Melihat aksi chef selebriti ini memasak di dapur sememangnya boleh buat kecur liur. Nampak mudah sahaja gadis genit ini memasak ditambah pula dengan celotehnya bercerita tentang masakan. Pemilik nama sebenar Anis Nabilah Umaruddin ini rupanya mempunyai minat mendalam dalam bidang penyediaan makanan sejak daripada kecil lagi.
Ibu kepada wanita yang lebih mesra disapa sebagai Chef Anis ini banyak mempengaruhi kerjayanya dalam bidang masakan ini. “Ibu saya ada berpesan, whatever you do in your life, you have to make a difference. Jadi, saya percaya sebagai seorang chef selebriti, kerja saya bukan hanya memasak tetapi untuk melakukan sesuatu yang lebih besar dan bermakna bukan hanya kepada diri sendiri tetapi orang lain juga,” ujar Chef Anis yang mengakui banyak dugaan yang terpaksa dihadapi sepanjang bergelar chef selebriti.
Tambahnya lagi, “Diharapkan, dengan perkongsian resipi dan cara memasak oleh saya dapat menarik orang-orang muda di luar sana untuk mula belajar memasak walaupun sesetengah orang mungkin menganggap memasak ini sesuatu yang remeh dan tidak penting.
Sebenarnya, bila pandai memasak kita akan tahu apakah bahan-bahan yang digunakan untuk menyiapkan hidangan makanan tersebut. Ini kerana untuk menjadi sihat ia bermula daripada apa yang kita makan.
Selain itu, mempunyai kebolehan memasak juga akan membuatkan anda menyediakan makanan yang sihat untuk keluarga dan orang yang tersayang”, ulas Anis lagi yang menganggap semua orang boleh memasak dan berkongsi resipi Oreo Bombolini sebagai menu berbuka puasa kali ini.
Oreo Bomboloni
Bahan-bahan:
Bahan Doh:
500gm tepung protein tinggi
1 pack (11gm) yis
½ sudu teh baking powder
1 sudu besar mentega (unsalted)
1 telur
3 sudu besar gula
2 sudu besar susu tepung
250ml susu segar (chilled)
125ml air
Secubit garam
Gula kastor (coating)
Filling:
200gm cream cheese
50ml thickened cream
1 sudu besar icing sugar
8 Oreos, hancurkan
Mini Oreo untuk hiasan
Cara membuat:
1. Campurkan semua bahan untuk doh dan pukul sehingga kenyal. (Kalau guna tangan 15-20 minit atau 10 minit jika guna mesin pengadun).
2. Biarkan doh seketika selama 30 minit. Kemudian bentuk doh menjadi bulat-bulat kecil dan letakkan di atas baking paper (untuk mudahkan bila mahu menggoreng). Rehatkan doh sehingga saiznya menjadi dua kali ganda. Boleh juga menggunakan acuan donut untuk membentuknya.
3. Pukul cream cheese dengan gula aising dan cream menggunakan mesin pengadun sehingga ringan dan berkrim. Kemudian masukkan oreo yang telah dihancurkan sehingga sebati. Masukkan filling ini ke dalam piping bag dan masukkan sebentar ke dalam peti sejuk.
4. Goreng donut ke dalam kuali sehingga keperangan. Toskan menggunakan strainer sebelum menyalut donut dengan gula. Biarkan sejuk.
5. Buatkan lubang kecil menggunakan gunting dan masukkan filling ke dalamnya. Hiaskan dengan mini Oreo dan sedia untuk dimakan.
This website uses cookies.