Jika dahulu nama-nama besar seperti Aishwarya Rai, Kajol dan Kareena Kapoor mewarnai industri filem Bollywood, kini muncul pelapis baharu yang memiliki pakej lengkap bergelar bintang di India. Salah seorang personaliti wanita yang kian mencuri perhatian ketika ini ialah anak kepada lagenda Saif Ali Khan iaitu Sara Ali Khan.
Meniti usia 26 tahun, Sara dikagumi bukan hanya kerana mewarisi wajah cantik ibu dan bapanya malah berpewatakan menarik dan merendah diri.
Menerusi perkahwinan terdahulu Saif Ali Khan bersama Amrita Singh, aktor berbakat besar berkenaan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Sara Ali Khan dan Ibrahim Ali Khan yang kini berusia 21 tahun.
Sara dilahirkan di Mumbai, India pada 12 Ogos 1995 dan berketurunan bangsawan Pataudi. Sejak kecil hingga kini, dia dijaga dan dibesarkan oleh ibunya yang merupakan ibu tunggal.
Walau berasal dari keluarga berada namun jelitawan ini selesa berdikari dan amat mementingkan pelajaran. Pada Mei 2016 Sara berjaya menamatkan pengajian di peringkat Ijazah dalam bidang Sejarah dan Sains Politik di Columbia University.
Memetik laporan NDTV.com, pada awalnya Sara berhasrat melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan namun setelah menyedari kemampuan diri dia memilih untuk mempelajari undang-undang selain meneruskan pengajian dalam Sejarah dan Sains Politik. Pada tahun akhir pengajian, Sara turut mengambil kelas lakonan.
Bersandarkan kecantikan dan kecemerlangan akademik, Sara menjadi salah seorang bintang baharu kesayangan peminat di India ketika ini dan meraih populariti kerana keperibadian yang ada dalam dirinya.
Malah wanita yang mempunyai ketinggian 163 centimeter ini juga sering membuatkan penonton tertawan dengan rupa paras yang dimiliki dan menjadi inspirasi wanita kerana kejayaannya menurunkan berat badan.
Tidak malu berkongsi bentuk fizikal yang dialami suatu ketika dahulu, Sara mengaku pernah berdepan masalah berat badan sehingga mencecah 96 kilogram. Lebih memeritnya, dia turut mengalami Polycystic Ovary Syndrome (PCOS) dan gangguan hormon yang menyukarkan Sara untuk menurunkan berat badan.
Meskipun bertubuh gempal waktu itu namun dia tetap positif dan ceria di samping keluarga, rakan-rakan dan orang sekeliling.
Sara juga mendedahkan semasa akhir tahun kedua pengajian di Columbia University, dia bercita-cita mahu bergelar pelakon dan menyedari perlu melakukan sesuatu terhadap masalah berat badan yang dialami untuk menggapai impian tersebut.
Berkat usaha keras dan dedikasi untuk tampil lebih sihat, Sara berjaya menurunkan berat badan sehingga 30 kilogram hasil pemakanan sihat dan aktiviti senaman kardio ketika berada pada tahun akhir di universiti.
Sumber: ndtv.com, times of india
Kredit foto: Instagram Sara Ali Khan
This website uses cookies.