi Pernah Rasa Apa Yang Mereka Rasa” -DATUK AYU

Seronok mendengar perkongsian tentang kerja-kerja kebajikan ibu anak 5 berusia 46 tahun ini. Segalanya atas inisiatif sendiri sambil dibantu anak-anak. Bangga sangat dengan Datuk Ayu kerana selain bergelar isteri, ibu serta penerbit, beliau masih berkesempatan turun padang dalam urusan kebajikan. Beliau juga merupakan pengasas sebuah sekolah tahfiz.

Penerbit yang juga CEO Pencil Pictures Records, Datuk Normashayu Puteh seorang yang sangat merendah diri. Biarpun ada segala-galanya namun beliau tidak pernah menganggap dirinya ‘hebat’ sebaliknya jiwa prihatin yang dimiliki mencerminkan keperibadiannya yang sebenar.

KEKUATAN
“Niat untuk buat kerja-kerja kebajikan memang sentiasa ada. Cuma dari segi masa, mungkin dalam seminggu tu 2 atau 3 kali. Buat masa ni Rabu dan Jumaat. Lebih afdhal lagi kalau hari Jumaat.

Semangat tu datang dari apa yang didengar melalui apa yang disampaikan oleh Ustaz dan Ustazah. Atau rakan-rakan yang selalu buat kebajikan, mereka cakap kalau kita nak tenang hati kita selalulah bersedekah. Tak kira siapa dan bangsa apa asalkan kita niat nak bantu mereka. Secara tak langsung ia memberi kesan ke hati saya.

Memang tak semua orang terjentik hati untuk buat begitu tapi bila ianya sampai dan banyak dugaan yang Allah bagi pada kita seperti dalam rumahtangga, berniaga, kelakuan anak-anak, ahli keluarga dan sebagainya kita akan mula terfikir di mana silapnya. Hati jadi tak tenang.

Sebelum aktif dalam kebajikan, ada jugalah saya bantu rakan-rakan. Tetapi belum ada lagi yang DM (direct message) minta bantuan. Masa PKP pertama dulu ada 2-3 orang yang minta bantuan. Lama-kelamaan bila mereka hantar gambar dan sebagainya kita jadi lebih bersemangat sebab nak bagi mereka senyum, dapat makan. Hati ni tenang sangat bila dapat bantu orang susah.



Semangat tu datang dari anak-anak dan ahli keluarga juga. Saya pernah merasa susah dari kecil sampai dewasa, jatuh bangun beberapa kali. Kereta berbulan-bulan tak bayar sampai kena tarik. Dengan susu anak tak cukup, lepas tu dengan nak sekolah lagi. Saya dah lalui semua tu. Inilah pencetus semangat saya untuk buat kebajikan.

Saya bergerak tanpa NGO, kumpulan atau mana-mana persatuan sukarela. Saya buat atas rasa ehsan tengok orang-orang susah, kerana pengalaman sendiri pernah merasa susah. Kita memberi bukan sebab nak tunjuk kita kaya, kita senang. Tapi sebab pernah merasa apa yang mereka rasa. Buat masa ni memang sendiri dengan anak-anak.

Saya juga merupakan penaung sekolah tahfiz di Kepong. Selalunya kami sering terima bantuan tetapi sejak PKP sekolah pun tak buka, saya bersama pihak tahfiz dan mudir mendapat dana sama ada daripada rakan-rakan atau jiran-jiran kami beli barang-barang keperluan asas dan bungkus. Kami pula yang memberi. Ketika mula-mula buka tahfiz tu banyak yang memberi. Dari tahfiz tu mana barang-barang asas tu kami bungkus dan berikan bantuan.

Dari situlah saya bermula dengan bergerak sendiri dan dibantu anak-anak. Alternatif kami sendiri. Buat Live di Instagram, Facebook bersama followers sambil ajak mereka sama-sama membantu ikut kemampuan masing-masing.

Momen paling terkesan, kisah seorang ibu tunggal anak 5. Kecil-kecil lagi anaknya. Rumah pula kosong tanpa perabot, televisyen dan sebagainya. Dengan keadaannya yang tak terurus, keperluan anak-anak seperti susu pun tiada buatkan saya rasa sangat sedih. Bila dia lihat barang di tangan saya matanya dah berair. Bagi saya dia bersyukur sebelum kita memberi. Mata dan wajahnya memberitahu bahawa dia sangat susah dan memerlukan. Momen ini beri saya semangat yang lebih kuat untuk membantu. Senyuman mereka tu dah memberi kepuasan buat saya.

KONGSI DI SOSIAL MEDIA
Sebenarnya bukan untuk menunjuk-nunjuk. Buat kebajikan ni bukan mudah. Nak betul-betul ikhlas kena tanam dalam dada, jangan sampai nampak. Ibarat semut hitam di atas batu. Tujuan saya kongsi di sosial media kerana ini satu amanah. Orang derma duit, hantar makanan pada kita jadi nak tunjuk kepada mereka bahawa bantuan itu sampai kepada yang sepatutnya.

Selain itu, nak jentik hati orang-orang yang belum sedar bahawa banyak orang susah untuk dibantu. Sedikit pun tak mengapa asalkan terjentik hati tu. Jangan kita rasa tak cukup untuk memberi. Insha-Allah akan ada saja rezekinya nanti. Kita beri orang senang hati, kita pun senang. Rasa bersyukur sangat.”

Kredit Foto: Instagram @ayuputeh

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad