Mudahnya seorang wanita nak kumpulkan pahala. Sebab itu Ustazah Asma’ Harun menegaskan, gudang pahala adalah di rumah sendiri, lebih-lebih lagi pada bulan yang mulia ini.
Melalui perkongsian ceramah dari Ustazah Asma’ Harun, keistimewaan wanita sungguh hebat sekali. Tetapi ada syarat-syaratnya.
Dalam hadis Nabi Muhammad S.A.W:
“Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk Syurga mengikut pintunya mana yang ia suka (mengikut pilihannya).”
(Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani)
Diringkaskan oleh Ustazah Asma’, terdapat empat syarat untuk seorang wanita masuk ke syurga Allah iaitu:
- Menjaga solat
- Menjaga puasa di bulan Ramadan
- Menjaga maruah diri
- Mentaati suami
Namun, syarat-syarat pertama hingga ketiga sangat mudah untuk dilaksanakan namun syarat keempat, memerlukan kesabaran paling tinggi.
“Diri kita istimewa apabila Allah jadikan kita wanita. Allah meletakkan kitab oleh memasuki mana-mana pintu syurga Allah dan Allah ikat kita dengan suami kerana dari suamilah pahala kesabaran kita. Kita akan diuji dengan suami sehingga kita mati.”ujarnya.
Dalam perkongsian hadis lain pula, Nabi bersabda:
“Apabila hambaku diuji, aku akan sertakan bersamanya malaikat dan sekiranya hambaku terima dengan redha dan sabar, dia akan mendapat redhaku iaitu syurga Allah. Tetapi jika hambaku terima dengan marah, dia juga akan mendapat kemarahanku.”
TIP MENGHADAPI UJIAN
Ucaplah Inna Lillahi wa inna ilaihi raji’un yang bermaksud dari Allah ia datang, kepada Allah ia dikembalikan.
“Kalau ditimpa ujian, lagi cepat seseorang menyerahkannya kepada Allah, lebih cepat pertolongan Allah itu akan datang kepada kita.”katanya lagi.
SARI YANTI Wanita BERTUAH, Dikurniakan 3 Cahaya Mata Walau Tinggal 1 Tiub Fallopian
Baru-baru ini selebriti cantik ini telah mengumumkan wajah dan nama anak kelimanya di laman media sosial milik peribadinya. Comel sungguh, macam ada lesung pipit di pipi.
Bayi lelaki yang diberi nama Abu Bakr bin Mohd Nazri itu telah dilahirkan pada 15 Mei yang lalu sekali gus merupakan anak ketiga menerusi perkahwinan keduanya bersama pelawak dan penyampai radio, Jep Sepahtu.
Sari Yanti dan Jep Sepahtu telah melangsungkan perkahwinan pada 25 Februari 2017 dan sebelum ini dikurniakan seorang puteri, Dariya Inara, 3 tahun dan seorang putera, Muhammad Khidir, 1 tahun. Melalui perkahwinan terdahulu, Sari Yanti sudah memiliki dua orang putera, Barr Al-Aliy dan Baasit Al-Haq.
Sesungguhnya rezeki anak itu bukan kuasa kita untuk menentukannya. Sari Yanti merupakan antara wanita yang paling bertuah kerana dikurniakan rezeki hamil walau sudah membuang salah satu tiub fallopian.
Masih terngiang lagi kata-kata Sari Yanti saat pertemuan kami dahulu ketika mengandungkan Dariya Inara, “Alhamdulillah saya ingatkan susah nak mengandung lagi setelah membuang tiub fallopian sebab tiub fallopian tinggal satu sahaja,” tutur selebriti cantik ini yang terpaksa membuang sebelah tiub fallopian akibat mengandung luar rahim.
Walaupun pernah mengalami keguguran sebanyak dua kali semasa perkahwinan keduanya ini, namun, kalau sudah rezeki pasti ia menjadi milik pelakon filem aksi perlumbaan kereta, Impak Maksima ini.
Ketika menceritakan keadaanya sewaktu mengandungkan anak kelimanya, “Bagi saya setiap kandungan itu berbeza. Of course, setiap kandungan adalah berbeza sebab kita pun semakin tua bukan semakin muda. Jadi, memanglah terasa agak penat tambahan pula saya memang jaga anak-anak sendiri tanpa pembantu.
Saya memang agak sibuk lagi-lagi Khidir masih kecil lagi. Tapi, alhamdulillah masih sihat dan bertenaga buat kerja rumah dan tak adalah sampai terbaring tak boleh buat kerja rumah. Morning sickness tu, macam muntah-muntah tu biasalah.
Cumanya sebab mungkin kali ini sibuk menguruskan anak-anak terutama Khidir sebab dia kecil lagi. Macam tak sempat nak rasa penat tu sebab sibuk sangat tau tau saja dah bertukar hari,” tutur Sari Yanti yang kelihatan berseri-seri bergelar ibu kepada lima orang cahaya mata.
“Jangan Bersedih Selagi Kita Beriman Kepada Allah” Sis Kiah
Jika dunia ini tak ada keimanan di dalamnya, maka dunia tidak berharga dan tak bermakna. Berkongsi kata-kata seorang penyair ahli falsafah yang berasal dari Pakistan menyatakan,
Jika iman telah lenyap, maka tidak ada lagi rasa aman. Dunia ini tidak bererti, jika agama tidak lagi dijunjung. Siapa yang hidup tanpa agama, maka kehancuran akan menjadi teman setianya… – Iqbal.
Dalam keadaan seluruh dunia menghadapi ancaman serangan COVID-19, Sis Kiah terus memujuk diri untuk sentiasa menjadi insan yang positif, bertawakal dan berdoa memohon pada-Nya. Tidak ada yang akan mendatangkan ketenangan dalam diri, kecuali diri anda sendiri.
Sabar untuk bertahan, tidak menceritakan segala kesedihan dan kesusahannya kepada sesiapa pun kecuali kepada Allah.
Dalam waktu-waktu begini, Sis Kiah terus mengubat penyakit dalam diri dan pemikiran, membetulkan aqidah selain daripada menjaga kesihatan jasmani.
Jangan mudah terpengaruh dengan apa yang terjadi sehingga kita merasakan peristiwa yang berlaku ini menarik jiwa kita dalam kesedihan dan negatif.
Jangan terlalu bersedih, pesan Sis Kiah. Sesungguhnya jika kita terus-terusan berasa sedih ia akan mengganggu emosi, jiwa dan membawa kepada kesakitan. Kita akan mula khuatir dan cemas dengan segala kemungkinan yang hadir di masa akan datang. Bertenang dan bertafakur seketika!
Kesedihan akan membuat hati jadi kecut, wajah muram, semangat akan padam dan harapan akan hilang. Jika hidup kita diselimuti kesedihan, kita hanya mengundang lebih banyak penyakit dan pastinya COVID-19 gembira untuk menular ke dalam diri kita.
Keadaan ini membuat kita jadi semakin lemah, menentang qadha yang Allah telah berikan, menyesali sesuatu yang telah berlau, menjauhkan diri kita dari sikap lembut dan benci pada nikmat.
Sis Kiah terus berpesan, sesunguhnya kesedihan itu pastinya tidak akan mengembalikan sesuatu yang telah hilang dan berlaku. Tidak akan membangkitkan orang yang telah mati, tidak mampu menolak takdir Allah dan tidak mendatangkan kebaikan pada diri kita. Sedih itu datangnya dari syaitan dan jika kita terus melayan rasa pedih itu, maka akan berlakulah depresi dan kegagalan hidup.
Bagi Sis Kiah, bersedih sekadar berpada-pada. Selagi kita beriman kepada Allah, insyaAllah akan ada kerelaan, ketenangan dan rasa aman. Dengan keimanan yang kuat kita mampu menggapai kebahagiaan dan segala kebingungan serta kesakitan akan menjadi sengsara. Kita sebagai manusia mampu bangkit, menang dan meraih tujuan hidup dengan fikirannya.
Sis Kiah sentiasa berpesan pada diri sendiri. Jangan bersedih kerana segala yang ada di dunia tidaklah milik kita selamanya. Setiap dugaan itu pasti ada jalan penghujung yang baik atau sebaliknya.
Kita harus redha dan tawakal kepada-Nya kerana semua itu datang dari Maha Pencipta. Boleh jadi dugaan dan cubaan Allah itu adalah anugerah yang kita tidak tahu hikmahnya nanti.
Belajar untuk sentiasa bersyukur apa yang dimiliki saat ini. Jika kita masih sihat, boleh melakukan amal ibadat, memiliki air yang bersih dan makanan yang cukup, tidak perlu bersedih.
Orang bijak pandai ada menyatakan, ‘Kehidupan hanyalah sesuap nasi dan seteguk air. Adapun selebihnya adalah suatu kelebihan. Ingatlah kegembiraan dan keriangan adalah makanan jiwa yang amat bermafaat.’
“Ilmu Macam Peluru” Caprice Makin Matang Lepas Kahwin, Mahu Bangkit Semula Demi Keluarga
Misi baru Caprice dari bumi Mesir ke tanah air, jihad selebriti rap itu dilihat kembali rancak di media sosial. Merencanakan semula masa depannya dengan penuh teliti, kini beliau memilih untuk lebih dikenali sebagai Ariz Ramli, fokus pada bisnes dan diri sendiri, serta terus melangkah yakin tanpa menoleh ke belakang lagi.
Tepat jam 2.30 petang, Ariz muncul di studio dengan wajah berseri-seri. Sut biru slim fit terletak kemas, secocok benar disarung Ariz yang baru beberapa bulan bergelar suami kepada Farra Inalis.
Cuba membaca senyum bahagia di bibirnya, dalam masa singkat penulis tahu dia kini lebih lega dan yakin dengan keputusan mendirikan rumah tangga pada usia 33.
Dengan jumlah pengikut mencecah 1.6 juta, nama Ariz pada ketika ini cukup kukuh di kalangan generasi muda. Intro rasmi @daddycapofficial (dulu @capriceofficial) – What is on the news today? – antara yang cukup sebati dengan namanya, yang suka mengulas pelbagai topik semasa di Internet.
Pelat Inggeris sedikit pun tidak menjejaskan isu yang dibawa, malah fikir penulis, padanlah dahulu banyak topik yang dikupas, diangkat sampai ke pengetahuan pihak atasan!
“Ia selalunya impromptu, isu-isu ad hoc bila orang DM saya untuk minta pendapat. Bila banyak yang DM, saya terus set kamera, rekod dan muat naik.
Tiada proses yang rumit cuma kalau melibatkan isu yang sensitif, seperti agama, saya akan WhatsApp dulu sahabat Ustaz yang lebih arif tentang Islam. Tapi saya cuba tidak mengulas ‘terlalu dalam’ tentang sesuatu di luar bidang upaya saya.” Ariz Ramli
Sekilas pandang, adakah peranan social media influencer hari ini memberi manfaat kepada generasi muda? Tanya penulis.
“Sudah tentu! Kalau media sosial tak penting, mungkin sekarang tiada sesiapa akan gunakan untuk meluah perasaan, buat jualan dan pembelian atau kongsi kerja kebajikan. Maknanya media sosial tu sendiri adalah platform terbaik untuk generasi masa kini.
Saya rasa generasi digital sekarang bergerak ke arah contents yang bergerak cepat dan pantas, seperti TikTok. If you look at the numbers now, TikTok is a new frontier. Selain tu, Facebook pula kembali membawa gelombang META yang saya jangkakan akan lebih hebat tak lama lagi.”
Lelaki sebagai pengguna TikTok, pandangan anda? “Kalau kita nak jadi relevan tak kira dalam arena perniagaan, seni atau politik, kita kena gunakan TikTok.
Peraturan paling penting dalam media adalah berapa banyak mata yang melihat contents anda. Views is king. Kalau tak ada views, nak jual apa pun tak boleh. Kita akan ketinggalan kalau tak manfaatkan platform media sosial.”
Sambung Ariz, minatnya terhadap teknologi membuatkan dia percaya bahawa media sosial itu sifatnya disruptive.
“Kalau kita tengok sejak tiga tahun kebelakangan ni, pengaruh media sosial yang kuat mampu ‘menggoyangkan’ sesuatu institusi, termasuk kerajaan. 10 tahun dari sekarang, 5G will be nothing.
The rate of ilmu tu, terlalu laju. Mungkin ia boleh mengganggu atau memperkasakan, terpulang kepada cara kita menggunakannya.”
Tidak ingin mensia-siakan pengaruh yang dimiliki, Ariz juga berjihad dalam dunia pendidikan. Lelaki berkulit putih ini tekad mahu mengubah mindset generasi agar menjadi ‘critical thinkers and problem solvers’ sebagai pemimpin masyarakat. Malah bermula lima tahun lepas, dia sudah pun memperjuangkan e-learning melalui platform classruum.com.
“Dulu mungkin terlalu awal tapi selepas dunia dilanda COVID-19, semua orang beralih kepada online learning, sesuatu yang sudah saya bangunkan lima tahun sebelum tu,” cerita Ariz yang sudah pun menjual sistem tersebut kepada Johor Corp pada nilai RM2.5 juta.
Diikuti dengan mengaji.com, Ariz terus menginovasikan ilmu membaca jawi seperti karaoke. Kongsi usahawan muda itu lagi, beliau ingin terus memantapkan ilmu ibadah harian ke bentuk teknologi.
“Walaupun baru-baru ni ramai pertikaikan niat jihad saya, I will still go on. Bahkan saya tekad untuk memulakan semula syarikat IT atau apps kami antaranya melancarkan semula mengaji.com, Umrahloka, JustSolat dan Salam Jodoh pada tahun 2022.
Kami tetap akan usaha untuk bina teknologi yang membantu dan membangkitkan ummah.” Ariz Ramli
KELUARGA
Membesar di negara asing dan menuntut di sekolah antarabangsa, begitulah yang dilalui anak Negeri Sembilan ini sejak zaman kecilnya. Merupakan anak seorang Diplomat, mereka sekeluarga juga pernah tinggal di Perancis, Jordan dan Algeria sebelum kembali ke tanah air.
“Sebenarnya saya jarang bercakap tentang bapa saya. Dia sangat low profile, very strict Muslim and he never show love. Walaupun jarang bagi pujian, tapi saya tahu kalau dia bangga dengan saya, tiba-tiba pasti ada potongan buah mangga – cara halus bapa tunjukkan kasih sayangnya.
Mak saya cakap, perangai kami berdua serupa. Jenis yang buat je, contoh kalau tahu orang ada masalah, terus bagi pertolongan tanpa berfikir panjang. Sama. Hidup saya pun macam tu.
Saya yakin dapat sikap ini daripadanya dan mungkin itulah yang membuat saya mampu survive seorang diri di Kuala Lumpur pada usia 16 tahun.” Ariz Ramli
Tergolong di kalangan pelajar pintar dan pernah ditawarkan biasiswa penuh, namun Ariz memilih jalan hidup yang berbeza dengan menceburi bidang muzik.
“Dulu ibu bapa saya tak ‘merestui’ keputusan saya untuk jadi artis. Bagi mereka, lebih baik saya lanjutkan pelajaran dan berkhidmat di sektor kerajaan.
Sebenarnya memang ramai famili saya bekerja dengan kerajaan pun sampai sekarang. Reaksi bapa masa tu, dia punya mengamuk dari Venezuela sampai Jelebu, marah sampai ke Lenggeng!”
Namun tambah Ariz, kedua ibu bapanya cukup penyayang malah mereka berdua juga cukup bimbangkan keselamatan dirinya sewaktu di Mesir tempoh hari.
“My mom was worried and we communicate almost everyday. Bapa pula jenis suka membaca dan dia sangat tertekan dengan keadaan saya di sana.
Banyak kali mereka menyuruh saya balik Malaysia dan paling susah dilupakan, mak suruh saya kahwin! So I took my mom advice and got married!” Ariz Ramli
FOKUS
Minat terhadap muzik dan teknologi juga membuatkan lelaki ini begitu memahami jiwa anak muda. Sebagai usahawan minyak wangi Rindu Raudah, Ariz bukan saja mencipta nama sebagai artis rap popular, malah kerap memberi ceramah dan dijemput sebagai motivator di pelbagai IPT seluruh Malaysia melalui program Jihad in Education.
Bercerita tentang kenangan paling bermakna sepanjang menjadi social media influencer, Ariz dengan segera teringatkan satu peristiwa yang amat dekat dengan dirinya.
“Salah seorang ejen Rindu Raudah merupakan pesakit kanser. Dia sanggup menyertai bisnes minyak wangi Rindu Raudah kerana percayakan jihad saya. Malah suatu hari, dia datang jauh dari Johor semata-mata untuk berjumpa saya.
Kemunculan individu ini sangat menyedarkan kita semua bahawa don’t take things for granted. Apa yang kita buat atau katakan di media sosial, boleh menyentuh hati seseorang, tak kira secara positif atau negatif. Jadi saya mula ‘beringat’ supaya berhati-hati bila bercakap.”
Mengakhiri perbualan, Ariz berkongsi rasa syukur kerana masyarakat mula berhenti memperkatakan isu lama dan fokus terhadap masa depan, termasuk kehidupannya yang kini sudah berkahwin.
“Selain mengukuhkan bisnes IT saya, saya juga bina jenama baru untuk isteri dan anak perempuan saya. Saya ingin kami menjadi keluarga entrepreneurs yang berjaya.
Untuk menjadi generasi yang bijak dan berfikiran terbuka, saya fikir kita semua mesti terus mengejar ilmu. Saya sendiri suka membaca dan ikuti berita dari seluruh dunia. Ilmu tu macam peluru. Lagi banyak ilmu kita, lagi banyak peluru yang kita ada.
Itulah rahsia kejayaan dan bangkit semula. Sebagai belia Malaysia, bangkitlah dengan ilmu. Usah rasa terlalu selesa dengan kemudahan yang ada.” Ariz Ramli
Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias
Arahan Seni: Kiffy Razak
Foto: Sharinizam Othman
Solekan: Ayang Kamell