Bunga Buat Diana, Usaha FARID KAMIL Memenangi Hati Isteri Tambat Perhatian Netizen

Pelakon, Farid Kamil mencuri perhatian awam dan lensa media apabila tiba di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari dengan membawa sejambak bunga. Khabarnya, tujuannya adalah untuk memujuk isterinya dan ini merupakan langkah pertamanya mengharapkan sinar baru dalam perkahwinannya.

Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari yang tiba kira-kira jam 9 pagi kelihatan tenang dan tersenyum sambil membawa sejambak bunga antaranya mawar merah. Malah dikhabarkan Farid turut membeli cincin untuk Diana sebagai bersempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ke 11.

“Bunga ini untuk Diana tanda perdamaian pertama,” katanya ringkas ketika ditanya sebab membawa sejambak bunga, hari ini.

Hari ini difahamkan Farid akan memaklumkan kepada mahkamah bagi perlantikan Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam menyelesaikan kemelut rumah tangganya. Terdahulu, Diana yang berpakaian serba hitam dan berkaca mata hitam tiba di mahkamah pada jam 8.55 pagi.

FOTO Aswadi Alias Harian Metro

‘Salam Ramadan,” katanya kepada wartawan sebelum memasuki mahkamah.

Pada 10 Mac lalu, Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.

Bagaimanapun, Farid belum bersedia untuk melepaskan Diana. Kedua mereka mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.

Di ruangan komen-komen portal berita, ramai yang mengagumi tindakan Farid dan mendoakan kedua-duanya menemui jalan pendamaian demi kebahagian keluarga dan anak-anak.

***

Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona

***

Share
Published by
Wan Firdaus