Gaya rambut ikal kini kembali memikat penggemarnya. Tidak sekadar memberi impak glamorama, rambut yang dikemaskan dengan potongan menarik mampu menyalakan gelora cinta di hati jejaka.

Namun begitu, jika berkenan untuk menukar gaya selaras peredaran masa, pastikan ia dipotong kemas sempurna, agar rambut tetap mudah diurus meskipun ketika di luar kawalan anda!

Ads

Uji Sendiri Jenis Rambut

Tidak semua wanita dikurniakan rambut normal semula jadi. Perbezaan cuaca, gaya hidup, pemakanan dan peningkatan usia mampu menukar takdir rambut yang sihat kepada pudar tanpa tarikan.

Selain itu, penggunaan produk rambut yang bertentangan dengan jenis rambut anda juga mendorong pelbagai masalah seperti kelemumur, rambut gugur dan bercabang. Untuk mengetahui apakah jenis rambut yang anda miliki, cuba lakukan ujian mudah ini.

# Langkah 1

Sehari sebelum membuat ujian ini, syampu rambut anda seperti biasa.

# Langkah 2

  • Menggunakan sehelai kertas tisu, pedapkan ke akar/pangkal rambut di bahagian tengah kepala serta di belakang cuping telinga selama seminit.
  • Jika kertas tisu nampak berminyak, ini menunjukkan kondisi rambut yang terlebih lembapan, dan begitu juga sebaliknya.

Jenis-Jenis Rambut

(a) Normal

Ads

Rambut dari jenis normal begitu mudah diurus, bersinar dan tidak berminyak.

(b) Berminyak

Lazimnya rambut hanya cantik bermaya sehari dua selepas bersyampu. Tetapi bila masuk sahaja hari ketiga, ia mulai ‘berat’ dan berminyak-minyak. Biasanya rambut dari jenis ini sering berdepan masalah kelemumur.

(c) Kering

Ads

Rambut dari jenis ini sungguh sukar dikawal. Apalagi selepas bersyampu, ia tampak kusam dan terbelah di hujung. Kadangkala kepala terasa gatal, berkuping-kuping, begitu rapuh dan mudah putus.

(d) Kombinasi

Lahir dari kombinasi berminyak dan kering, rambut kombinasi mudah dikenalpasti kerana rona hujung rambut berwarna lebih cerah berbanding pangkalnya. Ini juga menunjukkan akar rambut anda berminyak tetapi bila sampai ke hujung, ia kering seperti akar kayu.

Jika jenis rambut anda ikal kerinting semula jadi, usah terlampau kerap meluruskannya dengan cara ironing. Ia menyeksa rambut, mengeringkan lembapan sambil menggalakkan kutikel menjadi kasar dan kusam. Dapatkan potongan sesuai bentuk wajah, melabur pada produk ‘anti-frizzy’ dan buatlah perawatan melembap sebulan sekali.

Trik Dandanan

  1. Cuba ikat ponytail, berdiri tegak di depan cermin dan analisis bentuk wajah anda. Jika berwajah besar dan luas, elakkan menggaya fesyen rambut lepas kerana ia mencipta ilusi gempal. Gaya chignon (bun moden) dengan ‘fringe’ di atas kening merupakan pilihan paling tepat. Bagi anda yang berwajah kecil, gaya rambut ikal berombak di paras bahu mampu menyerlahkan penampilan anda.
  2. Potongan ‘fringe’ menutupi dahi mencipta imej muda dengan segera. Hanya gunakan pengering rambut dan oleskan sedikit produk rambut yang ringan untuk gaya ringkas dan mudah.
  3. Buat seketika, lupakan penyepit rambut untuk mencipta gaya sanggul segera. Terkini di lantai peragaan, gaya bun moden menyuntik kelainan kepada wanita yang mendamba kecantikan segera. Aksesori ‘hair sticks’, ‘headband’ dan pin berbatu kini sedang trend di pasaran.
  4. Adakah rambut anda sering kusut dan mengurai degil? Cara paling mudah untuk mengawal rambut sukar diurus ialah ketika bersyampu. Selepas membilas sisa buih, lumurkan perapi dan pastikan anda menunggu mengikut masa yang ditetapkan. Rumusan perapi cukup berkesan untuk menjadikan gaya rambut anda sentiasa kemas dalam kawalan. Rosmah Idayu Abu Samah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI