Amboi, lawanya anak gadis Datuk Afdlin Shauki! Berusia 22 tahun, Mia Sara Shauki yang merupakan anak sulung kepada pelakon komedi dan penerbit popular ini rupa-rupanya mengikut jejak langkah ayahanda tersayang dalam dunia seni.
Selain berbakat besar dalam bidang lakonan… Mia Sara juga ada bakat menyanyi. Memang jelas terbukti darah seni dan bakat Datuk Afdlin ‘mengalir’ dalam diri gadis cantik ini. Bak kata pepatah lama, ‘Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.’
Bersandarkan bakat dan populariti yang diraih Mia Sara, baru-baru ini dia ‘disunting’ untuk membintangi klip video muzik penyanyi tersohor tanah air iaitu Dato’ Sri Siti Nurhaliza menerusi lagu terbaharunya, Kuasa Cintamu. Memang cantik orangnya dan terserlah bakat seni dalam diri Mia.
Menerusi klip video tersebut, Mia memainkan watak Dato’ Sri Siti sewaktu zaman remaja. Kesempatan bertemu biduanita berkenaan, Mia turut memuatnaik momen indah di samping Dato’ Sri Siti di media sosial miliknya. Ujar Mia, “I played the mini version of Dato’ Sri Siti Nurhaliza in her new MV, ‘Kuasa Cintamu’.
That whole experience was unreal. I just want to say thank you to Denhouse Productions and Al Adam for having me be part of ‘Kuasa Cintamu’. I think having an acting role where I play Dato’ Sri Siti Nurhaliza herself was the cherry on top of the cake.”
Sebelum ini, Mia Sara pernah bergandingan bersama bapa tersayang, Datuk Afdlin Shauki dalam sitcom Disney Wizards of Warna Talk yang bersiaran di saluran Disney pada hujung Ogos tahun lalu. Mia Sara merupakan pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Seni Persembahan di Taylor’s College.
Bergelar anak sulung daripada tiga beradik, Mia Sara mempunyai dua adik perempuan iaitu Anais dan Ileana Matin. Melihat kerjaya seninya yang makin berkembang dan disedari ramai, tidak mustahil satu hari nanti gadis ini mampu menjadi anak seni berjaya dan versatil seperti bapanya. Apatah lagi, Datuk Afdlin memiliki pengalaman luas dalam bidang seni dan ia pastinya menjadi bonus buat Mia untuk mendalami selok-belok industri berkenaan daripada bapa tersayang.
Mengulas pembabitan Mia yang mengikut jejak langkah Datuk Afdlin, pengarah filem Papadom dan personaliti televisyen ini dalam laporan media tempatan suatu ketika dulu berkata beliau pada mulanya agak keberatan jika ada di antara anak-anak memilih kerjaya seni sepertinya.
“Saya dah lalui pelbagai suka duka dalam bidang ini dan pengalaman tersebut membuatkan saya sedikit skeptikal untuk membenarkan anak-anak terlibat dalam industri ini. Namun apa yang saya lihat sekarang, anak-anak saya dah mula menunjukkan minat dalam bidang seni. Salah seorangnya meminati muzik, seorang lagi sudah mula berlakon sementara anak yang bongsu pula sangat tertarik dengan muzik K-Pop.”
Walau Mia Sara cukup meminati dunia lakonan dan nyanyian namun dia tetap mengutamakan pelajaran. Moga kerja keras dan pencapaian Mia dalam bidang seni dan akademik menjadi pembakar semangat kepada generasi wanita muda untuk terus melakar kejayaan.
Kredit foto: Instagram Mia Sara & Afdlin Shauki
This website uses cookies.