Cair Tengok Kecomelan NUR AZURA YAMANI, Kini Berusia 6 Bulan!

Baru berusia enam bulan tapi kecomelan anak kepada Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah ini jelas terserlah. Berkulit putih kemerahan dan bermata bundar, permata hati Datuk Jamal dan Datin Zai Izzati Khairuddin ini membuatkan peminat terpaku dengan wajah Nur Azura Yamani. Pantang sahaja diagah… anak kecil ini pasti tertawa manis. Alahai, cair tengok!

Nur Azura Yamani yang dilahirkan pada 10 Oktober lalu merupakan cahaya mata pertama Datin Zai Izzati sementara zuriat ketiga bagi Datuk Jamal Abdillah. Awal kehamilan, baik Datuk Jamal mahupun isteri memilih untuk tidak mengumumkan berita gembira tersebut kepada peminat.

Ini kerana ujar penyanyi yang berasal dari Perak itu, isterinya pernah mengalami keguguran sebanyak tiga kali dan mendapatkan rawatan pakar bagi menguatkan rahim.

Syukurlah kerana kehadiran Nur Azura Yamani ini menyerikan lagi rumah tangga Datin Zai Izzati dan Datuk Jamal Abdillah. Mereka sah bergelar suami isteri pada tanggal 1 April 2017 di Ipoh, Perak selepas berkenalan selama dua bulan dan berjumpa hanya sekali sebelum bernikah.

Tiga tahun melayari bahtera perkahwinan dan kini diserikan dengan kehadiran cahaya mata comel, pastinya pasangan selebriti ini sedang diulit bahagia!

Bercerita tentang suri hati Datuk Jamal Abdillah, Datin Zai Izzati yang sedang meniti usia 26 tahun sememangnya seorang wanita yang cukup sempurna. Rupa paras beliau yang sarat dengan kelembutan dan berkulit mulus mampu membuatkan sesiapa sahaja toleh beberapa kali.

Walau sudah bergelar ibu, Datin Zai Izzati tetap mementingkan kecantikan diri dan memastikan penampilannya dari hujung rambut ke hujung kaki tetap terjaga. Untung Datuk Jamal!

Ini merupakan perkahwinan keempat Datuk Jamal Abdillah selepas pernah mendirikan rumah tangga dengan Basariah Abdul Latiff, Noraina Mohd Yusof dan Fatimatuzahrah Samad. Walau jarak usia 35 tahun dengan Datin Zai namun ia bukan halangan buat kedua-duanya melayari perkahwinan bahagia sama seperti suami isteri lain.

Perkahwinan yang diatur keluarga itu juga diterima baik anak-anak lelaki Datuk Jamal iaitu Osama Yamani, 18 tahun hasil pernikahan dengan Noraina dan Ahmad Zaki Yamani, 12 tahun anak dengan isteri ketiganya iaitu Fatimatuzahrah.

Semoga Nur Azura Yamani membesar dengan sihat dan menjadi kebanggaan ibu bapa kelak. Mesti Datuk Jamal teruja dengan kelahiran Nur Azura kerana ia adalah kali pertama beliau menimang cahaya mata perempuan.

Share
Published by
Suzi