Kagum dengan semangat anak muda ini. Walau sudah mempunyai kerjaya yang menjamin masa depan namun tetap rajin berusaha mencari kemahiran dan menambah pendapatan. Tekad menjadi wanita yang serba boleh dan mahu menjadi inspirasi kepada keluarga serta masyarakat, keberanian Nur Atiqah Rozali mencabar potensi diri untuk bergelar ahli perniagaan patut diberikan pujian.
Meniti usia 31 tahun, Nur Atiqah atau mesra disapa Iqa dilahirkan pada 6 Mac 1990 di Kuala Lumpur. Anak sulung daripada tiga beradik dan satu-satunya anak perempuan dalam keluarga ini merupakan graduan Perguruan di Institut Perguruan Kampus Keningau, Sabah dan ibu kepada dua cahaya mata.
“Saya berasal dari Batu Pahat, Johor. Bersekolah rendah dan menengah di daerah Parit Sulong, Johor kemudian melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Perguruan. Saya bukan berasal dari keluarga yang senang. Ibu bapa berniaga secara kecil-kecilan untuk menyara kami sekeluarga. Dari berniaga kain untuk buat baju, sampai jual produk kesihatan pun mak ayah buat.
Sebagai anak sulung dalam keluarga, saya cuba sedikit sebanyak untuk membantu mereka. Alhamdulillah, sekarang saya bekerja sebagai pendidik yang mengajar subjek Bahasa Melayu dan Sejarah di salah sebuah sekolah di daerah Yong Peng dan telah berkhidmat selama 7 tahun. Suami pula kerja sebagai pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Yong Peng dan kami dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nur Ameena Humaira dan Norameen Mukmin.”
Mengimbau perjalanan awal sebagai pengusaha kolam ternakan ikan, Iqa mengakui tidak pernah terlintas untuk menjadi usahawan akuakultur. Segalanya bermula selepas kedua-dua ibu bapa berpisah dan membuatkan dia lebih tabah mendepani masa depan demi keluarga tersayang.
“Idea untuk jadi usahawan tercetus pada tahun 2019. Waktu itu ibu berpindah ke Negeri Sembilan selepas berpisah dengan ayah. Di sini bermulalah titik kesedihan buat kami adik-beradik. Namun, kami perlu terima dan reda dengan perancangan Allah SWT.
Dari situ timbul hasrat untuk saya bantu ibu dengan mengusahakan tanah pusaka miliknya yang telah lama terbiar. Terdetik untuk berbakti kepada tanah dan saya buat keputusan tersebut atas faktor geografi yang menarik dan bersesuaian.
Ads
Maka tercetuslah idea untuk memulakan bidang akuakultur ini. Tak lupa juga, galakan daripada suami dan ibu yang menjadi faktor utama saya menceburi bidang ini,” telus isteri Noralim Azhim ini.
Menjadikan Saidatina Khadijah Khuwailid sebagai sumber inspirasi dalam perniagaan, Iqa cukup bersemangat mendalami selok-belok dunia akuakultur walau tidak mempunyai pengetahuan yang luas mengenai bidang berkenaan.
“Banyak perkara yang boleh dipelajari tentang cara Khadijah berniaga yang boleh dicontohi pada zaman moden ini. Beliau sangat bijak mengembangkan harta selain sangat pandai berniaga walaupun pada ketika itu, masyarakat Arab memandang rendah pada kaum wanita yang berniaga.
Begitu juga pada zaman ini, wanita perlu berani mencuba dan bersaing dengan golongan lelaki. Pada zaman moden ini, semua wanita yang berjaya telah menjadi sumber inspirasi buat saya. Ramai wanita di luar sana yang saya kagumi dan ingin contohi keperibadian dan kehebatan mereka dalam perniagaan.”
Ads
Tambahnya lagi, “Tak dinafikan, dua bidang ini merupakan bidang yang berbeza. Saya beranggapan bahawa saya tidak boleh terlalu selesa dengan pencapaian yang ada. Menjadi guru merupakan profesion yang mulia di mana saya perlu sentiasa komited dalam mencurahkan ilmu kepada anak bangsa.
Saya amat menyayangi profesion perguruan ini dan dalam masa yang sama saya juga ingin menjadi guru yang mempunyai pelbagai kemahiran yang lain. Setiap orang berhak untuk belajar pelbagai bidang kemahiran, sama juga seperti saya yang ingin belajar dengan lebih mendalam lagi mengenai bidang akuakultur ini.
Saya juga menganggap bahawa bidang penternakan ikan merupakan ‘terapi diri’ di mana saya dapat mendekatkan diri dengan alam flora dan fauna. Selain ia juga membuahkan hasil suatu hari nanti. InshaAllah. Setiap orang mempunyai keupayaan dan kecenderungan yang tersendiri yang perlu kita cungkil untuk memperkasakan diri.”
Status guru dan peranan Iqa sebagai anak sulung dalam keluarga telah membentuk dirinya menjadi seorang wanita yang matang dan berfikiran jauh. Sedar risiko yang perlu dihadapi apabila menceburi bidang keusahawaan, Iqa tanpa berselindung mengakui berdepan dugaan sebaik mengusahakan kolam ternakan ikan.
Ads
“Dalam perniagaan sudah tentu ada cabaran tersendiri. Antara yang tidak dapat dilupakan apabila saya mengalami kerugian sewaktu proses menukar ikan ke dalam sangkar. Proses penukaran ini mengakibatkan ikan ‘stres’ dan banyak yang mati. Ini pengalaman baru buat saya.
Selain itu, situasi pandemik Covid-19 ini juga membataskan pergerakan saya untuk memantau perkembangan ternakan. Sepatutnya tiap minggu saya akan berulang alik dari Johor ke Negeri Sembilan untuk mengendalikan proses ternakan ini tapi saya tak dapat rentas negeri. Sudahnya, ibu yang terpaksa kawal selia,” dedah Iqa yang mengusahakan ternakan ikan di Linggi, Negeri Sembilan.
Bercerita mengenai impian yang diinginkan dalam tempoh 10 tahun akan datang, dengan nada semangat Iqa memberitahu, “Jujur saya katakan, saya masih belum berjaya dan masih jauh lagi perjalanan yang perlu saya tempuh. Banyak yang perlu dipelajari dan perbaiki dalam bidang ini. Tapi dalam masa 10 tahun akan datang, saya ingin memperluas lagi pasaran ikan tilapia ke seluruh Malaysia.
Buat masa sekrang, saya mensasarkan pasaran ke kawasan tempatan seperti di kedai-kedai makan, kedai runcit dan pasaraya terdekat. InshaAllah jika diizinkan saya ingin membuka dan memberi peluang pekerjaan kepada sesiapa sahaja yang berminat dalam penternakan ini. Terutamanya kaum wanita.
Dalam masa sama, membantu mereka yang memerlukan. Saya ingin terus berbakti kepada tanah milik Allah Yang Esa. Mungkin mencuba jadi petani yang berjaya pula.”
Semoga segala impian Iqa dipermudahkan kelak dan semangat ibu ini dapat dijadikan inspirasi kepada lebih ramai kaum wanita di luar sana.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kenyang perut Uzair Haqimy, hari-hari dapat makan air tangan Elisya Sandha! Rajin masuk dapur dan masak macam-macam menu tradisi, pelakon cantik ini bukan saja berbakat dalam dunia lakonan. Bahkan bakat memasak Elisya juga makin diketahui ramai.
Akui banyak belajar ilmu masakan dengan ibu mentua, Sheila Rusly, ramai yang melihat gaya masakan dan hidangan Elisya tidak banyak beza dengan pengarah terkenal itu.
Malah, tiap kali Elisya berkongsi video masakan pasti ibu mentua memuji usaha menantu kesayangannya ini. Bertuah Elisya!
Terbaharu sempena Ramadan, adik kepada Fasha Sandha ini berkongsi video masakan di media sosial.
Walau tak gemar makanan tersebut tapi demi suami dia tetap cuba masak juadah kegemaran Haq berkenaan untuk berbuka puasa.
“First time masak telur itik favorite suami, kita tak minat telur itik. Nervous juga nak masak. Thank you ma (Sheila Rusly) bagi telur itik. Selamat berbuka semua!”
Sehingga kini, video masakan telur itik Elisya hampir mencecah 500 ribu tontonan.
Selain itu, dia turut berkongsi beberapa video masakan buka puasa tahun lepas.
Rata-rata peminat kagum dengan semangat Elisya yang cukup jaga ‘perut’ suami. Bahkan Haq juga meninggalkan komen di media sosial isteri tercinta dan memuji ratu hatinya.
Pelakon berusia 25 tahun ini mendirikan rumah tangga dengan anak Sheila Rusly pada 21 Ogos 2021. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Bunga Elhaq.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kata orang, masakan ibu pengikat kasih sayang. Dan kerana seni memasak itu sering dikaitkan dengan wanita, Majalah Nona meninjau kemahiran wanita VIP di dapur ketika mereka menyiapkan hidangan kegemaran keluarga.
Meskipun majoriti wanita kenamaan mempunyai pembantu atau tukang masak sendiri, namun kemahiran memasak mereka juga tidak kurang hebatnya. Seperti wanita lain, golongan rich and famous ini juga mewarisi bakat memasak dari ibu masing-masing, malah ada yang sanggup menyertai kelas memasak di luar negara demi minat di dada.
Sesekali tengok personaliti VIP Nona menyinsing lengan baju, menumbuk cili, menggaul rendang dan tomyam… aduh, terangkat selera dibuatnya! Banyak juga petua dan tip yang dikongsi, selain kesempatan meninjau dekorasi dapur mereka yang serba mewah.
Rancangan video yang diterbitkan oleh Nu Ideaktiv Sdn Bhd ini mula bersiaran setiap bulan di saluran YouTube dan Facebook rasmi Majalah Nona. Menariknya, penonton dapat mendekati sisi sebenar wanita kenamaan yang dipaparkan, inspirasi gaya mereka di dapur berbanding hanya berpenampilan cantik dan elegan semata-mata.
Video masakan berdurasi sekitar 10-15 minit ini dihoskan oleh Editor Pengurusan Nona, Kiffy Razak secara santai dan bersahaja. Beberapa personaliti VIP yang pernah ditampilkan adalah YM Che Puan Temenggong Perlis, Datin Seri Diraja Farinawati, YM Tengku Datin Seri Zawyah Tengku Idham dan Puan Seri Nooraisha Farizan.
Selama 33 tahun di pasaran, jenama majalah gaya hidup berbahasa Melayu, Nona, terus menjadi pilihan wanita di Malaysia. Dari helaian majalah ke layar digital, Nona versi online kini terus melengkapi lifestyle wanita moden. Layari YouTube Majalah Nona untuk pelbagai lagi video menarik dan menginspirasikan.
Selamat menonton!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Setelah bertahun-tahun mencuba nasib, akhirnya impian kami untuk menemu bual bekas Timbalan Perdana Menteri wanita pertama Malaysia, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Ismail tercapai.
Mengetengahkan topik ‘COVID-19: Dugaan Kekuatan & Kesabaran Wanita’, siapa sangka begitu banyak pengalaman peribadi dan sisi ketabahan wanita berusia 69 tahun itu yang berjaya didedahkan.
Meskipun tidak mampu bertentang mata, sekadar merenung kamera dan berbalas senyuman secara online, namun kehangatan suara wanita hebat ini jelas meninggalkan kenangan terindah di hati kami.
Kelembutan wajah Dato’ Seri Dr Wan Azizah
Perjuangan Dato’ Seri Dr Wan Azizah disamping suami tercinta sering menjadi inspirasi
Menerusi sesi Nona On Air yang dipancarkan secara langsung melalui saluran media sosial Facebook dan YouTube rasmi, saya dan Editor Pengurusan Majalah Nona, Kiffy Razak, buat julung kalinya berpeluang menemu bual beliau.
Cukup up-close dan personal, ikuti video penuh Nona On Air bersama Dato’ Seri Dr Wan Azizah ini…
KETABAHAN
Dato’ Seri Dr Wan Azizah mendapat pendidikan awal di Alor Setar sebelum meneruskan pengajian di Kolej Tunku Kurshiah, Seremban. Beliau kemudiannya diterbangkan ke Dublin, Ireland dan seterusnya menggenggam ijazah dalam bidang Obstetrik & Ginekologi.
Sekembalinya ke Malaysia, Dr Wan Azizah dilantik sebagai pakar oftalmologi di Hospital Kuala Lumpur dan di Hospital Universiti. Tahun 1993, wanita hebat ini meletak jawatan apabila suaminya dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Pada pilihan raya 2018, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tetapi hanya bertahan selama dua tahun apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (ketika itu) meletak jawatan pada Februari 2020.
Banyak pengalaman Superwoman ini yang dikongsikan dengan penonton termasuk episod semasa muda membesarkan enam cahaya mata. Kekuatan seorang ibu bertambah apabila melihatkan anak-anak – Nurul Izzah, Nurul Hana, Nurul Nuha, Mohd Ihsan, Nurul Iman dan Nurul Ilham tidur bergelimpangan setiap kali beliau pulang dari kerja.
MASA DEPAN WANITA
Tidak ketinggalan, wanita yang pernah menggalas jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ini juga turut memandang serius isu usahawan SME yang terkesan teruk akibat pandemik.
Ikuti perkongsian dan cadangan bernas Dato’ Seri Dr Wan Azizah dalam video ini…
Mengakhiri sesi selama hampir 1 jam ini, Dato’ Seri Dr Wan Azizah selaku Ahli Parlimen Pandan turut sporting memenuhi permintaan penonton yang ingin melihat beliau bertutur Bahasa Inggeris dalam aksen Irish.
Kemaruk beratur berjam-jam demi merasa makanan viral, golongan remaja dan orang muda yang berbadan besar di Malaysia lebih cepat alami kerosakan buah pinggang.