Memang cantik atlet boling kebangsaan, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi. Persis seorang model. Baru berusia 27 tahun, nama Syaidatul Afifah menjadi bualan hangat rentetan kejayaan atlet muda ini memenangi pingat emas dan perak di Sukan Asia ke-18 Jakarta-Palembang baru-baru ini.
Beliau yang telah berkecimpung dalam arena sukan boling sejak 2002 nyata berjaya mempertahankan prestasi cemerlang sampai ke saat ini. Sepanjang pembabitan tersebut, pelbagai kejuaraan sudah dirangkul antaranya Pingat Emas Acara Berpasukan Kejohanan Boling Dunia Las Vegas 2017 dan Pingat Emas Sukan SEA di Singapura.
Gembira kerana mampu membawa pulang pingat emas dan perak dalam temasya Sukan Asia kali ini, Syaidatul Afifah meluahkan rasa syukur atas sokongan padu yang diberikan kepadanya.
“Pertama sekali, syukur alhamdulillah. Saya sangat berbesar hati mewakili Malaysia dan berpuas hati dengan prestasi saya di Sukan Asia ini. Syukur saya dapat menyumbangkan pingat emas dan perak untuk negara tercinta ‘Malaysia’. Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada keluarga, jurulatih, OCM, ISN, MSN, MTBC, podium program, para penaja, Air Asia, Kerajaan Negeri Perak, fisioterapi dan para penyokong atas doa yang diberikan sepanjang Sukan Asia. Akan terus berusaha membanggakan Malaysia di mata dunia,” kongsinya di Instagram.
Memetik kenyataan Syaidatul Afifah dalam Stadium Astro, “Saya telah beraksi dalam empat edisi Sukma sebelum ini. Mewakili Malaysia bersama-sama idola saya, Shalin Zulkifli sudah tercapai serta mencapai kejayaan di pentas antarabangsa.”
Dalam Sukan Asia 2018, atlet ini merangkul emas dalam acara trio wanita bersama Esther Cheah dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman. Sementara pingat perak acara berpasukan wanita pula diraih bersama Siti Safiyah Amirah, Cheah Mei Lan, Natasha Mohamed Roslan, Sin Li Jane dan Shalin Zulkifli.
Kredit: Instagram Syaidatul Afifah
This website uses cookies.