Kagum dengan semangat anak muda ini. Walau sudah mempunyai kerjaya yang menjamin masa depan namun tetap rajin berusaha mencari kemahiran dan menambah pendapatan. Tekad menjadi wanita yang serba boleh dan mahu menjadi inspirasi kepada keluarga serta masyarakat, keberanian Nur Atiqah Rozali mencabar potensi diri untuk bergelar ahli perniagaan patut diberikan pujian.
Meniti usia 31 tahun, Nur Atiqah atau mesra disapa Iqa dilahirkan pada 6 Mac 1990 di Kuala Lumpur. Anak sulung daripada tiga beradik dan satu-satunya anak perempuan dalam keluarga ini merupakan graduan Perguruan di Institut Perguruan Kampus Keningau, Sabah dan ibu kepada dua cahaya mata.
“Saya berasal dari Batu Pahat, Johor. Bersekolah rendah dan menengah di daerah Parit Sulong, Johor kemudian melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Perguruan. Saya bukan berasal dari keluarga yang senang. Ibu bapa berniaga secara kecil-kecilan untuk menyara kami sekeluarga. Dari berniaga kain untuk buat baju, sampai jual produk kesihatan pun mak ayah buat.
Mengimbau perjalanan awal sebagai pengusaha kolam ternakan ikan, Iqa mengakui tidak pernah terlintas untuk menjadi usahawan akuakultur. Segalanya bermula selepas kedua-dua ibu bapa berpisah dan membuatkan dia lebih tabah mendepani masa depan demi keluarga tersayang.
“Idea untuk jadi usahawan tercetus pada tahun 2019. Waktu itu ibu berpindah ke Negeri Sembilan selepas berpisah dengan ayah. Di sini bermulalah titik kesedihan buat kami adik-beradik. Namun, kami perlu terima dan reda dengan perancangan Allah SWT.
Dari situ timbul hasrat untuk saya bantu ibu dengan mengusahakan tanah pusaka miliknya yang telah lama terbiar. Terdetik untuk berbakti kepada tanah dan saya buat keputusan tersebut atas faktor geografi yang menarik dan bersesuaian.
Maka tercetuslah idea untuk memulakan bidang akuakultur ini. Tak lupa juga, galakan daripada suami dan ibu yang menjadi faktor utama saya menceburi bidang ini,” telus isteri Noralim Azhim ini.
Menjadikan Saidatina Khadijah Khuwailid sebagai sumber inspirasi dalam perniagaan, Iqa cukup bersemangat mendalami selok-belok dunia akuakultur walau tidak mempunyai pengetahuan yang luas mengenai bidang berkenaan.
“Banyak perkara yang boleh dipelajari tentang cara Khadijah berniaga yang boleh dicontohi pada zaman moden ini. Beliau sangat bijak mengembangkan harta selain sangat pandai berniaga walaupun pada ketika itu, masyarakat Arab memandang rendah pada kaum wanita yang berniaga.
Begitu juga pada zaman ini, wanita perlu berani mencuba dan bersaing dengan golongan lelaki. Pada zaman moden ini, semua wanita yang berjaya telah menjadi sumber inspirasi buat saya. Ramai wanita di luar sana yang saya kagumi dan ingin contohi keperibadian dan kehebatan mereka dalam perniagaan.”
Tambahnya lagi, “Tak dinafikan, dua bidang ini merupakan bidang yang berbeza. Saya beranggapan bahawa saya tidak boleh terlalu selesa dengan pencapaian yang ada. Menjadi guru merupakan profesion yang mulia di mana saya perlu sentiasa komited dalam mencurahkan ilmu kepada anak bangsa.
Saya amat menyayangi profesion perguruan ini dan dalam masa yang sama saya juga ingin menjadi guru yang mempunyai pelbagai kemahiran yang lain. Setiap orang berhak untuk belajar pelbagai bidang kemahiran, sama juga seperti saya yang ingin belajar dengan lebih mendalam lagi mengenai bidang akuakultur ini.
Saya juga menganggap bahawa bidang penternakan ikan merupakan ‘terapi diri’ di mana saya dapat mendekatkan diri dengan alam flora dan fauna. Selain ia juga membuahkan hasil suatu hari nanti. InshaAllah. Setiap orang mempunyai keupayaan dan kecenderungan yang tersendiri yang perlu kita cungkil untuk memperkasakan diri.”
Status guru dan peranan Iqa sebagai anak sulung dalam keluarga telah membentuk dirinya menjadi seorang wanita yang matang dan berfikiran jauh. Sedar risiko yang perlu dihadapi apabila menceburi bidang keusahawaan, Iqa tanpa berselindung mengakui berdepan dugaan sebaik mengusahakan kolam ternakan ikan.
“Dalam perniagaan sudah tentu ada cabaran tersendiri. Antara yang tidak dapat dilupakan apabila saya mengalami kerugian sewaktu proses menukar ikan ke dalam sangkar. Proses penukaran ini mengakibatkan ikan ‘stres’ dan banyak yang mati. Ini pengalaman baru buat saya.
Selain itu, situasi pandemik Covid-19 ini juga membataskan pergerakan saya untuk memantau perkembangan ternakan. Sepatutnya tiap minggu saya akan berulang alik dari Johor ke Negeri Sembilan untuk mengendalikan proses ternakan ini tapi saya tak dapat rentas negeri. Sudahnya, ibu yang terpaksa kawal selia,” dedah Iqa yang mengusahakan ternakan ikan di Linggi, Negeri Sembilan.
Bercerita mengenai impian yang diinginkan dalam tempoh 10 tahun akan datang, dengan nada semangat Iqa memberitahu, “Jujur saya katakan, saya masih belum berjaya dan masih jauh lagi perjalanan yang perlu saya tempuh. Banyak yang perlu dipelajari dan perbaiki dalam bidang ini. Tapi dalam masa 10 tahun akan datang, saya ingin memperluas lagi pasaran ikan tilapia ke seluruh Malaysia.
Buat masa sekrang, saya mensasarkan pasaran ke kawasan tempatan seperti di kedai-kedai makan, kedai runcit dan pasaraya terdekat. InshaAllah jika diizinkan saya ingin membuka dan memberi peluang pekerjaan kepada sesiapa sahaja yang berminat dalam penternakan ini. Terutamanya kaum wanita.
Dalam masa sama, membantu mereka yang memerlukan. Saya ingin terus berbakti kepada tanah milik Allah Yang Esa. Mungkin mencuba jadi petani yang berjaya pula.”
Semoga segala impian Iqa dipermudahkan kelak dan semangat ibu ini dapat dijadikan inspirasi kepada lebih ramai kaum wanita di luar sana.
This website uses cookies.