Pengarah, penerbit filem serta pelakon, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkongsi khabar gembira setelah menerima skrol Ijazah Doktor Pengurusan (PhD) dalam Majlis Konvokesyen ke-34 di Universiti Utara Malaysia, semalam.
Khabar itu telah dikongsinya sendiri menerusi hantaran di Instagram. Beliau menitipkan rasa syukur setelah penantian selama hampir 7 tahun untuk menghabiskan penyelidikannya membuahkan hasil.
Dengan kejayaan Dr Ahmad ini juga sekali gus menafikan spekulasi sebelum ini yang mendakwa beliau memiliki ijazah PhD palsu dan dibeli.
“Alhamdulillah hari ini merupakan hari yang penuh bersejarah dan sangat bermakna buat saya apabila dapat menggenggam skrol Ijazah Doktor Pengurusan dalam Majlis Konvokesyen ke-34 Universiti Utara Malaysia (UUM) 2022, Sintok yang disempurnakan oleh KDYMM Al-Aminul Karim Sultan Salehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.
“Usai pengumuman penamaan calon parlimen Port Dickson untuk PRU15 semalam saya terus bergegas ke Sintok sebagai persiapan akhir sebelum Majlis Konvokesyen ke-34 yang berlangsung pada hari ini.
“Walaupun jadual dan masa pergerakan yang sangat padat kurang daripada 24 jam, namun ianya adalah tanggungjawab yang harus saya terima dan laksanakan.”
Dr Ahmad Idham turut meluahkan kesyukuran di atas segala penat lelahnya selama 7 tahun dalam menuntut ilmu membuahkan hasil.
“Penantian selama hampir 7 tahun ini membuahkan hasil apabila berjaya menghabiskan penyelidikan saya untuk Ijazah Doktor di dalam bidang pengurusan.
“Saya mengharapkan dengan ilmu yang saya ada dapat dimanfaatkan dan diterjemahkan pelaksanaannya dalam mengurustadbir selain mempopularkan Port Dickson sebagai bandar pelancongan yang mempunyai keunikan tersendiri.
“Selain itu, saya mengharapkan dengan berjaya menghabiskan penyelidikan dan menerima Ijazah Kedoktoran ini dapat mencetuskan semangat untuk belajar selain dapat memberikan inspirasi kepada anak-anak muda khususnya di Port Dickson untuk melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat tertinggi.
“Ilmu merupakan pelita yang membawa manusia keluar daripada gelap kejahilan.
“Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh ahli keluarga atas sokongan yang tidak berbelah bahagi.”
Dr Ahmad Idham turut berterima kasih kepada para pendidiknya di segala atas ilmu yang dicurahkan selama ini sehingga berjaya menjadikan siapa dirinya hari ini.
“Buat para guru, penyelia dan para pendidik yang telah berkongsi ilmu dan mendidik saya selama ini, saya doakan semoga kalian semua dikurniakan rahmat dan maghfirahNya.”
Di sebalik kejayaan seorang lelaki pastinya ada wanita yang hebat di belakangnya. Siapa lagi kalau bukan sang isteri.
Amy Aziz, isteri tercinta Dr Ahmad Idham sentiasa menjadi tulang belakang di saat susah mahupun senang. Pasangan ini mendirikan rumahtangga pada tahun 1999. Hasil perkahwinan selama 22 tahun, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ahmad Firdaus (22) yang merupakan seorang anak istimewa, Ahmad Aydeel (18), Kintan Myra (16)dan Ahmad Khaliff, 12.
Isterinya turut meluahkan rasa gembira dan kesyukuran dengan kejayaan itu di Instagram serta menitipkan kata-kata bermakna buat anak-anak mereka:-
“Congratulations to my other half @ahmad_idham who has made another achievement in his life. Years of going through challenges, hard work, commitment and dedication to obtain this PHD – Ijazah Doktor Pengurusan from Universiti Utara Malaysia (UUM), I hope it will motivate all my kids to study hard and understand the importance of education in life.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata para pengikut dan peminatnya mencoretkan ucapan tahniah. Rakan-rakan selebriti juga tak ketinggalan antaranya Datin Nina Juren, Jasmin Hamid, Sharifah Shahora dan Edika Yusof.
Untuk info, Dr Ahmad Idham dilantik sebagai Setiausaha Kebudayaan di Kementerian Luar Negeri. Sebelum ini beliau bergelar Ketua Pegawai Eksekutif di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Dr Ahmad Idham memulakan kariernya sebagai pelakon dan popular dengan drama bersiri ‘Cinta Antara Benua’ serta ‘Cinderella’.
Dr Ahmad Idham merupakan calon Gerakan Tanah Air (GTA) bagi Parlimen Port Dickson dan kini sibuk berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Kredit foto: Instagram Amy Abd Aziz & Dr Ahmad Idham