Sebagaimana yang kita ketahui Dr. Soo Wincci sedang memburu PhD keduanya dalam jurusan Artistik Produksi di University of Polytechnic di Sepanyol. Berada di negara yang mendapat jolokan sebagai negara Matador ketika situasi pendemik ini memberi cabaran besar buat wanita yang pernah dinobatkan sebagai Miss World Malaysia 2008 ini.
Menurut Dr Soo Wincci ketika dihubungi, Sepanyol sedang menjalani lockdown dan kes jangkitan COVID-19 di sana cecah 10 ribu kes setiap hari. “Di bumi Sepenyol ini masih lockdown. Situasi di sini agak buruk dengan kes harian yang mencapai lima angka.
Bila tak boleh keluar rumah, aktiviti saya di sini terbatas dan apa yang boleh saya buat adalah masak, menulis, belajar dan tulis lagu. Sebagai seorang yang sedang menyiapkan PhD, saya menghadapi cabaran apabila terpaksa menjalani online class. Belajar secara atas talian ini membuat kerja menjadi dua kali ganda.
Bayangkan ketika membuat PhD pertama dulu pun memang susah, ini pula dengan cabaran situasi yang tak dijangka ini. Menyiapkan projek PhD dalam bidang muzik dan artistik bukan mudah. Perlu banyak berbincang dengan guru. Tambahan pula semuanya dalam bahasa Sepanyol. Namun, semua cabaran ini saya anggap hanya ujian untuk mengejar impian saya,” tutur Dr. Soo Wincci tentang cabaran PhD keduanya.
Tambah Dr. Soo Wincci, melalui situasi begini sendirian di Sepanyol kadang-kala membuatkan semangatnya ‘tergelincir’. “Banyak kali juga saya putus asa dan balik Malaysia. Tapi saya faham setiap yang berlaku pasti ada sebabnya. Saya perlu pulihkan semangat kembali untuk habiskan pengajian ini.
Saya terpaksa menunggu selama 10 tahun untuk belajar di Berklee College of Music di Valencia kampus Sepanyol ini. Kolej ini merupakan impian semua ahli muzik untuk masuk belajar, tak kan saya nak berhenti separuh jalan,” ucap Dr. Soo Wincci yang dijadualkan pulang ke Malaysia bulan April nanti.
Kalau belajar online, shopping pun online.
Saksi Kepayahan IBU Pejuang Kanser Besarkan 3 Anak Sendirian, MADAMMU Bangkit Bergelar JUTAWAN
Siapa yang tak mahu jadi jutawan dan kalau ditanya dengan anak kecil pun ada di antara mereka yang sudah memegang impian untuk menjadi kaya. Namun, tidak semua orang beruntung dilahirkan dalam dulang emas, celik-celik mata sudah disarungkan baju berjenama dan mampu beli apa sahaja tanpa berfikir panjang.
Walau bagaimanapun, menjadi jutawan atas hasil usaha sendiri dan melalui pelbagai pengalaman hidup untuk mencapai impian bergelar jutawan adalah kisah inspirasi yang wajar dijadikan teladan. Langkah yang diatur oleh pengasas produk kosmetik Noir Health & Beauty, Eriyca Baiduri atau lebih glamor disapa Madammu ini bergelar jutawan kosmetik benar-benar menyuntik inspirasi.
“Kalau masa kecil dulu saya tak pernah terfikir untuk bergelar jutawan tapi yang saya tahu nak jadi orang kaya. Saya bukan datang dari keluarga yang senang. Saya dibesarkan oleh seorang ibu tunggal sejak usia 2 tahun yang susah payah nak besarkan anak seramai 3 orang. Ditambah pula ibu saya merupakan pejuang kanser tahap 4.
Masa kecil saya dibesarkan oleh seorang dengan nenek di kampung kerana ibu belum mampu nak bawa kami adik-beradik mengikutnya di Kuala Lumpur. Melihat keadaan saya dijaga oleh nenek membuatkan orang kampung berkata macam-macam. Ada yang kata saya anak terbiar, budak tak pandai dan tak ada masa depan. Kata-kata ini membuatkan saya jadi seorang pendiam dan selalu rasa rendah diri.
Walaupun kata-kata orang kampung ini mengganggu emosi namun, di sebaliknya tersimpan seribu hikmah kerana menjadikan saya seorang wanita yang bercita-cita besar. Walaupun melalui episod duka ketika zaman kecil tapi saya benar-benar berterima kasih dengan pengalaman silam yang menjadikan siapa saya sekarang,” tutur Madammu.
JUTAWAN
Siapa sangka daripada seorang gadis kampung yang bercita-cita tinggi, Madammu berjaya meletakkan dirinya sebagai Jutawan hanya dalam masa tiga tahun mengemudikan bisnesnya. “Sebenarnya nak jadi jutawan ni tak susah manapun. Semua orang ada impian nak jadi jutawan tapi adakah kita ada tindakan untuk jadi jutawan. Tiga perkara yang boleh membantu kita menjadi jutawan iaitu apabila mempunyai bimbingan yang betul, ilmu yang betul dan tindakan yang tepat untuk menjadi jutawan.
Bercita-cita nak jadi jutawan tapi tidak punya tindakan untuk mencapai impian bergelar jutawan tak jadi juga. Biasanya kita kena ada sesuatu yang menolak baharu ada tindakan, kan? Mahu menukar kehidupan masa lalu adalah salah satu tindakan yang melonjak saya untuk jadi seperti sekarang,” tutur wanita lulusan Diploma dalam Penjagaan Diri dan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa ini.
Melakar kejayaan dalam perniagaan sehingga terbinanya sebuah wisma telah membuatkan wanita yang berasal dari Terengganu ini sebak. “Alhamdulilah sekarang kami dah berpindah ke Wisma Noir. Asalnya dulu Noir bermula dari rumah dengan modal sebuah telefon bimbit sahaja. Kemudian menumpang di pejabat milik suami dan selepas beberapa bulan dapat menyewa shop lot tingkat 1. Selepas 2 tahun, kini Noir mampu memiliki wisma sendiri di Semi-D warehouse 4 tingkat,” jelas ibu yang membesarkan tiga orang anak tiri ini dengan penuh kasih sayang.
SOKONGAN SUAMI
“Saya bersyukur kerana ditemukan jodoh dengan suami yang sangat menyokong. Mula berniaga dengan menjadi agen dropship menimbulkan rasa seronok berniaga sehingga mula merancang ada produk sendiri. Saya bermula dari bawah tanpa menggunakan modal yang besar. Fasa awal perniagaan ini saya melakukan semua proses daripada penghantaran, pembungkusan, penstoran dan sebagainya.
Pendek kata ketika itu saya adalah majikan dan saya juga adalah pekerjanya. Operasi perniagaan juga bermula dari rumah sahaja,” kongsi Madammu yang menerima hasil jualan pertama sebanyak RM4000 dan terus meningkat sehingga mempunyai hampir 20,000 agen di bawah kelolaannya. Bukan itu sahaja malah boleh melihat wajahnya terpampang di 100 buah billboard seluruh negara. Siapa sangkakan, benar kata orang di mana ada kemahuan di situ pasti ada jalan.
Berjaya Genggam Kunci Rumah Impian Di Bulan Kelahiran, RUZAINI JAMIL Luah Kesyukuran
Selain kasih sayang yang dicurahkan, tiada yang lebih membahagiakan bagi seorang lelaki bernama suami apabila dapat memberi kehidupan yang selesa dan sempurna buat isteri dan anak tercinta.
Begitulah perasaan yang dikongsi oleh pereka fesyen duo ternama (Rizman Ruzaini), Ruzaini Jamil. Memuat naik satu posting di akaun Instagram baru-baru ini yang memaparkan diriya bersama isteri dan anak bergambar di hadapan kediaman baru mereka berupa sebuah banglo 3 tingkat. Cantik dan sangat mewah!
Lebih bermakna, Ruzaini berjaya menggenggam kunci kediaman impian pada bulan kelahirannya yang jatuh pada bulan Hijrah.
“Alhamdulillah pada hari ini 07.08.2022 maka genaplah umur saya yang Allah SWT kurniakan hingga ke hari ini.
“Dalam banyak-banyak rezeki yang Allah kurniakan, tahun ini merupakan antara rezeki paling besar yang saya terima dariNYA iaitu dapat memiliki sebuah rumah impian untuk dijadikan syurga buat isteri dan anak saya juga tak lupa pada ibu saya.
Menurut Ruzaini, sebelum memiliki kediaman mewahnya itu pelbagai cabaran dihadapi bersama isteri.
“Pelbagai dugaan dan cabaran juga saya dan isteri hadapi sebelum dapat menggenggam kunci rumah ini. Dapat kunci betul-betul pada bulan Hijrah, dan pada bulan kelahiran saya.
Menurut Ruzaini, memiliki rumah impian juga antara salah satu janji terhadap wali isterinya untuk menyediakan sebuah ‘syurga’ buat isteri dan anak.
“Atas doa dari ibu, keluarga dan teman-teman kami, Alhamdulillah dapatlah juga saya sempurnakan janji-janji yang saya baca dihadapan wali isteri saya dahulu, untuk menyediakan tempat berteduh dan sebuah syurga untuknya dan anak kami.
“Betullah orang cakap anak itu adalah rezeki. Bukan hanya rezeki, malah pembuka jalan untuk setiap rezeki yang datang.
“Buat semua yang wish dan mendoakan saya sempena harijadi saya, berbanyak-banyak terima kasih. Semoga doa-doa kalian berbalik pada empunya badan juga…Amin.”
Ruzaini dan isterinya, Nurul Hidayati Yahaya bergelar suami isteri pada Februari 2016. Pasangan bahagia ini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang sangat adoreable iaitu Rahil Ruzaini yang kini berusia satu tahun.
Isterinya yang berkelulusan Ijazah Sarjana Ekonomi kini bertugas sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik di sebuah Kementerian.
Semoga Ruzaini dan isteri kekal bahagia serta sukses dalam kerjaya masing-masing. Semoga jenama tersohor Rizman Ruzaini kekal unggul di persada seni fesyen tanahair dan antarabangsa.
Kredit: Instagram Ruzaini Jamil
“Terlupa Ambil Anak Dari Taska Kerana Sibuk Bekerja” MUHAINI MAHMUD Pecah Rahsia Tubuhkan Kiddocare!
Dari syarikat korporat ke dunia penjagaan kanak-kanak, Muhaini Mahmud akhirnya menemui kerjaya yang diimpikan. Bersandarkan sifat keibuan yang tebal, wanita jelita berusia 43 tahun ini bangkit bersama rakan kongsi, Nadira Yusoff mengasaskan Kiddocare Sdn Bhd. Misi mereka jelas, mahu membantu menangani isu pengasuh di Malaysia dan menjana pendapatan wanita yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Peramah dan menyenangkan. Begitulah personaliti Muhaini ketika pertemuan kami di program MySTEP di The Club, Bukit Utama. Tampil anggun dalam persalinan sut serba putih, Muhaini mesra menyapa penulis sambil menerangkan program latihan team Kiddocare yang sedang berlangsung waktu yang sama.
Kiddocare diasaskan dengan tujuan membantu ibu bapa yang bekerja untuk menjaga anak-anak di rumah menggunakan perkhidmatan pengasuh terlatih dan boleh dipercayai.
“Semuanya bermula apabila Nadira mendapat idea untuk mengasaskan Kiddocare. Secara kebetulan idea tercetus apabila beliau terlupa untuk mengambil anak dari taska kerana terlalu sibuk bekerja. Dia hanya menyedari perkara ini apabila guru taska menelefonnya pada lewat petang.
Saya pula seorang ibu tunggal kepada anak lelaki, Mateen Maliq yang baru berusia setahun waktu itu. Jadi saya sangat memahami keadaan ibu bekerja, terutamanya ibu tunggal yang sentiasa memikirkan anak-anak dan sama ada mereka dijaga dengan baik atau sebaliknya.
Iya, memang susah nak mengimbangi kerjaya dan komitmen dalam satu masa.
Ibu-ibu sebenarnya menghadapi cabaran dan tekanan yang besar apabila bekerja. Mereka mempunyai komitmen tambahan terhadap pekerjaan. Tetapi apabila berlaku sesuatu yang besar berkaitan keluarga, hendak atau tidak mereka terpaksa mengambil cuti sehingga menjejaskan tugas.
Jadi berdasarkan hal ini, timbul idea penubuhan Kiddocare untuk membantu ibu bapa mendapatkan pengasuh yang boleh dipercayai untuk anak-anak mereka sewaktu bekerja.
Selain itu, masa bekerja yang fleksibel dan peluang menjana pendapatan di Kiddocare mampu memperkasakan semula wanita daripada komuniti B40 untuk menyara keluarga.
Kami juga memberi peluang pendapatan kepada wanita yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19 yang lepas. Ada banyak kisah kejayaan mengenai pengasuh kami dan bagaimana Kiddocare telah mengubah kehidupan mereka menjadi lebih baik.” Muhaini
ILMU & LATIHAN
Bercerita isu pengasuh tanpa kelayakan yang banyak menjalankan perkhidmatan mengasuh kanak-kanak, Muhaini pantas menekankan pentingnya ilmu dan latihan kepada bakal pengasuh Kiddocare.
“Kami selalu memberi latihan kepada mereka melalui kursus-kursus dan mengajar kemahiran asas seperti kursus penjagaan kanak-kanak, kursus CPR & Safety serta sebagainya. Malah dalam kerja asuhan mereka pun kami akan buat pemantauan dan penilaian berterusan.
Bukan itu saja. Kami juga akan sering berbincang tentang apa yang baik dan apa yang boleh diperbaiki.
Dengan ini dapat melengkapkan kemahiran mereka bukan sahaja sebagai pengasuh, malah sebagai seorang insan kerana semua kursus ini dikendalikan oleh pakar industri yang berwibawa dan berpengalaman.” Muhaini
Tonton temu bual Nona bersama Nadira Yusoff dan Muhaini Mahmud tentang aspirasi penubuhan Kiddocare untuk ibu bapa Malaysia ni…
Menyelami sejarah kerjaya Muhaini, wanita jelita asal Kuala Lumpur ini rupanya memiliki kelulusan tinggi dan pernah bertugas di syarikat korporat terkemuka Malaysia. “Saya memiliki ijazah dalam Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik. Kemudian saya melanjutkan pengajian pasca siswazah dalam Sains Aktuari di City University di London.
Kerjaya saya bermula dalam sektor korporat dan di sana saya berkhidmat kira-kira 14 tahun. Lebih lima tahun sebagai Perunding Aktuari di The Actuarial Partners dan lebih lapan tahun sebagai Pengarah Hal Ehwal Korporat di The Weststar Group. Saya banyak menimba pengalaman dan itulah yang membantu saya sehingga hari ini untuk menubuhkan Kiddocare.
Pada awal kerjaya saya ketika muda, memang menjadi kebiasaan apabila kita terbiasa mencurahkan segala usaha dan tumpuan kepada kerja supaya boleh mencapai standard hidup yang lebih baik dan maklum jugalah, sektor korporat ini memang penuh dengan cabaran, tekanan dan kerja yang tak habis-habis jadi saya mempunyai jadual kerja yang sangat sibuk dan padat ketika itu.”
****************
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (link)
****************
KEIBUAN
Menjadikan masa bersama si kecil sebagai momen ‘me time’ dan cara menghilangkan stres, Muhaini kebiasaannya suka melancong atau bersantai di rumah dengan anakanda tersayang.
“Selain itu, saya suka melakukan aktiviti fizikal seperti berlari, berbasikal, ‘personal training’ di gym dan bermain golf apabila kerana saya percaya senaman itu bukan sahaja penting untuk tubuh dan kesihatan kita, malah ia berfungsi sebagai penghilang stres. Bila saya melakukan aktiviti-aktiviti tersebut, saya rasa seperti bebanan kerja dan hidup saya teralih sementara.”
Muhaini juga bijak mengagihkan tugas di Kiddocare di antara sesama rakan kongsi. Katanya, mereka akan melihat kepada minat, kecenderungan dan kemahiran masing-masing dalam bisnes.
Misalnya, jika ada sesi bersama pelabur, mungkin yang lebih mahir bercakap dan bersosial akan lebih ‘ke depan’ dan jika ada promosi yang perlu dilakukan melalui laman web atau media sosial pula, yang lebih mahir menulis atau mereka bentuk bahan promosi akan melakukan tugas ini.
“Tetapi apa pun tugas kami berdua, kami sentiasa membincangkan pelan tindakan kami dan kami juga akan saling memberi komen dan cadangan kepada satu sama lain. Di antara kami, ada banyak perbincangan, input dan komen yang diberikan dan kami sering menyelesaikannya bersama-sama.” Muhaini
Kini Kiddocare giat melakukan promosi untuk menarik para pelanggan seperti pakej harga murah, pemberian diskaun dan sebagainya.
Mengakhiri pertemuan, Muhaini turut berkongsi impian mereka.
“Kiddocare juga sering bergandingan dengan pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, swasta dan NGO untuk mencari hubungan kerjasama dan sinergi, dan dengan memaksimumkan pengaruh pihak-pihak ini, kami dapat berkembang dan menyebarkan konsep perniagaan kami kepada jaringan audiens yang lebih besar.
Setakat ini, khidmat asuhan kami meliputi bandar-bandar besar di Malaysia tetapi kami menyasarkan supaya khidmat Kiddocare boleh dicapai di mana-mana sahaja di Malaysia. Itulah yang kami ingin usahakan.
Dalam pada itu, kami juga memasang niat untuk berkembang ke negara-negara jiran juga kerana konsep perniagaan kami yang unik ini saya rasa ada potensi untuk dimajukan sebagai suatu konsep yang boleh mengubah dan memodenkan industri jagaan kanak-kanak.
Seperti di Malaysia, saya yakin negara-negara jiran yang lain juga ada potensi yang besar untuk kami ke sana.
Selain meluaskan perniagaan, kami akan sentiasa mencari peluang untuk menambah baik lagi model perniagaan semasa kami supaya tidak ketinggalan dan dapat memenuhi kehendak pelanggan kami yang sedia ada dan juga menarik lebih ramai lagi pelanggan yang baharu.” Muhaini
Penulis: Norzalina Mohd Alias
Foto: Nor Yanti Shaharudin