“Cabaran Terbesar Adalah Dapatkan Kepercayaan Pembeli,” To’ Puan Seri Hidayah Pemilik Jenama Hidaya International

Mengusung jenama Hidaya International pada awal penglibatan dalam bidang fesyen ternyata bukan mudah. To’ Puan Seri Hidayah sebenarnya bermula sebagai seorang peguam selama hampir lima tahun sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada karier tercinta.

“Dua tahun saya bekerja sebagai pegawai undang-undang di sebuah syarikat guaman dan selebihnya saya berkhidmat di Bank Negara Malaysia. Sebagai seorang peguam, tentunya banyak masa habis di pejabat. Kerana itu suami mencadangkan agar saya ‘berehat’ dan menumpukan perhatian kepada anak-anak. Kerana akur dengan permintaan itu, saya pun meletakkan jawatan.

Sukar juga menyesuaikan diri selepas berhenti kerja. Saya memang tak betah duduk diam, bimbang otak berkarat nanti! Tetapi demi anak-anak, tujuh tahun juga saya melihat mereka membesar di depan mata. Nak dijadikan cerita, sewaktu anak bongsu saya berusia tujuh tahun, suami terpaksa ke Arab Saudi untuk bekerja. Tinggallah kami empat beranak di Malaysia dan keadaan itu cukup menyukarkan kami untuk bersama,” cerita isteri kepada YAM Tengku Badrulzaman ibni Almarhum Sultan Mahmud ini.

Foto: Koleksi Majalah Nona

Sambung bonda kepada tiga cahaya mata, YM Tengku Emira Shaza, YM Tengku Muhammad Ryan Faiz dan YM Tengku Reyad Feysal ini lagi, mereka mula tinggal sendiri selepas suaminya berhijrah ke Arab Saudi. Seringkali kerinduan terubat dengan berkunjung ke sana, baik bersama anak-anak ataupun sendirian. Dalam perjalanan itu, bermulalah titik baru yang mengubah keseluruhan rencana hidup To’ Puan Seri Hidayah.

“Setiap kali bertemu suami, saya pasti akan mengenakan abaya. Di Malaysia, pemakaian abaya dulunya hanya untuk mengerjakan umrah dan haji, itu pun daripada material yang biasa dengan rekaan yang ringkas. Jadi saya suka melabur pada abaya yang cantik-cantik dari sana. Maklumlah wanita memang suka benda yang cantik di mata.

Tapi alhamdulillah, pelaburan itu sangat berbaloi kerana bila balik ke Malaysia, ramai kenalan yang berminat dengan abaya saya. Mereka berkenan dan terus membuat kiriman untuk dibawa pulang ke Malaysia. Jadi sudah menjadi kebiasaan setiap kali pergi ke Arab Saudi, saya akan bawa pulang abaya yang mereka kirim. Semua saya mulakan kerana suka-suka sahaja. Seronok bila kawan-kawan suka apa yang ada di badan kita, tambahan pula busana yang modest and nice!” ujarnya.

Foto: Koleksi Majalah Nona

Cabaran Berniaga
Selepas dua tahun berulang-alik dari Malaysia ke Arab Saudi, akhirnya To’ Puan Seri Hidayah mengambil keputusan untuk berhijrah ke Abu Dhabi bersama anak-anak. Memilih suasana dan persekitaran yang lebih Islamik untuk keluarga serta jarak perjalanan yang lebih hampir dengan suami memudahkan mereka bertemu setiap minggu, To’ Puan Seri Hidayah dipandu Allah untuk sesuatu yang lebih besar untuknya.

“It was an interesting adventure in life. Hidup di perantauan memang banyak dugaan. Kita tidak ada kenalan, jauh sekali keluarga untuk minta tolong dalam keadaan susah. Untuk kemudahan klinik dan hospital juga wajib ada insurans. The way of living were different. Saya nak mulakan perniagaan pun sukar tetapi saya kenangkan banyak pilihan terbaik datang dari sini.

Bayangkan seorang wanita yang tidak ada latar belakang perniagaan mengorak langkah di bumi asing. Saya bertemu tukang jahit, saya cari kilang sendiri malah saya juga yang mengusung gulungan kain untuk dibuat abaya. Hanya berbekalkan sedikit duit poket dan simpanan, saya gunakan kesemuanya untuk memperkenalkan fesyen abaya di Malaysia. Suami menjadi pendorong utama. Dengan modal membeli 12 helai abaya, saya bawa rekaan itu ke Malaysia dan semuanya habis diborong kawan-kawan dan keluarga!

Foto: Koleksi Majalah Nona

Bila saya mulakan perniagaan, cabaran terbesar adalah mendapatkan kepercayaan pembeli. Begitu juga dengan pengilang, banyak kali saya ditipu dari segi harga dan material yang ditawarkan. Mentang-mentang kita wanita, mereka pandang kita sebelah mata. Mereka jual kain lebih mahal dari harga sepatutnya. Itupun tukang jahit yang beritahu, jika tidak memang sampai bila-bila saya terus ditipu.

Bukan itu saja. Nak dapatkan ilmu dan tip dari mereka pun sukar. Iyalah, orang dari negara lain hendak berniaga barangan yang menjadi kebanggaan mereka, tentulah mereka tidak suka. Tetapi saya bulatkan hati. Malah saya pernah mendapatkan perkhidmatan seorang konsultan namun motivasi saya terus jatuh kerana dia sendiri tidak percaya saya mampu membawa rekaan abaya ini ke tanah air,” ujarnya.

Allah mengatur perjalanan hidup manusia dengan cukup sempurna. Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita cuma kadangkala kita tidak sedar sehinggalah kita sendiri berasa puas dengan usaha yang dilaksanakan.

“Selain halangan yang datang dari sekeliling, baru saya sedari halangan terbesar adalah dari diri saya sendiri. Cabaran saya adalah my own insecurity. Saya teragak-agak dengan keputusan berniaga tapi lama-kelamaan saya sedar, itulah aset terbesar yang saya ada. Setiap hari saya mengajar diri agar yakin dengan setiap langkah yang diambil dalam kehidupan, terutamanya untuk Hidaya International.

Nobody thought I can do it. Saya pasarkan abaya saya secara online tetapi tempahan diterima adalah melalui telefon dan booth jualan. Saya tahu, pelanggan berat hati untuk melakukan transaksi lebih dari RM500 di talian tanpa melihat dengan mata sendiri rekaan itu. Tetapi saya sangat percaya, branding adalah kunci untuk menjadikan sesebuah perniagaan itu berjaya!”

Banyak modal dilaburkan oleh To’ Puan Hidayah untuk merealisasikan branding yang sempurna. Gambar-gambar menarik perlu diambil untuk menarik perhatian pelanggan untuk membeli abaya yang dipertaruhkan. Meskipun terpaksa mencari jurufoto terbaik dari Lebanon, beliau yakin itu akan menjadi titik tolak beliau membawa nama Hidaya International ke Malaysia. “Kebetulan, jurufoto yang saya upah bernama Taufik. Mungkin gabungan nama ‘Taufik’ dan ‘Hidayah’ adalah petunjuk dari Allah untuk saya!” ketawa besar To’ Puan Seri Hidayah mengimbau sejarah itu.

“Selepas melalui pelbagai dugaan, akhirnya kini kami memiliki sebuah butik di Bangsar. Sebelum ini, kami hanya menumpang di studio apartment yang disewa sebagai showroom. Paling tidak pun, ada kawan-kawan yang sudi untuk ‘meminjamkan’ kepada kami kediaman mereka untuk mengadakan majlis tea party. Bagi saya, butik ini juga adalah satu pencapaian yang boleh dibanggakan.

Kini kami sedang merancang untuk membina sebuah kilang bagi memudahkan proses menghasilkan abaya. Kalau dulu memang saya dan keluarga tinggal di Abu Dhabi. Tidak ada masalah untuk berulang-alik ke kilang di sana. Tetapi disebabkan kami semua sudah kembali ke tanah air, maka lebih baik jika kilang tersebut dibina di sini. Prosesnya tetap sama, saya akan memilih sendiri material, mencari fabrik sesuai dan bersama tukang jahit untuk meneliti hasil kerja tangan mereka. InsyaAllah, kami sedang berusaha untuk menghasilkan pakaian ready-to-wear juga.

Sejak melalui saat sukar di negara orang, saya belajar untuk sentiasa mengamalkan zikir pagi dan zikir petang. Zikir itulah yang memberi ketenangan kepada saya apabila tiba saat-saat sukar. Ramai juga yang kata, saya senang berniaga kerana mengahwini ‘seseorang’ sedangkan ini semua saya usahakan dan turut melalui laluan yang sangat sukar. Saya percaya apabila kita menjaga solat, jaga hubungan dengan Allah, Allah akan bantu kita. Hidup saya bergantung kepada rahmat Allah,” bicara To’ Puan Seri Hidayah dalam nada sebak.

Share
Published by
Hamizatul Maizan Binti Mohamed