Mempunyai personaliti yang merendah diri dan menyenangkan, cukup membuat figura bernama Nur Nabilah Mohd Nazib atau Bella, mudah untuk didekati. Selain aktif menguruskan bisnes produk penjagaan rambut yang diberi nama Sugardoll, wanita kelahiran Kuala Lumpur ini juga sibuk dengan rutin harian sebagai seorang ibu. Kehadiran cahaya mata perempuan yang berusia sebulan menuntut Bella memberi lebih fokus buat keluarga tercinta.

Ads

“Setiap hari, lewat bagaimana sekalipun saya tidur, saya akan bangun awal pagi kerana sudah terbiasa dengan keadaan ini. Saya amalkan morning walk untuk menghirup udara segar dan buka pintu rumah. Kata orang untuk menjemput rezeki masuk, insyaallah. Namun sekarang rutin harian bertukar sedikit memandangkan saya baru sahaja melahirkan anak. Fokus lebih tertumpu kepada bayi.

Selepas uruskan anak dan keluarga pada awal pagi, sekitar jam 8, saya akan kembali fokus pada perniagaan yang diusahakan seperti urusan pengeposan, pembahagian kerja pada kakitangan dan sebagainya. Biasanya saya buat dari rumah saja, namun saya akan masuk ke pejabat untuk melihat progress berkaitan kerja pada waktu tengah hari. Ia tidak menjadi satu kepayahan memandangkan jarak antara pejabat dan rumah saya sangat dekat,” jelas Bella.

“Cabaran terbesar untuk jadi seorang ibu ialah untuk jaga diri sendiri” – NABILAH NAZIB

Pastinya tanggungjawab sebagai seorang ibu, isteri dan usahawan yang digalas oleh anak kedua daripada empat beradik ini cukup besar. Bertanyakan soalan mengenai cabaran dalam menguruskan rumah tangga, ini balas Bella.

“Cabaran terbesar untuk menjadi seorang ibu ialah apabila untuk menjaga diri sendiri. Saya mempunyai bisnes serta kerjaya dan dalam pada masa yang sama, saya perlu menguruskan hal rumah tangga. Jadi, untuk memastikan diri sendiri tidak terabai, itulah perkara yang paling mencabar. Tambahan pula, bisnes yang saya usahakan adalah produk kecantikan, jadi saya perlu menjaga penampilan untuk represent produk yang dihasilkan.

Alhamdullillah, kini saya semakin dikenali dek kerana produk yang saya keluarkan. Perlu bagi saya untuk menjaga imej dan penampilan agar selari dengan produk saya. Suami saya juga amat memahami kerjaya ini lebih-lebih dari segi kekangan masa. Saya amat bersyukur kerana dikurniakan suami yang sentiasa membantu dalam menguruskan urusan rumah tangga. Dia juga merupakan tulang belakang saya selama ini,” kata Bella yang kini berumur 28 tahun.

Ads

FESYEN & KECANTIKAN

Lihat saja pada penampilan Bella, pastinya dia seorang yang sangat fashionable. Sebagai seorang pengasas produk kecantikan, penting baginya untuk sentiasa menjaga penampilan.

Ads

“Saya bukan seorang yang suka menghabiskan masa untuk memikirkan sesuatu yang remeh hingga mengambil masa yang terlalu lama. Saya lebih gemarkan fesyen yang ringkas seperti seluar jeans dan white top. Sejujurnya, saya cukup obses dengan item yang menyempurnakan penampilan saya seperti beg tangan dan kasut. Bagi saya, biar pun pakaian nampak ringkas, tapi kalau dipadankan dengan beg tangan, secara automatik look saya akan lengkap dan sempurna. Selain itu, saya juga gemar mengenakan jam tangan dalam penampilan saya.

Boleh dikatakan saya mempunyai koleksi beg tangan yang agak banyak. Bagi saya, biarpun pakai pakaian ringkas yang sama berulang kali tapi kalau dipadankan dengan beg tangan yang berlainan, penampilan yang terhasil pasti berbeza. Saya sangat menyukai jenama beg tangan Dior dan label tersebut merupakan koleksi yang paling banyak saya miliki. Jenama tersebut juga sentiasa menjaga hubungan baik bersama pelanggannya walaupun selepas membeli produk mereka.

“Cabaran terbesar untuk jadi seorang ibu ialah untuk jaga diri sendiri” – NABILAH NAZIB

Dari segi menjaga kecantikan, saya memang mengamalkan minum air putih secukupnya. Saya juga ada mengambil makanan tambahan daripada produk keluaran saya sendiri. Memandangkan saya baru lepas bersalin dan masih dalam keadaan berpantang, saya juga ada mengamalkan petua-petua tradisional seperti memakai kapur, limau dan kunyit untuk mengempiskan perut. Selain itu, petua lain yang saya amalkan ialah tidak mencampurkan makanan laut dan darat ketika makan. Saya percaya campuran dua sumber makanan itu tidak berapa bagus untuk tubuh badan dan menyebabkan punca tumbuhnya jerawat,” jelas Bella.

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI