Dalam kesibukan menguruskan kehidupan harian yang penuh dengan episod yang tiada kesudahannya, pastinya tubuh sering menjadi lesu dan tidak bermaya. Sekali-sekala apa kata manjakan diri dengan perawatan tubuh dan badan untuk mengembalikan kesegaran tubuh secara optima.
Bagi yang kerap menghabiskan masa di spa, kedatangan ke spa pastinya tidak menghampakan. Pertama kali menjejakkan kaki ke Randevu Spa, kehadiran anda akan disambut dengan sebuah kafe kecil yang menyajikan snek ringan yang enak.
Menurut empunya Randevu Spa, Mazlin Mazlan, idea dan konsep menyediakan sebuah kafe kecil ini adalah untuk membolehkan pelanggan menikmati snek ringan sementara menunggu giliran mendapatkan rawatan atau sekadar bersantai selepas menikmati rawatan spa.
Nyata, konsep dan suasana ini sudah tentu akan memberikan ketenangan setelah penat bekerja. Ditambah dengan dekorasi yang menarik, sekaligus menjadikan Randevu Spa pilihan terbaik bagi menjalankan rawatan dari hujung rambut hingga hujung kaki.
RAWATAN SEINDAH NAMANYA
Memasuki ruang menunggu utama Randevu Spa, mata pengunjung akan dihidangkan dengan sebuah lukisan dinding bermotifkan tumbuh-tumbuhan dan alam semula jadi. Aroma minyak aromaterapi yang berupaya melegakan tekanan membuatkan pengunjung rasa tidak sabar untuk memulakan rawatan.
Sebagai sebuah lokasi yang dikunjungi bagi mendapatkan rawatan dan melegakan tekanan, pihak Randevu Spa sentiasa mengambil berat tentang susun atur perabot serta keadaan di dalam mahupun di luar. Dilengkapi dengan pemilihan perabot yang eksklusif dan menarik, kunjungan ke sini boleh diibaratkan seperti syurga untuk mendapatkan rawatan tubuh badan.
Selain itu, elemen penting yang amat dititikberatkan di Randevu Spa termasuklah aspek keselesaan pengunjung yang mendapatkan rawatan di sini. Malah, ia turut menyediakan bilik rawatan kuku khas untuk muslimah secara lebih privacy dan terselindung.
Terdapat empat bilik rawatan wajah dan tubuh disediakan untuk pengunjung. Antara rawatan yang ditawarkan termasuklah urutan aromaterapi dan tradisional. Istimewanya rawatan tubuh di Randevu Spa, ia amat mementingkan konsep penggunaan bahan semula jadi yang dirasakan lebih digemari oleh kebanyakan pelanggan setia spa tersebut.
Selain itu, rawatan wajah juga menggunakan produk organik yang selamat untuk kulit. Bagi yang inginkan privasi, anda boleh melakukan rawatan sama ada di bilik yang dikhaskan untuk seorang atau dua orang.