Mungkin ramai yang masih tidak mengenali gadis cantik bernama Annabel Yao ini. Tapi kalau sebut tentang jenama telefon pintar terkenal, Huawei pasti ramai yang membayangkan kualiti produk telefon berkenaan yang berasal dari negara tembok besar China itu. Apa kaitan Annabel Yao dengan Huawei? Sebenarnya Annabel Yao ialah anak perempuan yang juga pewaris empayar Huawei milik Ren Zhengfei.
Meniti usia 22 tahun, Annabel yang dilahirkan di Hong Kong merupakan anak kepada Yao Ling iaitu isteri kedua kepada jurutera, Ren Zhengfei. Pengasas Huawei yang terlibat secara langsung dalam pembangunan ekonomi serta politik di China itu dikurniakan dua anak perempuan dan seorang anak lelaki hasil daripada dua perkahwinannya.
Meskipun perniagaan telefon pintar Huawei semakin dikenali dan digunakan di serata dunia namun selaku pengasas, Ren Zhengfei di negara kelahirannya disifatkan seorang yang low profile. Dia jarang muncul di majlis-majlis rasmi dan sukar ditemubual oleh para media. Pun begitu, Ren Zhengfei terpaksa menyingkirkan sikap tersebut dan bersemuka dengan media apabila isu pengharaman Huawei di Amerika Syarikat mendapat perhatian meluas tidak lama dulu.
Mendekati peribadi dan gaya hidup anak perempuan bongsunya, Annabel merupakan pelajar jurusan Sains Komputer di Harvard. Bercita-cita mahu mempunyai kerjaya dalam bidang perniagaan dan ekonomi, Annabel bukan hanya cemerlang dalam akademik bahkan aktif dalam seni terutamanya apabila dia melibatkan diri sebagai penari balet profesional di Harvard Ballet Company.
Menurut laman web Harvard Ballet Company, gadis cantik ini mula berjinak dalam tarian balet ketika usianya baru 15 tahun di Shanghai. Dari situ, Annabel kemudian meneruskan minatnya dan mendalami seni tarian indah tersebut di sebuah akademi berprestij di United Kingdom.
Kira-kira dua tahun lalu, Annabel menarik perhatian golongan elit di China dan Eropah kerana telah terpilih dalam penganjuran majlis tari-menari Le Bal des Debuntantes di Paris pada November 2018. Ia bukan calang-calang acara kerana hanya gadis sosialit berusia di antara 16 hingga 21 tahun yang memiliki rupa paras cantik, berpendidikan dan lahir dari keluarga ternama khususnya dalam bidang perniagaan, hiburan mahupun politik akan dipilih sebagai peserta majlis tari-menari tersebut.
Daripada 19 gadis cantik yang layak… Annabel ialah salah seorang daripada mereka yang mewakili negara China. Selebihnya berasal dari India, Amerika, Jerman, Hong Kong, Belgium, Perancis, Portugal dan Filipina. Kesemua mereka dilaporkan bertemu dengan jejaka dari keluarga elit lain di serata dunia untuk saling mengenali dan bersosial dalam kelas bangsawan.
Dua hari sebelum majlis tari-menari bermula, Annabel dan peserta wanita lain sempat beramah mesra, menjalani latihan tarian bersama-sama selain terlibat dalam sesi fotografi. Peserta wanita turut diberi soalan tentang gaya fesyen yang digemari mereka di samping diminta memilih busana pilihan masing-masing. Pada majlis itu, Annabel memilih untuk menggayakan gaun indah rona champagne rekaan J Mendel.
Kata Annabel, “Bagi individu yang memiliki segala-galanya lebih daripada orang lain, adalah sangat penting bagi anda untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan. Seboleh-bolehnya saya mahu melibatkan diri dalam aktiviti sukarelawan dan kebajikan serta lebih selesa menganggap diri saya seperti gadis biasa lain. Yang perlu bekerja keras untuk berjaya dan berusaha menjadi individu yang lebih baik setiap hari.”
Biarpun sibuk dengan rutin harian sebagai pelajar, Annabel gemar menghabiskan masa bercuti ke luar negara termasuk ke New York, Paris dan beberapa tempat percutian menarik di dunia. Dia juga dilihat sering memakai pakaian dan aksesori berjenama mewah seperti Chanel, Dior, Louis Vuitton dan sebagainya.
Menyingkap latar belakang anak pengasas Huawei ini lagi, Annabel mempunyai seorang kakak bernama Sabrina Meng Wanzhou berusia 48 tahun yang merupakan antara orang terpenting dalam empayar Huawei.
Sumber: South China Morning Post