Tak lama lagi Putera Mateen atau Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen bakal bergelar suami. Khabar gembira mengenai perkahwinan diraja tersebut nyata mengejutkan khalayak termasuklah di Malaysia.
Apatah lagi pengumuman itu dilakukan awal dua bulan daripada tarikh istiadat perkahwinan. Memang eksklusif dan istimewa!
Menerusi kenyataan yang disiarkan Radio Televisyen Brunei pada 8 Oktober lalu, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam KDYMM Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah bertitah mengumumkan anakanda Pengiran Muda ‘Abdul Mateen bakal bernikah dengan wanita pilihannya yang dikenali sebagai Dayang Anisha Rosnah Adam pada 11 Januari 2024.
Difahamkan Dayang Anisha Rosnah merupakan cucu kepada penasihat negarawan Brunei dan pasangan diraja ini sudah pun mengenali sejak kecil. Malah, Putera Mateen bersahabat baik dengan abang Dayang Anisha iaitu Daniel Deen Isa.
Sementara itu, memetik laporan Borneo Bulletin pula Istiadat Perkahwinan Diraja itu akan berlangsung selama bebeapa hari dimulakan dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja pada 7 Januari 2024 dan kemudian diikuti dengan Majlis Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga pada 8 Januari.
Diikuti Majlis Istiadat Menghantar Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja pada 9 Januari sebelum diikuti dengan Majlis Istiadat Berbedak Pengantin Diraja pada keesokan harinya.
Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja bakal berlangsung pada 11 Januari. Acara kemudian diteruskan dengan Majlis Istiadat Bersanding Pengantin Diraja pada 14 Januari, Majlis Persantapan Diraja pada 15 Januari dan Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-Jaga pada 16 Januari 2024.
Artikel berkaitan https://www.nona.my/17-das-meriam-dilepaskan-selesai-akad-nikah-perkahwinan-diraja-brunei-ytm-pengiran-anak-puteri-azemah-jadi-tumpuan/