Sejuk mata memandang Sultanah Terengganu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah. Setiap kali terlihat kelibat baginda, mata bagaikan tertawan dengan pesona yang dimiliki. Cukup elegan dan penuh dengan kelembutan. Sering mengukir senyuman tatkala bertemu rakyat jelata, penampilan Sultanah Nur Zahirah yang gemar mengenakan persalinan tradisi seperti songket dan batik ternyata menarik perhatian ramai.
Ads
Paling mencuri tumpuan… gaya fesyen tudung Sultanah Nur Zahirah sejak Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan Zainal Abidin ditabalkan sebagai Yang Dipertuan Agong Ke-13. Dari dulu hingga kini tetap sama. Pendek kata, gaya tudung jenis awning sudah begitu sinonim dengan penampilan Sultanah Nur Zahirah ketika bergelar Raja Permaisuri Agong lagi.
Berangkat ke Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu ke-17 pada 16 November lalu, Sultanah Nur Zahirah yang lengkap menyarung persalinan jubah konvokesyen berwarna merah jambu turut memakai jenis tudung kegemaran baginda dalam rona senada.
Meskipun terdapat pelbagai jenis rekaan tudung di pasaran hari ini namun baginda tetap setia mengenakan tudung awning. Tidak kira ketika menghadiri majlis rasmi negara, bersantai mahupun sebaliknya. Mungkin pemakaian hijab ini lebih mudah dan praktikal selain sesuai dengan bentuk muka Sultanah Nur Zahirah.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah adalah Sultan Terengganu yang ke-16 dan diijabkabulkan dengan Sultanah Nur Zahirah pada 28 Mac 1996.
Ads
Pasangan diraja ini kemudiannya dikurniakan dua orang puteri dan putera iaitu Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Puteri Utama Raja Tengku Nadhirah Zahrah Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, YAM Tengku Sri Setia Mahkota Raja Tengku Muhammad Mua’az ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, YAM Tengku Puteri Daulath Raja Fatimatuz Zahra’ Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin dan YAM Tengku Muhammad Ismail ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin.
Ads
Sumber: Instagram Terengganu Royal Family & Royal Terengganu Songket
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Namanya tidak asing lagi di laman media sosial dek kerana wajahnya yang ayu jelita. Tidak bersandarkan pada rupa paras semata-mata. Gadis berumur 19 tahun ini bijak mengatur langkah dalam mencanai strategi bisnes yang diusahakannya. Aktif di laman sosial sejak berumur 14 tahun, Athirah atau lebih mesra disapa Tyra kini menumpukan perhatian sepenuhnya untuk perniagaan yang baharu sahaja ditubuhkan Jun lalu.
BOLEH ANDA CERITAKAN SEDIKIT MENGENAI BISNES ANDA?
Saya baru sahaja memulakan perniagaan produk kecantikan bernama @beautyra. Sebenarnya saya sudah tubuhkan @beautyra ini sudah lama namun ia mengambil masa yang agak panjang untuk proses jenama dan sebagainya. Produk ini terdiri daripada pemerah pipi atau blusher yang terdiri daripada tiga warna. Alhamdulillah sambutan setakat ini sangat memberangsangkan dan sold out dalam sehari sahaja.
BAGAIMANA BOLEH TERCETUSNYA BISNES INI?
Saya memang seorang yang gemarkan produk mekap dan kecantikan. Saya mula aktif di Instagram sejak umur saya 14 tahun lagi. Dari situ saya mula berniaga kecil-kecilan. Tambahan pula saya mempunyai latar belakang keluarga yang menceburi bidang perniagaan. Pada mulanya saya berniaga baju dan aksesori sahaja.
Saya juga belajar buat semuanya sendiri. Dari hal postage hingga ke urusan yang lain dan sekarang saya sudah mempunyai team yang boleh tolong selesaikan semuanya dari A to Z.
SIAPAKAH YANG MENDORANG ANDA UNTUK MENCEBURI BIDANG PERNIAGAAN?
Family, of course! Mereka memainkan peranan yang sangat penting dalam kerjaya saya. Sejujurnya saya tiada banyak pengalaman dalam bidang ini. Keluargalah yang banyak memberi sokongan padu dan tidak henti menaikkan semangat saya untuk melakukan bisnes. Selain itu, kawan-kawan saya juga banyak membantu saya terutamanya mereka yang turut menceburi bidang ini.
ANDA SEORANG YANG AMAT DIKENALI DI LAMAN SOSIAL. BAGAIMANA ANDA MEMBAWA DIRI SEBAGAI PUBLIC FIGURE?
Saya mula aktif di laman sosial sejak saya masih muda. Mungkin dulu saya lebih memikirkan tentang apa yang netizen cakap mengenai diri saya. Tapi lama-kelamaan, saya sudah biasakan diri dengan keadaaan ini dan menganggap ia sebagai satu perkara biasa. Jika ada perkara yang mereka katakan itu betul, saya mengambil ia sebagai kritikan yang positif.
Namun jika ada komen yang berbaur tuduhan dan boleh mendatangkan fitnah, saya akan cuba memberi maklum balas bagi membetulkan keadaan.
APAKAH PRINSIP YANG DIPEGANG OLEH ANDA?
Prinsip yang saya selalu pegang ialah always to be yourself. Tidak kiralah apa yang orang cakap mengenai diri anda, paling penting jadilah diri sendiri dan bukan jadi diri atas kehendak orang lain. Jangan sesekali pedulikan apa orang cakap walaupun kadangkala anda rasakan perkara itu betul untuk dilakukan. Anda lebih tahu apa yang lebih terbaik untuk diri anda.
RAMAI BERPENDAPAT CANTIK DAN BIJAK HARUS SEIRING. APA KOMEN ANDA?
Memang betul kerana pendidikan merupakan perkara yang sangat penting. Tapi bijak itu bukan sahaja dari segi pembelajaran. Ada orang pandai berniaga dan ada orang yang pandai memasak dan membuka perniagaan. Bagi saya bijak itu meluas dan tidak tertumpu pada segi pelajaran. It’s more than that.
NYATAKAN CIRI-CIRI UNIK ANDA YANG MUNGKIN RAMAI TIDAK TAHU
Saya suka menyanyi tapi tidak pernah terfikir untuk jadi penyanyi. Saya juga seorang yang sangat sukakan haiwan hinggakan bercakap dengan mereka. Setakat ini, saya ada memelihara burung dan kucing. Selain menjadi pencinta haiwan, saya juga suka ‘cantikkan’ orang. Jika sepupu saya datang ke rumah, saya suka mekap dan mendandan rambut mereka.
Orang juga mungkin tidak tahu yang saya ini sebenarnya seorang yang banyak cakap dan sangat aktif. Dalam kata erti lain tidak reti duduk diam.
KONGSIKAN RUTIN KECANTIKAN DAN KESIHATAN ANDA
Saya tidak akan tidur dengan memakai mekap. Cuci mekap sebelum tidur adalah perkara yang sangat mustahak. Selain itu, setiap hari saya akan memakai mask wajah. Manakala untuk rambut, saya tidak akan mencuci rambut setiap hari. Saya juga akan pergi ke saloon setiap bulan untuk buat rawatan rambut. Dari segi kesihatan, saya amalkan fish oil untuk elak kulit kering dan akan pastikan minum air putih secukupnya setiap hari.
APAKAH PERANCANGAN ANDA PADA MASA HADAPAN?
Selain ingin mengembangkan bisnes saya, saya juga ingin menjadi seorang wanita yang berjaya. Usia bukan penghalang untuk seorang wanita mengecap kejayaan. Saya ingin wanita di luar sana melihat saya sebagai seorang wanita muda yang berani mencuba dan menjadi insan yang lebih berjaya daripada saya. Jika anda ada usaha dan minat, insyaAllah anda juga boleh berjaya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Makin hari, makin berseri-seri wajah pengacara rancangan talkshow Mingguan Wanita ini, Nurul Syuhada Nurul Ain. Dalam sibuk-sibuk kita ke open house, Nurul Syuhada dan family sibuk juga bercuti. Tengoklah gelagat mereka dalam Instagram, seronok!
Program raya Nurul bermula beberapa hari sebelum raya lagi. Menurutnya, pada waktu itulah sibuk nak membeli baju raya dan persiapan lain kerana suasana hujung-hujung Ramadan lagi meriah.
“Kedai-kedai akan mula pasang lagu raya. Bila memilih baju tu, rasa macam membuak-buak semangat nak sambut Syawal. Walaupun penat mengharungi ‘kesesakan’ membeli-belah, feel tu buat kita rasa lebih excited!”katanya.
Apa yang paling Nurul nantikan pada pagi Syawal? “Of course rendang kerbau yang nenek buat! Samapi di Rembau je semua dah tersedia. Teringat masa awal kahwin dulu, pagi Syawal saya makan bijirin je, maklumlah berlainan adat. Tapi sekarang, kalua beraya di Australia, kami makan rendang. Cerita bijiran memang akan buat kami gelak!”
“Raya di kampung tak sama macam di bandar. Anak-anak tak merasa suasana tu kerana semuanya tenang-tenang je. Kalau di kampung, malam sebelum raya lagi dah meriah. Awal pagi pula kalut bukan main sebab masing-masing bangun lambat tapi beriya-iya nak solat di masjid.
Itu yang kami terpaksa solat di atas rumput, di tempat selipar dan ada juga yang dah sampai tahiyat akhir baru sibuk nak masuk saf. Adui, boleh pening kepala kalau ingat balik kisah dulu-dulu,”katanya.
Eh, banyak lagi yang di kongsi Nurul Syuhada kisah Syawalnya, termasuk bagaimana dia masuk ke kampung-kampung untuk menyerahkan zakat. Jangan lupa beli Nona edisi Jun 2019 untuk baca lebih lanjut ok!
Pada usia memasuki 40 tahun tanda-tanda penuaan sebenarnya akan semakin jelas kelihatan. Perubahan ini lebih ketara pada bahagian kulit terutama wajah. Namun, ia tidak seharusnya menjadi satu bebanan, bukankah tanda-tanda ini mampu memberi kesedaran pada kita. Lagi pun mengapa perlu risau kerana di pasaran terdapat pelbagai produk yang membantu melambatkan tanda-tanda penuaan seperti berikut:
Kedutan dan garis penuaan
Dengan terjadinya penuaan,kedutan adalah tanda pertama yang paling jelas kelihatan dan harus diperhatikan. Biasanya ia mudah dialami oleh mereka yang memiliki kulit jenis kering.
Selain itu, di sekitar bawah mata akan mengalami garis-garis halus. Penebalan yang tidak sekata pada lapisan kulit ditambah pula kekurangan air pada lapisan bawah kulit akan mempercepatkan lagi proses kedutan pada kulit anda.
Kulit kusam
Kolagen bertindak menjaga kulit namun ketika proses penuaan berlaku urat semakin kendur dan kadar kolagen semakin menurun sekali gus menyebabkan kulit menjadi longgar dan tipis. Selain itu kulit akan kehilangan lemak dan jaringan. Lantaran itu, kulit menjadi kusam dan tidak bermaya.
Kulit kering
Kulit menghasilkan sebum sendiri bagi melindungi dan mencegah kehilangan kelembapan kulit. Namun, seiring dengan bertambahnya usia, keupayaan kulit menghasilkan sebum semakin berkurangan sekali gus menyebabkan kulit mudah rapuh dan kering terutama di bawah sinaran matahari yang terik.
Ditambah pula dengan keadaan cuaca yang sejuk, iklim yang kering dan berangin mudah menjadikan kulit anda bersisik dan mudah menimbulkan rasa gatal.
Bintik hitam
Peningkatan usia sekali gus menyebabkan kulit seseorang turut mengalami perubahan. Antaranya, bintik-bintik coklat pada kulit kita pun akan mula timbul atau juga dikenali sebagai bintik-bintik hitam terutama di bahagian wajah.
Pada tahap awal bintik-bintik tersebut berwarna terang, namun pada akhirnya bintik-bintik tersebut akan berubah menjadi warna coklat sekali gus menjadi masalah pada kulit anda. Hal ini disebut dengan penuaan semula jadi.
Bintik-bintik ini juga boleh menyebabkan masalah ketika anda menyapu solekan pada wajah. Ia biasanya berlaku disebabkan pendedahan diri secara berterusan kepada sinaran ultra ungu atau terdedah pada sinaran matahari dalam tempoh yang lama tanpa menggunakan topi atau krim pelindung kulit wajah.
Liang-liang roma terbuka
Faktor genetik dan usia antara dua faktor utama yang membolehkan pori-pori atau liang-liang roma pada kulit membesar. Kebiasaannya, ia berlaku kepada mereka yang memiliki kulit tebal dan berminyak.
Terdedah lama pada sinaran matahari, kotoran, bakteria dan keanjalan kulit menurun juga antara faktor menyebabkan liang-liang roma membesar dan terbuka.
Tip untuk kekal muda
Lindungi kulit wajah daripada sinaran matahari antara langkah terbaik untuk mencegah kulit dari mengalami masalah penuaan lebih awal. Pakai krim pelindung cahaya matahari atau pelembap dengan SPF 28 atau lebih setiap kali anda berada di luar mahupun di dalam bilik berhawa dingin.
Merokok dapat menyempitkan pembuluh darah, yang mana dapat menurunkan aliran darah selain mengurangkan perjalanan oksigen dan nutrisi ke sel-sel kulit. Ia juga menyebabkan kulit anda menjadi kusam selain timbul bintik-bintik coklat.
3. Merokok juga menyebabkan proses penghasilan kolagen lambat pada kulit anda. Jadi, untuk mendapatkan kulit yang sihat dan bercahaya, berhenti merokok.
4.Gunakan pelembap anti-penuaan, ia membantu meningkatkan kapasiti air pada kulit. Selain itu, Vitamin A yang turut membantu dalam menjaga kulit yang terhidrasi. Pastikan anda mendapat vitamin A dari makanan seperti keju, ikan Kod dan telur.
5.Penggunaan kosmetik juga dapat membantu memperbaiki tekstur kulit. Garis-garis halus dan kulit kedut dapat ditingkatkan dengan memperbaiki permukaan kulit (resurfacing) melalui kaedah dermatologi, pengelupasan kimia (chemical peeling), laser atau mikro dermabrasi.Peeling juga dapat membantu untuk meratakan warna kulit dan memperbaiki tekstur kulit.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Diam tak diam, perkahwinan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam bakal menginjak usia setahun ...