Orangnya mesra, tinggi lampai dan cantik. Membintangi banyak drama dan telemovie, tidak dinafikan nama Alya Iman kian dikenali dan bertapak kukuh dalam industri seni tanah air.
Baru meniti usia 21 tahun, Alya berjaya menggapai pencapaian tersendiri apabila tersenarai sebagai Top 10 Artis Baharu Wanita Popular ABPBH 2020.
Bermula sebagai model, pemilik Nur Alya Iman Azmil Mustapha ini merupakan anak kepada pelakon popular era 80an iaitu Allahyarham Azmil Mustapha.
Walau sudah empat tahun arwah bapa tersayang kembali ke rahmatullah namun pemergiannya pada 14 Februari 2018 masih dirasai Alya hingga kini.
Berkongsi perkembangan terkini, Alya berkata dia kini sibuk dengan jadual penggambaran yang padat. “Alhamdulillah atas segala rezeki yang Allah turunkan, Alya kini sibuk dengan penggambaran drama dan bidang peragaan.
Drama terbaharu Alya yang sedang disiarkan sekarang ialah Ku Punya Hati arahan Azmi Hatta. Selain itu, Alya juga sedang menjalani penggambaran untuk drama Dia Pria Terhebat arahan Pali Yahya.”
Tambahnya lagi, “Ketika ini Alya hanya berpeluang menceburi bidang peragaan dan lakonan. InshaAllah dengan izin Allah, sekiranya ada rezeki untuk ke luar negara Alya berhasrat untuk sambung belajar. Dalam lima tahun akan datang juga Alya ingin fokus dengan bisnes.”
Sementara itu, menyentuh siapa individu yang menjadi inspirasinya. Ini jawapan jujur Alya. “Semestinya arwah Babah. Bukan sahaja inspirasi dalam bidang industri seni tapi personaliti yang dimiliki arwah juga saya sangat kagum.
Dia seorang yang sangat merendah diri, not judgmental, menghormati orang lain dan terima baik buruk seseorang dengan seadanya.”
Kagum dengan semangat Alya untuk bergelar anak seni berjaya seperti arwah ayahnya. Dalam usia muda, dia berfikiran matang dan mempunyai misi jelas untuk masa depan kelak. Semoga segala perancangan Alya dipermudah dan menjadi inspirasi buat anak muda dalam mengejar impian mereka.
This website uses cookies.