Bukan Sekadar Penghibur. Rihanna Bantu Pelajar Miskin di Malawi

Siapa yang tidak kenal dengan penyanyi popular, Rihanna. Mungkin ada sesetengah gaya fesyennya tidak digemari ramai kerana terlalu seksi. Namun jangan pernah menilai seseorang berdasarkan luarannya. Walaupun sibuk dengan kerjaya sebagai seorang penyanyii, wanita berusia 29 tahun ini tidak pernah lupa kepada mereka yang memerlukan. Mengambil inisiatif positif dengan percaya bahawa pendidikan adalah kunci untuk keluar dari kemiskinan, Rihanna telah menubuhkan sebuah yayasan yang diberi nama Clara Lionel Foundation (CLF) pada tahun 2012.

Ceria bersama-sama kanak-kanak di Malawi

CLF merupakan sebuah organisasi tidak berasaskan keuntungan dan dana dari yayasan ini sejak itu telah digunakan untuk membantu kanak-kanak yang memerlukan dari segi pendidikan dan juga kesihatan. Program terbaru CLF menyaksikan mereka berkerjasama dengan syarikat perkongsian basikal, Ofo untuk membantu menaja program biasiswa global yayasan tersebut. Basikal akan didermakan kepada penerima biasiswa di Malawi bagi membantu mereka ke sekolah.

Dalam satu kenyataan akhbar, Rihanna berkata, “Saya sangat gembira dengan usahasama CLF dan Ofo kerana ini akan memberikan banyak manfaat kepada anak-anak muda mendapatkan pendidikan yang sewajarnya. Ini juga sekaligus membantu kanak-kanak perempuan untuk pergi ke sekolah dengan selamat berbanding sebelum ini yang mana mereka terpaksa berjalan berbelas kilometer setiap hari untuk pergi dan pulang dari sekolah.”

Memang murni sungguh hari penyanyi kelahiran Barbados ini. Membuktikan dia tidak main-main dengan usaha murninya, minggu lepas dia bertemu dengan presiden Perancis, Emmanuel Macron dan isterinya untuk berbincang mengenai isu pendidikan global.

 

Share
Published by
Fiezreen