Elemen mewah menjadi paksi utama kepada kegemilangan Melium Group yang bertaraf antarabangsa. Ia sentiasa komited dalam menawarkan pengalaman membeli belah yang terbaik di samping menyediakan pelbagai pilihan premium bagi lebih 100 jenamanya yang bertaraf dunia termasuk butik-butik eksklusif.
Butik flagship Lanvin pertama di Pavilion Kuala Lumpur menampilkan rangkaian busana eksklusif sesuai untuk semua acara bermula daripada formal sehinggalah ke kasual, tidak kira usia. Pastinya jenama tersohor ini bakal melengkapkan gaya sang maskulin yang bercita rasa moden.
KOLEKSI
Bukan sekadar rekaannya yang unik malah koleksi warnanya juga memukau pandangan. Apa yang penting jenama terkenal ini sentiasa mengekalkan standard material bagi menjaga kualiti serta integriti produk.
Di bawah peranan kreatif Lucas Ossendrijver, Lanvin mengilhamkan gaya buat lelaki yang kosmopolitan serta sofistikated. Nilai estetika yang eksklusif cukup sebati dengan jenama Lanvin di mana ia menyerlahkan aura gaya seorang lelaki kota. Segala keperluan fesyen lelaki boleh diperoleh di sini termasuk koleksi sut, kemeja, jaket, seluar serta aksesori kecil.
DEKORASI
Butik berkeluasan sekitar 2,040 meter persegi ini menampilkan perincian yang mencerminkan tradisi Perancis iaitu tempat jenama Lanvin diasaskan. Melihat kepada dekorasinya, Lanvin ternyata punya trend mengikut cita rasa masa kini.
Elemen mewah dipadukan bersama sentuhan minimalis moden mencetuskan sebuah keseimbangan yang cukup harmoni. Hiasan dalaman yang berteraskan kontemporari menyerlahkan lagi nilai eksklusif butik ini.
Berkonsepkan gaya hidup moden yang serba ringkas, butik Lanvin menyuntik elemen segar serta santai buat para pengunjungnya. Penggunaan rona hitam khususnya pada kerangka pintu masuk butik menyerlahkan elemen eksklusif dan maskulin. Dekorasinya juga bercirikan rekaan yang inovatif dan artistik yang disenangi ramai.
Tersusun kemas setiap koleksi ready-to-wear buat tatapan para pengunjung. Turut dilengkapi dengan lampu chandelier yang menjadi antara fokus utama di butik Lanvin. Manakala susun atur produknya yang rapi memberikan keselesaan. Berkunjunglah ke butik Lanvin bagi merasai pengalaman beli-belah yang eksklusif di samping layanan terbaik. AMY MOHD
This website uses cookies.