Fesyen

Bulan Puasa Tentu Rasa Letih, Ini 7 Tip Fesyen Mudah Untuk Kekal Segar Sepanjang Hari!

Sempena bulan Ramadan yang mulia, pastinya umat islam berlumba-lumba untuk melakukan amal ibadat. Selain sibuk menjalani rutin harian di bulan Ramadan, ibadah puasa juga memerlukan persiapan diri sewajarnya agar diri lebih bersedia. Namun, pernahkan anda terfiir mengenai fesyen yang sesuai untuk digayakan di bulan puasa?

Untuk tampil selesa dan trendy sepanjang bulan mulia ini, ada beberapa perkara perlu diberi perhatian. Ia sangat penting untuk memastikan anda berasa nyaman saat melakukan aktiviti harian selama menjalani ibadah puasa. Mungkin ia kedengaran klishe, namun penggayaan fesyen yang tepat dan sempurna mampu memberikan impak yang cukup positif.

1. POTONGAN BESAR

Untuk kesan terbaik, pilih pakaian dengan potongan yang lebih besar. Selain memudahkan pergerakan, ia juga mampu mengalirkan pengudaraan buat tubuh anda agar berasa lebih nyaman. Elak dari memakai pakaian yang terlalu ketat hingga menyukarkan anda untuk bergerak bebas. Sekiranya anda gemar memakai celana yang ketat, anda boleh memadankan ia dengan top yang lebih longgar. Jangan memilih top yang sama ketat dengan celana yang dipilih bimbang akan menyebabkan anda kurang selesa sepanjang hari dan membuatkan anda cepat berasa penat.

2. FABRIK SERAP PELUH

Elakkan memilih pakaian yang terlalu tebal untuk digayakan di bulan puasa. Ia hanya membuatkan anda cepat berpeluh. Sebaiknya, pilih pakaian dengan fabrik yang mampu menyerap peluh seperti cotton, sifon dan crepe. Ia memberi keselesaan saat anda melakukan rutin harian. Bagi mereka yang memakai hijab, pilihan tudung amat penting. Pilih material tudung yang lebih nipis namun jangan terlalu jarang sehingga menampakkan leher dan rambut anda.

3. GAYA HIJAB MINIMALIS

Anda disarankan untuk memakai hijab yang lebih ringkas dan minimalis. Mungkin anda mempunyai masa yang terhad di bulan puasa dengan aktiviti-aktiviti harian. Pilihan hijab terbaik yang boleh dijadikan pilihan ialah hijab jenis instant yang amat mudah untuk dipakai. Hanya perlu menyarungnya tanpa perlu menggunakan pin atau mengambil masa yang lama untuk bersiap. Cara ini lebih praktikal untuk dilakukan di bulan puasa selain menghasilkan penampilan yang lebih cepat, menarik dan trendy.

4. PADANKAN OUTWEAR

Saat anda ingin pergi ke majlis yang lebih santai dengan dandanan yang ringkas, anda boleh memilih untuk menyarungkan outwear. Jika anda memakai inner yang sedikit ketat, padankan ia dengan outwear yang sesuai dengan tempat yang ingin dituju. Sekiranya anda ingin ke majlis berbuka puasa, pilihan terbaik ialah dengan mengenakan kardigan dan jaket labuh untuk menimbulkan kesan santai dan ringkas. Jika ingin kelihatan sedikit formal, anda boleh memakai long fest atau blazer.

5. AKSESORI SEWAJARNYA

Pemilihan aksesori harus disesuaikan dengan rona dan gaya yang telah dipilih. Jika anda gemar memakai subang, padankan ia dengan gelang yang berona lembut dengan jumlah yang tidak berlebihan. Subang yang dikenakan harus disesuaikan dengan busana terlebih dahulu. Jangan memilih reka bentuk subang yang terlalu besar. Cukup bersaiz sederhana dan sesuai dengan anda. Jika anda tidak suka memakai gelang, anda boleh memilih rantai sebagai pilihan. Namun harus diingatkan pilihan rantai janganlah terlalu besar hingga menenggelamkan penampilan anda.

6. SEPATU FLAT

Pemilihan sepatu flat amat fleksibel dan praktikal untuk digayakan ketika bulan. Tambahan pula, kasut flat ini mempunyai pelbagai rekaan menarik dan cukup mudah untuk disesuaikan dengan tema pakaian. Pemilihan sepatu seperti ala ballerina dan gaya Oxford boleh dijadikan pilihan untuk memberikan penampilan stailo dan trendy. Apapun tema gaya yang ingin anda serlahkan, pastikan sepatu flat ini paling sesuai untuk majlis yang ingin anda hadiri di bulan Ramadan. Ia boleh menjadi penunjang gaya yang super trendy buat anda yang bertubuh tinggi lampai. Anda pasti berasa lebih selesa dengan pemakaian sepatu flat ini tanpa perlu menyakitkan dan menyeksakan kaki!

7. SOLEKAN NEUTRAL

Penggunaan mekap juga harus dititikberatkan agar penampilan anda tidak keterlaluan. Dengan solekan yang tepat dan betul, ia akan membantu anda untuk kelihatan segar saat malakukan tugas seharian meskipun sedang berpuasa. Sebagai contoh, anda boleh menggunakan penggaris mata atau eyeliner untuk mendapatkan kesan solekan mata yang lebih hidup. Seterusnya, oleskan gincu rona nude untuk seimbangkan hasil solekan anda. Elakkan memakai bedak asas yang terlalu tebal.

Share
Published by
Fadhli Ismail