Sejak akhir-akhir ini, isu mencemuh atau mempersenda penampilan fizikal seseorang semakin menjadi-jadi diperkatakan di laman sosial. Perlakuan ejekan tubuh tidak hanya berlaku secara lisan, tetapi juga melalui gajet dan aplikasi. Contohnya, melalui komen di media sosial yang semakin meluas dilakukan hari ini, sejajar perkembangan teknologi masa kini.
Ejekan tubuh didefinisikan sebagai perbuatan memalukan seseorang atau diri sendiri melalui ejekan dan kritikan terhadap bentuk tubuh, warna kulit, penampilan, pekerjaan serta kekurangan dialami mereka.
Antara selebriti yang berhadapan dengan isu body shaming baru-baru ini ialah selebriti ternama Indonesia Bunga Citra Lestari atau BCL.
Tular di media sosial mengaitkan perubahan fizikal dan perutnya yang sedikit buncit sehingga isu ini menimbulkan fitnah dan diperbesar-besarkan sehingga mengheret dirinya mempunyai hubungan dengan rakan selebriti penyanyi Ariel Noah.
Mengakui terkilan dengan dakwaan tidak berasas tersebut, penyanyi berstatus ibu tunggal itu menjelaskan, isu ‘body shaming’ sebegitu memberi impak terhadapnya yang ternyata sedih dan tidak seharusnya tercetus. Bagi Bunga, andaian tersebut tidak adil terutama datangnya dari kalangan individu yang tidak mengenalinya secara peribadi.
“Sejujurnya saya sedih dan sakit hati apabila menjadi mangsa ‘body shaming’ hanya kerana perut kelihatan buncit daripada biasa.
“Sama seperti orang lain, saya juga makan. Semua ini normal terutama untuk orang yang suka makan tengah malam,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar penganjuran Konsert BCL Blossom Intimate di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur (KLCC) semalam.
Meskipun dirinya sering menjadi mangsa kecaman apatah setelah kehilangan suami tercinta, penyanyi yang popular menerusi lagu Wanita Terbahagia itu tetap sedar bahawa bukan semua pihak memahami ‘masalah tubuh badan’ yang sering dialami oleh kaum wanita.
“Tidak dinafikan setiap wanita akan berhadapan dengan masalah perut buncit apabila datang bulan dan saya juga tidak terkecuali dari berhadapan dengan situasi yang sama. Jadi, bila isu ini timbul, saya tidak boleh hendak salahkan sesiapa kerana mungkin sudut gambar itu diambil juga mempengaruhi keadaan postur tubuh.
Saya lebih selesa untuk berdiam diri dari menjawab pertanyaan yang tidak masuk akal,” ujar Bunga yang turut berkongsi dengan rakan media perasaannya tatkala dikaitkan dengan isu yang boleh menjatuhkan fitnah itu.
“Namun, saya kecewa apabila masalah perut buncit ini dikaitkan dengan hal tidak enak terutama bersama rakan baik iaitu Ariel.
Tambah Bunga yang gembira dapat pulang ke ‘rumah keduanya’ setelah hampir 2 tahun tidak kembali ke Kuala Lumpur, dia juga belajar untuk menerima bentuk tubuhnya seadanya dan enggan membiarkan perkara negatif membelenggu dirinya.
“Jika tiga tahun kebelakangan ini saya sangat kurus padahal makan banyak tetapi bila nampak berisi, orang lemparkan pula tuduhan lain pula. Saya belajar untuk menerima kelebihan dan kekurangan diri sendiri dan tidak mahu rasa murung kerana tekanan daripada pihak luar. Semua ini juga boleh terjadi kerana faktor umur yang semakin meningkat,” jelas Bunga yang menginjak usia 39 tahun.
“Harapnya isu ‘body shaming’ ini terhapus dan masyarakat akan menjadi lebih terbuka dan membuang sikap suka mencipta spekulasi sendiri berdasarkan perubahan bentuk fizikal seseorang,” katanya lagi.
BCL bakal mengadakan konsert di Kuala Lumpur pada 27 Januari 2023 bertempat di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Konsert Blossom-Bunga Citra Lestari merupakan konsert sulung Bunga selepas pandemik COVID-19 melanda dunia.
Bunga ternyata teruja untuk menghiburkan para peminat di Malaysia dan menganggap konsert ini sebagai hadiah dan apresiasi buat semua yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan untuk dirinya sekeluarga terutamanya selepas suami tercinta, Ashraf Daniel Mohamad Sinclair kembali ke Rahmatullah pada Februari 2020.
Buat semua penggemar BCL, jangan lupa saksikan Konsert Blossom-Bunga Citra Lestari pada 27 Januari 2023 akan datang. Tiket boleh didapati di www.ticket2u.com.my mulai 11.11.22.
Untuk rekod, BCL mendirikan rumah tangga bersama Ashraf atau nama sebenarnya Ashraf Daniel Mohamed Sinclair pada 8 November 2008 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Noah Aidan Sinclair, 11.
Namun bahtera rumah tangga mereka dikejutkan dengan pemergian Ashraf secara mengejut pada 18 Februari 2020 akibat serangan jantung sekitar pukul 4 pagi di rumahnya di Pejaten Barat, Jakarta Selatan, Indonesia. Sejak kematian suami, BCL kerap digosipkan menjalin hubungan istimewa dengan beberapa selebriti lelaki antaranya termasuklah Ariel, Afgan dan Reza Rahadian.
This website uses cookies.