MasyaAllah, ramai yang memuji penampilan terbaharu Fasha Sandha. Lebih-lebih lagi dalam kalangan peminat artis kesayangan ini. Dilihat sering mengenakan hijab sejak melangkah masuk ke tahun baharu 2025, imej sopan dan menutup aurat pelakon jelita berkenaan menarik perhatian khalayak. Malah mendoakan agar Fasha istiqamah dengan penampilan tersebut.
Hadir memukau dalam persalinan indah Rizman Ruzaini sempena majlis pengiktirafan Nona Superwoman Award 2024 pada 8 Januari lalu, Fasha Sandha yang ditemani suami tercinta iaitu pelakon kacak, Aidil Aziz menjadi tumpuan para tetamu. Juga, rakan-rakan media yang menantikan kemunculannya.
Dalam temu bual di acara karpet merah Nona Superwoman Award 2024, kakak kepada Elisya Sandha ini hanya tersenyum dan memohon doa ramai apabila diaju mengenai penampilan terkini.
Sementara itu, ditanya mengenai perancangan tahun 2025 tanpa berselindung dia mendedahkan bakal menceburi bidang perniagaan.
“Saya ingin lebih sukses dalam bidang perniagaan, insyaAllah. Dalam kerjaya mungkin akan slow sedikitlah dengan shooting drama. Tapi fokus ke arah perniagaan dengan suami saya. Baru nak mula berjinak-jinak,” kongsi Fasha namun belum mengumumkan bidang bisnes yang bakal diceburi.
Fasha Sandha yang juga ibu kepada tiga cahaya mata merupakan penerima Nona Fashion and Beauty Award di majlis penghargaan Nona Superwoman Award 2024.
Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan menyampaikan anugerah kepada 10 penerima. Antaranya Tan Sri Shamsiah Mohd Yunus, Dato’ Seri Dr Maimunah Mohd Sharif, Hajah Faiza Bawumi, Fasha Sandha, YM Datin Paduka Raja Teh Maimunah, Aina Abdul dan Uji Rashid.
Nona mendoakan agar perancangan Fasha bagi tahun 2025 berjalan lancar dan kekal istiqamah dengan imej terbaharunya.
This website uses cookies.